Meskipun Bank merupakan badan berkanun, Bank tidak bergantung pada dana awam daripada Kerajaan untuk membiayai operasi harian. Sebaliknya, operasi Bank dibiayai oleh pendapatan yang diperoleh daripada pelaburan Bank dalam rizab antarabangsa negara. Pada tahun 2019, Bank telah menjana pendapatan berjumlah RM11,129 juta (2018: RM9,334 juta), selepas ditolak kos berkaitan dengan pengurusan portfolio rizab antarabangsa dan kos menjalankan operasi monetari.

Daripada jumlah pendapatan ini, Bank mengeluarkan perbelanjaan untuk mengurus dan mentadbir operasi harian (“perbelanjaan berulang”) dan juga perbelanjaan untuk membiayai projek pembangunan dan projek berjangka panjang selaras dengan objektif dan fungsi utama Bank (“perbelanjaan pembangunan”). Hal ini termasuk perbelanjaan yang melibatkan operasi mata wang Bank dan perbelanjaan untuk menyelenggara infrastruktur pembayaran negara. Pada tahun 2019, perbelanjaan berulang dan perbelanjaan pembangunan ini berjumlah RM2,161 juta (2018: RM1,772 juta).

Pada tahun 2019, Bank menjana keuntungan bersih selepas cukai berjumlah RM8,926 juta (2018: RM7,521 juta). Daripada jumlah ini, RM5,400 juta (2018: RM5,000 juta) telah diagihkan kepada rizab risiko. Rizab risiko bertindak sebagai penampan kewangan yang penting terhadap sebarang kesan kerugian luar jangka yang boleh berlaku akibat keadaan pasaran yang tidak menentu dan di luar kawalan Bank. Hal ini termasuk pergerakan kadar faedah di Amerika Syarikat dan negara-negara ekonomi maju yang lain, turun naik pertukaran asing dan ketidaktentuan pasaran ekuiti global. Bank terdedah kepada ketidaktentuan kadar pertukaran mata wang asing disebabkan oleh pelaburan rizab antarabangsa adalah dalam mata wang asing, manakala liabiliti Bank adalah dalam ringgit.

Baki keuntungan bersih sebanyak RM3,500 juta (2018: RM2,500 juta) akan dibayar kepada Kerajaan sebagai dividen.

Pada 31 Disember 2019, jumlah aset Bank adalah sebanyak RM451,600 juta (2018: RM447,637 juta). Daripada jumlah ini, sebahagian besar (94%) terdiri daripada portfolio rizab antarabangsa yang berjumlah RM424,090 juta (2018: RM419,572 juta).

Liabiliti Bank berpunca terutamanya daripada deposit oleh institusi kewangan (RM163,714 juta) dan mata wang dalam edaran (RM114,097 juta).

Teruskan membaca:


Guna menu di kiri untuk melayari Laporan ini selanjutnya.