Berlatarkan persekitaran ini, Bank mengambil langkah-langkah untuk mengekalkan inflasi pada kadar yang rendah dan boleh dijangka. Bank mengekalkan kadar faedah pada tahap yang menyokong kelestarian aktiviti ekonomi. Memandangkan dasar kadar pertukaran Malaysia yang fleksibel dapat membantu menampan kejutan luaran, Bank mengawasi pergerakan ringgit dan mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan daripada berlakunya keadaan volatiliti berlebihan yang boleh mengganggu perdagangan dan pelaburan. Bank juga berusaha untuk memastikan sektor kewangan dapat terus memenuhi keperluan ekonomi dengan berkesan. Bank turut memberikan perhatian khusus pada usaha pengukuhan tadbir urus dan kawalan dalam institusi kewangan. Langkah ini adalah bertujuan untuk memastikan institusi kewangan menguruskan risiko secara proaktif dan terus dapat memenuhi keperluan kewangan individu dan perniagaan. Semua dasar ini bertujuan mewujudkan keadaan yang kondusif supaya individu dan sektor perniagaan dapat terus berkembang maju, sama ada menerusi guna tenaga, keusahawanan, pelaburan atau kegiatan ekonomi yang lain.
Pada tahun 2019, Bank memberikan tumpuan pada usaha untuk meletakkan sistem kewangan Malaysia pada kedudukan yang terbaik untuk menghadapi persekitaran baharu pada tahun-tahun yang akan datang. Khususnya, Bank telah mencapai kemajuan yang penting dalam mengenal pasti keutamaan dan memulakan usaha dalam isu-isu yang berkaitan dengan perubahan iklim dan pendigitalan kewangan. Bank bersama-sama dengan Suruhanjaya Sekuriti telah mewujudkan Jawatankuasa Bersama Perubahan Iklim yang menghimpunkan para peneraju utama industri untuk membina daya tahan terhadap iklim dalam sektor kewangan Malaysia. Usaha sama ini akan membolehkan sektor kewangan memahami dan bertindak balas dengan sewajarnya terhadap risiko kewangan yang timbul akibat perubahan iklim. Langkah ini seterusnya bertujuan menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon secara teratur. Sebagai permulaan, Bank mewujudkan kefahaman bersama untuk institusi kewangan mengenal pasti dan menilai implikasi risiko iklim dalam kegiatan ekonomi. Pada tahun 2019, Bank turut membangunkan rangka kerja pelesenan dan pengawalseliaan untuk bank-bank digital. Usaha ini menunjukkan matlamat Bank untuk memudahkan inovasi yang akan memberikan sumbangan kepada sistem kewangan yang lebih inklusif. Seiring dengan langkah masyarakat ke arah era digital yang seterusnya, pendekatan pengawalseliaan Bank akan terus berkembang bagi mencerminkan sistem kewangan yang progresif dan pada masa yang sama terus memelihara kestabilan kewangan.
Meskipun masyarakat global telah menjangkakan permulaan yang mencabar apabila mereka melangkah ke dekad baharu, tidak ramai yang dapat menduga bentuk dan tahap kejutan yang berlaku beberapa minggu kebelakangan ini. Berikutan perkembangan tersebut, Bank akan menyelaraskan beberapa keutamaan untuk tahun 2020– mempertajam tumpuan Bank pada bidang tertentu, dan mengurangkan penekanan Bank pada perkara yang boleh dilaksanakan pada waktu lain yang lebih sesuai. Bank akan meneruskan dasar monetari yang menyokong kemampanan aktiviti ekonomi dalam keadaan inflasi yang rendah. Bank akan memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem dan berusaha untuk menghindarkan keadaan volatiliti yang berlebihan dalam kadar pertukaran. Bank juga akan melaksanakan peranannya dalam memberikan nasihat secara bebas dan profesional kepada Kerajaan mengenai isu-isu yang memberi kesan kepada ekonomi. Dalam persekitaran semasa, tindakan ini akan melibatkan usaha memberikan pertimbangan berkaitan dengan strategi untuk membantu isi rumah dan perniagaan menghadapi kejutan ekonomi akibat COVID-19 dan peralihan ke arah pemulihan yang kukuh.
Dalam aspek pengawalan dan penyeliaan terhadap institusi kewangan, Bank berusaha untuk mengurangkan prokitaran (procyclicality): ini bermaksud Bank berusaha untuk merangsang ekonomi bagi mengurangkan kitaran kejatuhan perniagaan yang mendadak, sekali gus memastikan bahawa risiko diurus dengan baik. Dalam hal ini, Bank meletakkan keutamaan segera supaya sektor kewangan dapat mengurangkan kejutan semasa dan membantu ekonomi menjadi stabil. Institusi kewangan berada dalam kedudukan yang baik untuk melaksanakan hasrat ini, disebabkan oleh penampan kewangan mereka yang besar, yang telah terkumpul selama bertahun-tahun. Keadaan inilah yang membolehkan fleksibiliti pengawalseliaan diumumkan baru-baru ini untuk institusi kewangan dan bantuan kepada pelanggan mereka. Oleh yang demikian, Bank akan mengekalkan hala tuju yang jelas bagi landasan pemulihan dan memastikan penampan sistem kewangan dibina semula tepat pada masanya. Hal ini bertujuan untuk memperkukuh keupayaan sistem kewangan dalam menyediakan sokongan bagi menghadapi sebarang perubahan kepada keadaan ekonomi. Pengalaman yang dialami sekarang ini menunjukkan betapa sukar untuk menjangka perkara yang akan berlaku seterusnya. Dalam hal ini, Bank akan bekerjasama rapat dengan industri untuk mempertingkat daya tahan industri terhadap gangguan kewangan dan operasi. Walaupun terdapat perubahan- perubahan ini, Bank akan kekal aktif dalam memelihara integriti sistem kewangan. Bank akan terus mengadakan rundingan secara meluas mengenai cadangan had transaksi tunai bagi membendung penyalahgunaan pembayaran menggunakan wang tunai dalam jumlah yang besar untuk membiayai aktiviti penyelewengan dan kegiatan haram.
Melangkaui keutamaan pada masa terdekat, Bank juga akan meningkatkan usaha untuk memperkukuh sistem kewangan Malaysia bagi menangani cabaran dan merebut peluang masa hadapan. Bank sedang berusaha membangunkan rangka tindakan sektor kewangan selanjutnya, yang dirancang untuk diterbitkan pada tahun depan. Rangka tindakan ini akan menetapkan hala tuju pengawalseliaan bagi menyokong matlamat sistem kewangan yang kukuh, progresif dan inklusif pada masa hadapan. Hal ini termasuk menggariskan pembaharuan struktur dengan tujuan memodenkan sektor insurans, takaful dan institusi kewangan pembangunan. Bank juga akan mengenal pasti inisiatif yang perlu bagi mengukuhkan infrastruktur pembayaran negara untuk masa hadapan. Langkah ini bertujuan untuk memupuk keyakinan dan penerimaan orang ramai yang lebih meluas terhadap perkhidmatan e-pembayaran dan e-kiriman wang. Menerusi kemajuan rangka kerja pengawalseliaan sedia ada, kewangan Islam dijangka memainkan peranan yang lebih besar pada masa hadapan, terutamanya berpotensi untuk menerapkan prinsip Syariah bagi mengembangkan kewangan sosial dan menangani jurang pasaran secara inovatif. Tahap kesediaan Bank menangani risiko keselamatan siber dan teknologi yang semakin rumit merupakan satu lagi bidang yang penting. Matlamat Bank secara keseluruhan tetap sama, iaitu untuk memastikan pengantaraan kewangan terus berkesan dan menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi dan penyerap kejutan dalam masa-masa yang sukar.
Tempoh yang akan datang bakal menyaksikan perubahan yang ketara dalam wacana awam apabila teknologi terus membawa perubahan kepada kelajuan dan kaedah komunikasi. Bank telah mula mengambil sikap lebih telus dan terbuka dalam membuat penyesuaian dengan perubahan ini bagi memenuhi harapan rakyat Malaysia yang semakin meningkat. Sehubungan dengan itu, Laporan Tahunan pada kali ini mengambil pendekatan yang berbeza. Bank berharap wajah baharu ini dapat membantu orang ramai agar lebih mudah memahami peranan bank pusat dan usaha yang telah dilakukan oleh Bank bagi melaksanakan mandatnya. Selain itu, Bank juga akan terus membuat penilaian teknikal melalui penerbitan Tinjauan Ekonomi dan Monetari, Tinjauan Kestabilan Kewangan dan Buletin Suku Tahunan. Bank juga akan terus bersedia mendengar pandangan pelbagai pihak yang berkepentingan - daripada industri kewangan, sektor perniagaan, Kerajaan dan juga orang ramai – tentang risiko dan peluang dalam jangka masa terdekat serta pada masa yang akan datang. Ini termasuklah pengumpulan maklumat untuk meningkatkan pemahaman menerusi pegawai penghubung ekonomi Bank di seluruh negara dan bekerjasama rapat dengan agensi perkhidmatan awam dalam hal-hal kepentingan bersama. Bank juga akan meneruskan interaksi dan komunikasinya secara meluas pada tahun 2020 apabila Bank menerbitkan pelan tindakan sektor kewangan yang baharu.
Pada tahun 2019, Bank menyambut ulang tahun yang ke-60 dalam memberikan khidmat bakti kepada negara. Sebagai sebuah organisasi, Bank telah menggunakan kesempatan ini untuk meneliti semula perjalanan yang telah ditempuh selama ini dan membuat pertimbangan cara untuk memanfaatkan kejayaan masa lalu bagi melangkah ke dekad yang baharu. Pada tahun 2020, Bank akan terus meneroka peluang untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik dalam menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan. Hal ini termasuklah mengukuhkan tahap akauntabiliti – pada peringkat Bank dan kepada orang ramai – serta memupuk budaya yang mengutamakan sikap berterus terang dan kerjasama dalam organisasi. Pendekatan ini penting bagi menyokong komitmen Bank yang berterusan terhadap integriti dan kecemerlangan, khususnya apabila menghadapi persekitaran yang belum pernah ditempuh sebelum ini. Sambil Bank meneruskan usaha untuk meningkatkan keupayaan pengawasan dan pemantauan, Bank akan turut menambah baik rangka kerja dasar yang diterima pakai. Satu bidang keutamaan yang akan dibangunkan adalah untuk lebih memahami kesalinghubungan antara dasar monetari, kestabilan kewangan, aliran modal dan kadar pertukaran – terutamanya apabila pasaran tidak menentu. Bank juga akan berusaha meningkatkan proses dalaman, menggunakan teknologi secara wajar dan memastikan disiplin yang tinggi dalam pengurusan sumber.
Walaupun Bank memberikan perhatian kepada rangka kerja dan prosedur, namun akhirnya, pelaksanaan mandat Bank adalah menerusi pertimbangan dan tindakan kakitangannya. Warga kerja Bank merupakan aset yang paling penting. Pada tahun 2020, Bank akan terus melaksanakan pemurnian terhadap falsafah pengurusan warga kerja Bank bagi memastikan Bank dapat menyerlahkan potensi terbaik dalam setiap individu. Saya ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan penghargaan yang setulusnya kepada semua kakitangan Bank atas dedikasi dan usaha gigih mereka, terutamanya dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Saya juga amat berterima kasih kepada Lembaga Pengarah atas sokongan dan bimbingan yang diberikan.
Ketika saya menggarap perutusan ini dari rumah, dunia sedang menghadapi suasana yang sangat mencabar. Sebagai sebuah negara, Malaysia telah pun berhadapan dengan beberapa kejutan pada tahun ini. Namun, Bank akan terus gigih melaksanakan mandat yang telah diberikan dengan standard profesionalisme dan integriti yang tidak berbelah bahagi. Saya yakin, dengan bantuan Allah SWT, kita akan berjaya mengharungi cabaran kali ini sepertimana kita melakukannya pada masa lepas.