Laporan Tahunan BNM 2019
Dalam melaksanakan usaha untuk mendorong kestabilan monetari, Bank merumus dan mengendalikan dasar monetari supaya inflasi kekal rendah dan stabil, selain memastikan dasar monetari menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan. Bank juga diberi mandat untuk menggalakkan rejim kadar pertukaran yang selaras dengan asas-asas ekonomi negara.
Bagi menggalakkan kestabilan kewangan, Bank mengawal dan menyelia institusi kewangan bagi memelihara keselamatan dan kekukuhan institusi-institusi tersebut. Bank mengawasi pasaran wang dan pasaran pertukaran asing untuk mengekalkan integriti pasaran dan memastikannya berfungsi dengan teratur. Sistem pembayaran juga berada di bawah pengawasan Bank agar sistem pembayaran dan instrumen pembayaran kekal selamat, cekap dan diyakini. Selain itu, Bank juga mengawal selia amalan dalam kalangan institusi kewangan dan syarikat perantara yang terlibat bagi menyediakan perlindungan yang sewajarnya kepada pengguna kewangan.
Bank memainkan peranan penting dalam mendorong sistem kewangan yang progresif dan inklusif. Usaha ini dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan ekonomi dan rakyat Malaysia yang berubah-ubah serta peranan utama kewangan dalam kemajuan sosioekonomi negara. Langkah Bank untuk membangunkan dan memperdalam sistem kewangan konvensional dan kewangan Islam dilaksanakan dengan mengakui bahawa sistem kewangan yang lebih maju ialah sistem yang dapat membantu menyerap kejutan, dan seterusnya menyumbang kepada daya tahan negara.
Selain itu, Bank juga melaksanakan beberapa fungsi penting lain. Antaranya ialah pengeluaran mata wang serta pemegangan dan pengurusan rizab antarabangsa negara. Bank juga merupakan penasihat kewangan, jurubank dan ejen kewangan Kerajaan. Bersama-sama dengan agensi kerajaan dan penguatkuasaan undang-undang lain, Bank memainkan peranan dalam membantu mencegah jenayah penyalahgunaan perkhidmatan kewangan.
Semua peranan dan tindakan yang diambil oleh Bank ini adalah demi menjaga kepentingan negara.
1 Perundangan utama yang lain antaranya termasuk Akta Perkhidmatan Kewangan 2013; Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013; Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002; Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001; Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011; dan Akta Mata Wang 2020.
Teruskan membaca:
- Menggalakkan Kestabilan Monetari
- Menggalakkan Kestabilan Kewangan
- Menggalakkan Sistem Kewangan yang Progresif & Inklusif
- Menggalakkan Sistem Pembayaran & Pengiriman Wang yang Selamat & Cekap
- Pengeluaran Mata Wang
- Mengekalkan Integriti Kewangan
Guna menu di kiri untuk melayari Laporan ini selanjutnya.
