Dalam keadaan persekitaran ekonomi global yang mencabar dan gangguan bekalan dalam negeri, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.3% pada tahun 2019, disokong oleh perbelanjaan sektor swasta yang berdaya tahan. Inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan lebih rendah pada 0.7% (2018: 1.0%), manakala inflasi asas secara relative kekal stabil (2019: 1.5%; 2018: 1.6%). Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) pada bulan Mei 2019 membuat keputusan untuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) daripada 3.25% kepada 3.00% untuk mengekalkan tahap akomodatif monetari, seterusnya memastikan persekitaran monetari yang kondusif untuk pertumbuhan yang berterusan dalam keadaan harga yang stabil. Di samping itu, nisbah Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirement, SRR) dikurangkan daripada 3.50% kepada 3.00% pada bulan November 2019 dan terus menyokong pasaran kewangan domestik untuk berfungsi dengan cekap.
Prospek dan Dasar pada Tahun 2020
Ekonomi global diunjurkan mencatatkan pertumbuhan negatif pada tahun 2020, disebabkan terutamanya oleh kesan buruk yang ketara kepada ekonomi yang disebabkan oleh pandemik penyakit koronavirus (COVID-19) yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF) menjangkakan ekonomi global akan mengalami kemelesetan pada tahun 2020 yang sekurang-kurangnya menyamai keadaan buruk ketika Krisis Kewangan Global dan meramalkan pemulihan pada tahun 2021. Prospek pertumbuhan bagi ekonomi maju dan EME akan menjadi lemah, dengan ekonomi maju khususnya dijangka mengalami penguncupan dalam pertumbuhan. Langkah-langkah yang dilaksanakan untuk membendung penularan pantas COVID-19, termasuk sekatan perjalanan yang meluas, penguatkuasaan penutupan perniagaan dan sekatan aktiviti sosial, akan menyekat aktiviti sektor swasta pada peringkat global. Walau bagaimanapun, pelaksanaan ciri dan skala campur tangan dasar fiskal dan monetari, yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, merentas ekonomi dijangka dapat mengurangkan gangguan ekonomi akibat COVID-19. Langkah-langkah ini akan menyokong pengembalian aktiviti ekonomi ke tahap normal secara beransur-ansur apabila pandemik ini berjaya dibendung.
Risiko kepada pertumbuhan global adalah cenderung untuk pertumbuhan menjadi rendah, mencerminkan terutamanya ketidakpastian yang ketara berhubung dengan pandemik COVID-19. Tahap impak ekonomi yang timbul daripada pandemik ini akan bergantung pada betapa teruknya dan tempoh penularan dalam pelbagai negara serta langkah-langkah susulan yang diambil untuk membendung krisis kesihatan global ini. Kelemahan dalam ekonomi benar mungkin terjejas selanjutnya akibat keadaan kewangan global yang terus ketat.
Berlatarkan prospek ekonomi global yang sangat mencabar ini, pertumbuhan KDNK Malaysia diunjurkan antara -2.0 hingga 0.5% pada tahun 2020 (2019: 4.3%). Ekonomi dalam negeri akan dipengaruhi oleh tindakan global dan dalam negeri yang perlu diambil untuk membendung wabak ini. Yang penting, sektor berkaitan pelancongan dijangka terjejas oleh sekatan perjalanan yang meluas dan penghindaran risiko perjalanan, sementara gangguan pengeluaran dalam rantaian bekalan global akan menjejaskan sektor perkilangan dan eksport. Meskipun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelanjutan tempohnya adalah amat penting, langkah ini akan melembapkan aktiviti ekonomi berikutan penyedia perkhidmatan kurang penting menghentikan operasi mereka dan kapasiti operasi syarikat perkilangan yang lebih rendah. Selepas tempoh PKP, aktiviti sosial dan rekreasi yang terus perlahan sehingga pandemik ini dapat dikawal sepenuhnya pada peringkat dunia dan dalam negara akan terus melembapkan aktiviti penggunaan dan pelaburan. Selain disebabkan oleh pandemik, ekonomi dalam negeri juga akan terjejas akibat penurunan mendadak dan peralihan yang tidak menentu dalam harga minyak mentah serta gangguan bekalan yang berterusan dalam sektor komoditi. Keadaan cuaca yang buruk dan kerja-kerja penyelenggaraan akan menjejaskan pengeluaran kelapa sawit, minyak mentah dan gas asli.
Memandangkan rintangan kepada pertumbuhan adalah ketara akibat COVID-19, Kerajaan dan Bank Negara Malaysia telah memperkenalkan langkah- langkah dasar kitaran balas yang besar untuk mengurangkan impak ekonomi akibat pandemik ini. Sebanyak dua pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM250 bilion diperkenalkan untuk memberi bantuan segera kepada isi rumah dan perniagaan yang terjejas. Pakej ini termasuk jaminan pinjaman dan moratorium 6-bulan secara automatik bagi pembayaran balik pinjaman untuk individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Langkah- langkah rangsangan ekonomi ini dilengkapi oleh dua pengurangan OPR secara berturut-turut pada awal tahun 2020 dan langkah-langkah untuk menyediakan mudah tunai tambahan dalam sistem perbankan.
Penggunaan swasta dijangka perlahan akibat keadaan pasaran pekerja yang lembap, sekatan pergerakan dan sentimen yang lemah. Walau bagaimanapun, langkah-langkah dasar yang diperkenalkan dalam dua pakej rangsangan ekonomi, termasuk bantuan tunai kepada isi rumah yang mudah terjejas, kelonggaran untuk mengeluarkan simpanan KWSP dan moratorium bagi pembayaran balik pinjaman akan meningkatkan pendapatan boleh guna dan menambah baik aliran tunai untuk isi rumah. Selain menyokong perbelanjaan isi rumah, langkah-langkah yang meluas ini akan memudahkan pemulihan secara beransur-ansur dalam penggunaan swasta apabila keadaan pasaran pekerja kembali stabil berikutan jangkaan aktiviti ekonomi global dan dalam negeri akan meningkat.
Prospek pertumbuhan dalam negeri dijangka bertambah baik menjelang akhir tahun 2020, selaras dengan pemulihan yang diunjurkan dalam permintaan global dan berikutan sokongan langkah- langkah dasar yang berterusan. Permintaan luar yang semakin pulih akan meningkatkan pertumbuhan sektor berorientasikan eksport. Sentimen pengguna juga dijangka beransur-ansur bertambah baik berikutan pelonggaran sekatan perjalanan dan penyambungan semula aktiviti pelancongan apabila risiko daripada pandemik menjadi reda. Di samping itu, jangkaan pemulihan gangguan bekalan dalam sektor komoditi dan perbelanjaan sektor awam yang lebih tinggi akan menyokong peningkatan secara beransur-ansur dalam ekonomi Malaysia pada penghujung tahun 2020. Perbelanjaan sektor awam akan disokong oleh projek berkaitan pengangkutan skala besar yang diteruskan oleh syarikat awam dan pelaksanaan lebih banyak projek berskala kecil bernilai RM4 bilion oleh Kerajaan Persekutuan.
Risiko keseluruhan terhadap prospek pertumbuhan dalam negeri adalah cenderung untuk pertumbuhan menjadi lebih rendah, disebabkan terutamanya oleh risiko COVID-19 yang berlarutan dan penyebaran yang lebih luas, serta kesannya terhadap ekonomi global dan dalam negeri. Pertumbuhan dalam negeri juga masih mudah terdedah kepada kejutan bekalan komoditi yang berulang dan harga komoditi yang terus rendah lantas menimbulkan risiko tambahan kepada pengeluaran dalam sektor komoditi, eksport dan pertumbuhan pendapatan. Selain itu, volatiliti pasaran kewangan yang semakin ketara, yang disebabkan oleh persekitaran luaran yang terus tidak menentu mungkin mengakibatkan keadaan pasaran kewangan domestik yang lebih ketat. Walau bagaimanapun, unjuran pertumbuhan asas yang lebih tinggi mungkin timbul daripada impak yang lebih besar berbanding jangkaan berikutan pelaksanaan pelbagai langkah rangsangan oleh Kerajaan Persekutuan dan langkah tambahan yang dilaksanakan oleh beberapa kerajaan negeri.
Inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata dalam julat antara -1.5 hingga 0.5% pada tahun 2020 (2019: 0.7%), mencerminkan terutamanya harga minyak dan komoditi global yang lebih rendah. Tanpa impak menurun langsung daripada harga minyak dunia yang lebih rendah, inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kekal positif, dengan purata antara 0.8 hingga 1.3%. Hal ini mencerminkan tekanan permintaan yang lemah, jangkaan jurang output yang negatif pada tahun ini, serta keadaan pasaran pekerja yang lembap.
Dasar monetari pada tahun 2020 akan memberi tumpuan kepada usaha menyediakan sokongan kepada pertumbuhan ekonomi dalam negeri dalam persekitaran tekanan harga yang lemah. OPR telah dikurangkan pada bulan Januari dan Mac 2020 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 50 mata asas kepada 2.50% untuk menyediakan persekitaran monetari yang lebih akomodatif bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dalam keadaan harga yang stabil. Nisbah SRR juga dikurangkan selanjutnya sebanyak 100 mata asas pada bulan Mac 2020 bersama-sama dengan fleksibiliti yang diberikan kepada Peniaga Utama untuk mengiktiraf Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Securities, MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Investment Issues, MGII) sebagai sebahagian daripada pematuhan SRR. Langkah ini telah menambah mudah tunai sebanyak RM30 bilion ke dalam sistem perbankan. Di samping itu, Bank telah melaksanakan langkah-langkah untuk memastikan pengantaraan kewangan adalah berterusan termasuk menyediakan dana tambahan untuk PKS, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM13.1 bilion di bawah Tabung BNM untuk PKS dan membuat beberapa pelarasan pada ciri-ciri dana. Langkah-langkah ini, bersama-sama dengan kos peminjaman yang lebih rendah untuk sektor swasta, akan memperkukuh sokongan kepada aktiviti pembiayaan. Dasar monetari akan terus mengambil kira imbangan risiko yang terus berubah-ubah berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi.
Guna menu di kiri untuk melayari Laporan ini selanjutnya.