Speeches & Interviews
Filter by year
Filter by speaker
<!-- Google tag (gtag.js) --> <script async src="https://www.googletagmanager.com/gtag/js?id=G-QCXBYX5C31"></script> <script> window.dataLayer = window.dataLayer || []; function gtag(){dataLayer.push(arguments);} gtag('js', new Date()); gtag('config', 'G-QCXBYX5C31'); </script>
Filter by year
Filter by speaker
Alhamdulillah, dengan izin-Nya, kita dipertemukan secara maya dalam Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara Kali Ke-lima Belas (15) pada tahun ini.
Kesan Penularan COVID-19 kepada Dunia dan Langkah Pemulihan Ekonomi
Setelah satu tahun dunia bergelut dengan cabaran dan impak COVID-19 terhadap ekonomi global dan kesihatan awam, kita melangkah ke tahun 2021 dengan lebih bersedia. Namun, kemunculan pelbagai varian baharu virus yang aktif bermutasi telah menambahkan cabaran dalam menangani penularan wabak dan menjejaskan usaha pemulihan aktiviti ekonomi.
Usaha pemulihan ekonomi memerlukan sokongan pelbagai pihak. Selain jentera kerajaan dan sektor-sektor asas, pelbagai lapisan masyarakat harus bersepakat dalam usaha ini. Tidak kurang juga para ilmuan yang boleh memainkan peranan penting berdasarkan kepakaran masing-masing. Perumusan polisi yang baik memerlukan pengamatan yang dapat mengimbangi kemaslahatan nyawa dan ekonomi agar impak jangka masa panjang turut dapat diatasi dengan lebih baik.
Krisis ini telah memberi impak yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara serantau. Pelbagai pakej rangsangan telah diperkenalkan oleh pihak berautoriti bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh individu dan perniagaan1. Dalam menyokong usaha ini, institusi kewangan dan ilmuan Syariah mempunyai peranan penting untuk menerapkan prinsip ihsan dan adil dalam penawaran program bantuan yang responsif terhadap keadaan semasa dan cabaran yang dihadapi oleh pelanggan. Oleh itu, sejajar dengan tema muzakarah kali ini “Industri Kewangan Islam Pasca Pandemik: Impak, Cabaran dan Hala Tuju”, izinkan saya berkongsi tiga aspek penglibatan ilmuan Syariah yang relevan dalam proses pemulihan ekonomi ini.
Aspek pertama ialah penglibatan aktif ilmuan Syariah dalam perumusan langkah pemulihan ekonomi
Dalam menghadapi ketidaktentuan (uncertainty) akibat penularan wabak COVID-19, penggubalan polisi yang tangkas (agile), anjal (flexible) dan inklusif amat diperlukan. Polisi yang mantap disertai dengan langkah pelaksanaan yang cekap akan dapat membantu ekonomi ke arah pemulihan, di samping memberi perhatian khusus kepada kumpulan rentan. Berpandukan matlamat bagi mencapai pemulihan yang menyeluruh dan terangkum, keperluan setiap kumpulan ekonomi dan pemegang taruh dalam pelbagai sektor perlu diambil kira. Contohnya, program bantuan pembayaran pembiayaan oleh institusi perbankan di Malaysia memfokuskan kepada keperluan aliran tunai isi rumah dan perniagaan pada skala dan kepantasan yang diperlukan semasa kegiatan ekonomi tergendala. Ini bagi mengurangkan bebanan kewangan bagi pelanggan yang terjejas pendapatan. Pendekatan awal ialah untuk membolehkan bantuan ditawarkan secara lebih berfokus. Baru-baru ini, dengan cabaran yang meningkat secara mendadak, pendekatan ini telah diperluas kepada hampir semua lapisan masyarakat dan perniagaan, serta dipermudahkan prosesnya. Dalam masa yang sama, impak kepada institusi perbankan terus diberi pertimbangan supaya daya tahan industri kewangan tetap terpelihara. Satu aspek yang penting dalam pendekatan ini juga ialah untuk memastikan pilihan untuk menerima bantuan ini, termasuk juga bentuk bantuan, kekal di tangan pengguna dan mereka berpeluang membuat keputusan yang tepat, bersesuaian dengan situasi mereka.
Dalam hal ini, panduan hukum Syariah dalam menghadapi situasi krisis menurut perspektif hajah dan darurah adalah penting demi mengimbangi kemaslahatan ekonomi dan industri kewangan, serta kemaslahatan individu. Kejelasan hukum ini dapat memandu perumusan polisi yangsesuai dengan kehendak maqasid Syariah.
Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia juga telah memutuskan bahawa bagi pembiayaan yang distruktur atau dijadual semula semasa tempoh pandemik, prinsip ihsan dan adil perlu menjadi pertimbangan asas dalam penentuan harga baharu pembiayaan yang perlu mengambil kira kedudukan kewangan semasa pelanggan. Institusi perbankan juga diingatkan untuk sentiasa mematuhi garis panduan amalan pemberian pembiayaan yang bertanggungjawab (responsible financing)2 dalam berurusan dengan pelanggan.
Justeru, kejelasan Syariah berhubung pendefinisian golongan terjejas dari dimensi mu`sir dan musir sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Al-Baqarah, ayat 280 adalah penting. Penafsiran ini dapat memberi panduan dalam melaksanakan program bantuan yang berfokus serta menerapkan prinsip ihsan sebagai asas pertimbangan dalam membantu golongan yang mengalami kesukaran.
Selain itu, perluasan interpretasi dalam penentuan asnaf juga telah membolehkan mobilisasi dana zakat dengan lebih luas. Misalnya, inisiatif yang diperkenalkan di Malaysia oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi program #MusaadahCOVID19 telah menyalurkan bantuan zakat kecemasan berjumlah RM25.11 juta3 kepada orang awam, merangkumi golongan yang terjejas pendapatan akibat perintah kawalan pergerakan dan para gelandangan, selain memberi bantuan kepada sektor kesihatan. Kedinamikan dalam penafsiran Syariah yang sesuai dengan suasana pandemik seperti ini juga boleh memandu institusi perbankan dalam mengenal pasti pelanggan yang paling memerlukan bantuan dengan memberikan fleksibiliti pembayaran yang bersesuaian.
Manakala dalam usaha pemulihan ekonomi, strategi yang berkesan perlu seiring dengan langkah pengawalan wabak, terutamanya pencapaian imuniti berkelompok. Namun, usaha ini melibatkan jumlah dana yang besar. Dalam hal ini, keputusan Akademi Fiqh Antarabangsa berhubung keharusan penggunaan sebahagian daripada dana zakat telah memperluas sumber pendanaan bagi tujuan pembelian dan pengagihan vaksin COVID-194. Hal ini diputuskan atas dasar siyasah syar`iyyah5 demi kemaslahatan nyawa di peringkat global. Kejelasan fatwa daripada kerangka maslahah sebegini dapat mendokong usaha pembendungan wabak, terutamanya sebagai penyelesaian alternatif kepada sumber pendanaan yang terhad dan memperluas skala bantuan yang boleh dihulurkan.
Aspek kedua ialah mengenai penyesuaian ke arah norma baharu
Situasi hari ini membawa pelbagai norma baharu. Salah satu yang dijangka berkekalan ialah transformasi digital, yang turut memberi peluang ke arah mencapai rangkuman kewangan (financial inclusion) yang lebih baik. Ini terutamanya bagi memenuhi keperluan kewangan kepada golongan tertentu yang tidak dapat dipenuhi melalui kaedah penawaran secara tradisional. Dalam mendepani impak COVID-19 ke atas ekonomi, aspirasi seumpama ini menjadi lebih bermakna dan penting untuk direalisasikan demi pemulihan ekonomi yang inklusif.
Dalam hal ini, peranan penasihat Syariah adalah penting terutamanya dalam penerapan budaya pematuhan Syariah yang baik dan memperjelas keperluan Syariah, seperti pengoperasian transaksi kewangan digital yang bebas daripada unsur larangan Syarak.
Situasi seperti ini turut menuntut para ilmuan Syariah melihat kepada pendekatan yang praktikal, relevan, dan adil dalam menyantuni keperluan dan permasalahan semasa. Justeru itu, aplikasi fiqh al-waqi` (iaitu hukum fiqh yang berdasarkan realiti) adalah penting bagi memperkukuh fatwa yang diputuskan dalam pembangunan dasar yang bersesuaian.
Aspek ketiga berkenaan pemerkasaan kolaborasi dalam meningkatkan sinergi dan keberhasilan ke arah penjanaan semula ekonomi
Dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar, strategi yang terencana secara sistematik dan menyeluruh mampu meringankan beban golongan yang terjejas, serta meningkatkan taraf dan kualiti kehidupan masyarakat ke tahap yang lebih baik demi mencapai maqasid Syariah.
Jalinan kerjasama dalam memperkasa penggunaan instrumen kewangan sosial Islam merupakan suatu inisiatif yang akan diterokai dengan lebih mendalam. Saya ingin membawa contoh program perintis iTEKAD6 yang diperkenalkan di Malaysia. Program ini melibatkan kolaborasi erat antara institusi perbankan dengan majlis agama Islam negeri dan rakan-rakan pelaksana lain yang bermatlamat memangkin kemandirian masyarakat terutamanya golongan terjejas pendapatan. Menerusi gabungan antara instrumen kewangan sosial Islam seperti zakat, sedekah dan wakaf tunai bersama produk pembiayaan mikro, iTEKAD menawarkan sumber modal kerja serta latihan keusahawanan dan bimbingan berterusan bagi meningkatkan kemahiran dan daya maju dalam bidang yang diceburi oleh peserta. Melalui usahasama seumpama ini, capaian dapat disasarkan ke skala yang lebih besar agar matlamat pembangunan sosio-ekonomi dapat diraih dengan lebih inklusif.
Dalam relung inisiatif yang serupa juga, kolaborasi strategik antara badan pengawal selia seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pula bermatlamat membina keupayaan ke arah mencapai peralihan kepada ekonomi rendah karbon demi amalan ekonomi yang lebih mampan. Sinergi sebegini adalah kritikal dalam langkah ke arah pemulihan ekonomi yang lestari, sambil terus menangani impak daripada perubahan iklim dan bencana alam yang semakin meruncing.
Menerusi platform sebegini termasuk kerjasama dan perkongsian dengan negara-negara serumpun, pencetusan idea-idea segar dan baharu diharapkan dapat menghasilkan kerangka penentuan hukum Syarak yang jelas dan praktikal bagi menyokong penjanaan semula ekonomi serantau yang lestari dan mampan, serta memperkasa kewangan Islam demi manfaat bersama.
Kesimpulan
Kita berhadapan dengan suasana industri kewangan yang begitu dinamik dan mencabar. Strategi penawaran kewangan Islam juga seharusnya lebih kreatif dan bersesuaian, tanpa mengabaikan prinsip pematuhan Syariah yang asas. Kita perlu sentiasa peka dan sedia untuk beradaptasi dan berinovasi untuk kekal memberi manfaat dan impak positif kepada ekonomi dan masyarakat.
Saya mendoakan muzakarah pada kali ini akan berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan.
4 Resolusi penuh boleh dilayari menerusi www.iifa-aifi.org/wp-content/uploads/2021/03/IIFA-Symposium-on-Anti-Covid-19-Vaccines-Feb-2021.pdf
5 Maksud: Dasar atau pendekatan yang diambil oleh pemerintah atau pihak berkuasa demi kepentingan rakyat dan negara dan selaras dengan prinsip Syariah