Tinjauan Ekonomi & Monetari 2019
Pihak berkuasa negara di seluruh dunia telah mengambil langkah-langkah yang belum pernah diambil untuk membendung pandemik ini, termasuklah sekatan perjalanan masuk dan ke luar negara, larangan terhadap perhimpunan sosial secara besar-besaran, penghentian operasi perkhidmatan kurang penting, penguatkuasaan penutupan perniagaan, dan yang paling bersifat mengekang, perintah kuarantin menyeluruh terhadap semua segmen penduduk. Walaupun langkah-langkah penjarakan sosial (social distancing) ini adalah penting untuk menjamin kesihatan awam, ia telah mencetuskan kejutan bekalan dan permintaan secara serentak. Penunjuk terkini menandakan bahawa kadar aktiviti ekonomi di banyak negara sedang menguncup dengan ketara, sementara prospek ekonomi maju dan ekonomi sedang pesat membangun semakin merosot. Keadaan ini seterusnya menyebabkan pergolakan yang ketara dalam pasaran kewangan global, lebih-lebih lagi dalam keadaan ketidakpastian dalam pasaran minyak global.
Menyedari situasi yang luar biasa ini, kerajaan-kerajaan dan bank-bank pusat telah melaksanakan langkah- langkah fiskal dan monetari yang signifikan. Rangsangan ini amat penting untuk mengurangkan kesan daripada penguncupan dalam aktiviti ekonomi, dan mengekalkan pendapatan dan guna tenaga sebaik mungkin. Usaha pembendungan dan sokongan dasar yang berkesan akan menyumbang ke arah memastikan kejutan ekonomi akibat pandemik ini adalah bersifat sementara, sekali gus membolehkan aktiviti ekonomi global diteruskan semula sebaik sahaja krisis kesihatan ini dapat dibendung.
Malaysia tidak terkecuali daripada kesan pandemik ini. Meskipun pihak berkuasa yang berkenaan dan petugas barisan hadapan sedang berusaha sebaik mungkin untuk mengurangkan penularan virus ini, impak ekonomi sudah pun dirasai dengan mendalam oleh isi rumah dan juga peniaga. Kesan limpahan daripada pandemik ini dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk membendung penyebaran COVID-19 akan menyebabkan kerugian keluaran yang besar dalam ekonomi Malaysia pada tahun 2020. Campur tangan dasar yang signifikan diperlukan untuk memberikan sokongan kepada individu, isi rumah dan perniagaan bagi mengelakkan gangguan yang sepatutnya bersifat sementara menjadi kekal. Sokongan sedemikian bertujuan mengelakkan kegagalan perniagaan secara meluas yang boleh menyebabkan kesan yang lebih berpanjangan kepada ekonomi, biarpun krisis kesihatan ini sudah reda.
Berdasarkan perkara inilah Kerajaan dan Bank telah bertindak balas dengan pantas menerusi gabungan langkah monetari, kewangan dan fiskal. Bagi pihak Kerajaan, dua pakej rangsangan ekonomi yang besar telah diperkenalkan. Inisiatif ini bertujuan menyokong pendapatan isi rumah dan melindungi pekerjaan, khususnya melalui program seperti pemberian tunai Bantuan Prihatin Nasional dan skim subsidi upah bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk mengekalkan pekerja. Bagi komuniti perniagaan, langkah-langkah seperti kemudahan jaminan pinjaman yang khusus, kos utiliti yang lebih rendah dan penangguhan pembayaran cukai pendapatan akan membantu mengurangkan perbelanjaan perniagaan dan meringankan beban aliran tunai PKS dan syarikat korporat yang terjejas.
Bagi pihak Bank pula, kami telah melaksanakan langkah-langkah untuk memastikan keadaan monetari dan mudah tunai terus menyokong aktiviti ekonomi. Jawatankuasa Dasar Monetari telah mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada bulan Januari dan Mac tahun ini, sebanyak 50 mata asas. Selain itu, nisbah Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirement, SRR) diturunkan sebanyak 100 mata asas, dengan peruntukan kelonggaran untuk mengiktiraf sekuriti Kerajaan sebagai sebahagian daripada pematuhan SRR. Kombinasi langkah-langkah SRR ini akan menambah kira-kira RM30 bilion mudah tunai ke dalam sistem perbankan. Penangguhan bayaran (moratorium) selama 6 bulan turut ditawarkan untuk bayaran balik pinjaman dan pembiayaan. Seiring dengan langkah ini, Bank telah memberikan fleksibiliti sementara dari segi penyeliaan dan pengawalan serta dana khas untuk menyokong usaha oleh institusi perbankan bagi membantu individu, PKS dan syarikat korporat sepanjang tempoh ini. Beberapa langkah untuk membantu pemegang polisi dan peserta takaful yang terjejas juga disediakan, manakala iTEKAD diperkenalkan sebagai inisiatif kewangan sosial untuk memudahkan akses kepada pembiayaan dalam kalangan usahawan mikro B40.
Berlatarkan perkembangan ini, unjuran asas bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah dalam lingkungan -2.0% hingga 0.5% pada tahun 2020, berikutan jangkaan kelembapan serentak dalam permintaan luaran dan dalam negeri. Prospek pertumbuhan terus tertakluk pada ketidakpastian yang ketara susulan perkembangan penularan virus ini yang terus berubah.
Penilaian berdasarkan perspektif yang lebih jelas adalah penting untuk perancangan masa hadapan. Meskipun keadaan semasa kelihatan suram, ekonomi Malaysia sebenarnya kekal berdaya tahan. Sumber pertumbuhan negara dan struktur perdagangan luaran yang pelbagai membantu untuk mengurangkan impak kepada ekonomi akibat daripada perkembangan dalam negeri dan luaran. Lebihan yang berterusan dalam akaun semasa, paras rizab antarabangsa yang mencukupi, dan kadar pertukaran mata wang yang fleksibel turut menyediakan penampan terhadap kejutan luaran. Sektor kewangan terus menjadi sumber kekuatan, sekali gus memastikan pengantaraan kewangan kekal tidak terganggu.
Seiring dengan perkembangan situasi ini, Bank terus berwaspada terhadap perkembangan dalam sistem kewangan dan ekonomi yang lebih luas. Sekiranya keadaan memerlukan, Bank boleh menggunakan instrumen dasar yang sewajarnya untuk mengimbangi kesan kelembapan ekonomi. Pertimbangan dasar monetary terus berpandukan evolusi risiko pertumbuhan menjadi perlahan dalam keadaan harga yang stabil. Operasi monetari Bank akan memastikan keadaan mudah tunai kekal mencukupi bagi pengantaraan kewangan yang tidak terganggu. Pembiayaan juga perlu dipastikan terus tersedia untuk menyokong isi rumah dan perniagaan yang berdaya maju dalam mengharungi krisis kesihatan dan pemulihan ekonomi kelak. Berikutan ketidakpastian yang meningkat mengenai prospek pertumbuhan global dan dalam negeri, volatiliti dalam pasaran kewangan juga dijangka kekal ketara. Dalam persekitaran ini, Bank akan terus membantu pasaran kewangan domestik untuk berfungsi dengan cekap dan teratur, selain mengurus volatiliti yang berlebihan dalam pasaran kewangan dan kadar pertukaran.
Bank mempunyai pelbagai instrumen dasar yang boleh digunakan untuk mengekalkan kestabilan monetari dan kewangan, dan seterusnya menyokong pertumbuhan. Instrumen ini termasuk dasar monetari, dasar kehematan makro dan mikro, serta pengawasan penyeliaan (supervisory oversight) ke atas institusi kewangan. Instrumen-instrumen dasar ini telah memberikan manfaat kepada Bank pada masa lalu dan akan terus memberikan fleksibiliti dan ketangkasan kepada Bank untuk memenuhi mandatnya.
Dalam memacu ekonomi, ciri-ciri saling melengkapi antara dasar monetari, kewangan, fiskal dan struktural adalah penting untuk memastikan tindak balas dasar adalah komprehensif dan diselaraskan dengan berkesan. Ekonomi Malaysia berupaya pulih dengan cepat daripada krisis masa lalu sebahagiannya disebabkan oleh dasar-dasar ini, yang dilaksanakan secara bersama dan tepat pada masanya. Pelbagai langkah yang diumumkan baru-baru ini menekankan pelbagai pendekatan yang akan membantu negara bertahan dan terus pulih daripada impak ekonomi pandemik COVID-19.
Selain kebimbangan jangka pendek, Bank terus mengambil kira proses pemulihan dan akan bekerjasama erat dengan Kerajaan dalam hal-hal berkaitan dengan dasar dan pembaharuan struktur. Meskipun berdepan dengan kesulitan pada masa ini, Bank akan terus memberikan tumpuan pada cabaran jangka lebih panjang, seperti kos sara hidup yang meningkat, ketidaksamaan pendapatan yang berterusan, dan merangsang semula pelaburan negara. Isu-isu ini perlu terus ditangani. Dalam laporan ini, Bank mengemukakan analisis mengenai usaha memastikan pertumbuhan masa hadapan melalui pelaburan yang berkualiti, terutamanya mengenai keperluan untuk membaharui ekosistem pelaburan negara secara menyeluruh. Krisis kesihatan yang serius pada masa kini turut menekankan perlunya pelaburan yang berterusan dalam sistem penjagaan kesihatan negara kita.
Di sebalik kesukaran yang dihadapi pada masa ini, saya berbesar hati memperkenalkan penerbitan sulung Tinjauan Ekonomi dan Monetari (Economic and Monetary Review, EMR). Penerbitan perdana ini akan menyampaikan penilaian ekonomi dan penyelidikan yang dijalankan oleh Bank mengenai topik-topik dasar yang penting. Komunikasi merupakan fungsi dasar yang amat mustahak dan penerbitan baharu ini memainkan peranan yang penting bagi kami untuk mengutarakan dengan jelas isu-isu yang dihadapi, alternatif yang mesti dipertimbangkan, dan objektif yang hendak dicapai bagi isu berkaitan dasar awam. Saya percaya platform khusus untuk mempertimbangkan isu-isu ekonomi dan dasar monetari ini akan banyak membantu ke arah mempertingkatkan kefahaman orang ramai, dan seterusnya, keberkesanan dasar itu sendiri.
Saya berharap bahawa dalam penerbitan EMR pada tahun depan, Bank akan dapat memaklumkan bahawa krisis kesihatan ini telah diatasi oleh komuniti global serta melaporkan pendekatan yang diambil oleh Malaysia dalam mengharungi keadaan genting ini. Buat masa ini, keputusan yang sukar perlu diambil untuk membolehkan negara berjaya melangkah keluar daripada kemelut ini dan menjadi lebih kukuh pada masa hadapan. Kita perlu terus cekal dan bersatu demi kepentingan masa depan bersama. Malaysia pernah mengharungi ranjau sebelum ini, dan saya yakin bahawa kita boleh melakukannya sekali lagi. Bagi pihak Bank, kami akan tetap teguh dalam memenuhi tanggungjawab dan melaksanakan mandat kami dalam menempuh saat yang mencabar dan tidak menentu ini.
