<!-- Google tag (gtag.js) --> <script async src="https://www.googletagmanager.com/gtag/js?id=G-QCXBYX5C31"></script> <script> window.dataLayer = window.dataLayer || []; function gtag(){dataLayer.push(arguments);} gtag('js', new Date()); gtag('config', 'G-QCXBYX5C31'); </script>

Navigation

  • Skip to Content
BNM Logo BNM Logo
  • About Us
      Our Roles Board of Directors Governor Management Committee Senior Officers of BNM Organisation Structure Statutory Committees
  • Topics
  • News & Events
      Press Releases Public Notices Speeches Calendar of Events Events at BNM Procurement
  • Rates & Statistics
  • Publications
  • Regulations
      Legislation Standards & Guidelines FSP Directory Enforcement Actions
  • Careers
      Join Us Job Vacancies Kijang Graduate Programme Internships Scholarships
  • Contact Us
      Contact Us BNM Offices Whistleblowing Policy
Search

Language Selector

melayu

Breadcrumb

  1. Home
  2. News & Events
  3. Speeches
  4. Ucapan oleh Penolong Gabenor bersempena Kempen Kesedaran Kewangan Sarawak (Secara Maya)

Speeches & Interviews selector

Print

Speeches & Interviews

Filter by year   

Filter by speaker   

 

Search title in Speeches

Asset Publisher

null Ucapan oleh Penolong Gabenor bersempena Kempen Kesedaran Kewangan Sarawak (Secara Maya)

Print

Ucapan oleh Penolong Gabenor bersempena Kempen Kesedaran Kewangan Sarawak (Secara Maya)

Speaker: Encik Abu Hassan Alshari Yahaya Venue: - Delivery Date : 03 Aug. 2021

Orang Sarawak nang kacak-kacak,
Bila sidak senyum tang manis jak ditangga,
Selamat pagi semua orang Sarawak,
Bersua kita di alam maya.

Bagi pihak Bank Negara Malaysia, saya ingin mengalu-alukan kehadiran para hadirin ke Kempen Kesedaran Kewangan Sarawak (ViSFA) yang julung – julung kali diadakan bermula hari ini dan akan berlangsung sehingga hujung bulan Oktober 2021. Kami berbesar hati atas kesudian Ketua Menteri Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Dr. Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg meluangkan masa untuk merasmikan Kempen Kesedaran Kewangan Sarawak ini untuk meningkatkan literasi kewangan di kalangan penduduk Negeri Sarawak. Terima kasih juga saya ucapkan kepada Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC), Yang Berhormat Dato' Sri Dr. Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar dan Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (MINTRED), Yang Berhormat Datuk Haji Mohd Naroden Haji Majais, atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam  menjayakan Kempen ini.

Tidak lupa juga kepada rakan kolaborasi ViSFA yang terdiri daripada Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), Kementerian, Jabatan, Agensi kerajaan dan juga swasta, persatuan-persatuan, pengusaha perniagaan dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif ini.

Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Pejabat Bank Negara Malaysia Kuching sebagai penyelaras program di atas usaha untuk menjayakan ViSFA ini.

Pandemik Covid-19 yang melanda pada ketika ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara, malah menjejaskan individu dan perniagaan dari pelbagai aspek. Prihatin dengan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh rakyat Malaysia, Kerajaan dan industri kewangan telah memperkenalkan pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi dalam menangani kesan krisis akibat Covid-19.

Pertama, pihak BNM dengan kerjasama industri perbankan telah menambah baik Bantuan Bayaran Balik Pinjaman, seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri di bawah pakej PEMULIH. Peminjam individu dan perusahaan mikro serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik boleh mula memohon moratorium selama enam bulan sejak 7 Julai 2021. Selain itu, bantuan alternatif yang lebih sesuai dengan keperluan dan kedudukan kewangan peminjam turut disediakan oleh institusi perbankan dan juga Agensi Kaunseling dan Perkhidmatan Kredit (AKPK) di bawah Program Pengurusan Kredit ataupun “Debt Management Programme, DMP”.

Kedua, BNM juga mempunyai mekanisme penyelesaian ataupun “redress mechanism” untuk menolong orang ramai yang menghadapi kesukaran berurusan dengan pihak bank. Sebagai contoh, jika peminjam menghadapi apa-apa kesukaran dengan bank-bank mereka, atau jika bayaran ansuran meningkat secara tidak munasabah apabila mendapatkan bantuan moratorium, peminjam boleh menghubungi BNMTELELINK melalui bnm.my/RAsurvey untuk mengemukakan aduan mereka. Setiap hari BNM LINK akan menyampaikan maklum balas ini kepada bank dan meminta tindakan segera untuk diambil. BNM akan terus memantau setiap kes aduan yang dikemukakan.

Ketiga, BNM telah menyediakan kemudahan pembiayaan tambahan atau yang ditambah baik bagi memberikan bantuan dan menyokong pemulihan PKS. Sepanjang pandemik ini tercetus, lebih daripada 37 ribu PKS telah mendapat pembiayaan melebihi 15 bilion ringgit di bawah ‘Dana BNM untuk PKS’. Baru – baru ini, BNM telah menambah lagi peruntukan di bawah Dana BNM untuk PKS sebanyak RM2 bilion. Penambahan ini meningkatkan jumlah dana yang tersedia pada akhir bulan Jun kepada RM8.6 bilion.

Pakej bantuan dan inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan bertujuan untuk memberikan suntikan kepada ekonomi negara untuk tujuan kesejahteraan rakyatnya. Walau bagaimana pun, perlu ditekankan bahawa kita sebagai individu juga mempunyai peranan untuk membuat perancangan kewangan yang mapan untuk kesejahteraan hidup.

Sehubungan itu, Kempen yang julung kalinya diadakan secara maya ini merupakan kesinambungan kepada usaha BNM dan rakan kolaborasi dalam meningkatkan kesedaran kewangan secara menyeluruh khususnya kepada rakyat di Sarawak dengan memberi penekanan kepada agenda perlindungan, pendidikan pengguna dan rangkuman kewangan. Kempen yang akan berlangsung selama 3 bulan ini mempunyai temanya yang tersendiri, di mana pada bulan Ogos 2021 bertemakan ‘Hak dan Tanggungjawab Pengguna Kewangan’, pada bulan September 2021 bertemakan ‘Urus Kewangan Anda Dengan Bijak’ dan pada bulan Oktober pula bertemakan ‘Jenayah Kewangan’.

Pastinya kita sebagai seorang individu ingin menjalani kehidupan yang bermakna, selesa dan stabil serta bebas daripada masalah kewangan dan berupaya menghadapi masalah kewangan yang tidak dijangka tanpa mengalami beban kewangan.

Sehubungan itu, izinkan saya berkongsi beberapa jenis bantuan/sokongan yang disediakan oleh BNM, institusi kewangan dan AKPK serta panduan pengurusan kewangan yang boleh dilakukan dalam kehidupan seharian.  

Pertama, kepentingan menetapkan perancangan kewangan jangka panjang. Setiap individu disarankan untuk menetapkan sasaran kewangan masa hadapan, contohnya untuk masa persaraan. Sasaran kewangan ini adalah penting kerana ianya akan mempengaruhi tabiat kewangan seharian baik dari segi aspek menjana pendapatan mahupun corak perbelanjaan. Sasaran kewangan ini juga dapat membantu kita untuk membuat pilihan produk kewangan yang bersesuaian contohnya produk deposit/simpanan, pelaburan, perlindungan dan pinjaman.

Sekiranya anda tidak tahu di mana harus anda membuat rujukan tentang sasaran kewangan dan pengurusan kewangan, saya ingin syorkan supaya anda menghubungi AKPK untuk bantuan lanjut. Selain Program Pengurusan Kredit (DMP) dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS), AKPK juga menyediakan dua perkhidmatan penting lain iaitu: - (i) pendidikan kewangan yang menawarkan maklumat mengenai kemahiran pengurusan wang asas serta petua mengenai cara mengendalikan hutang secara bertanggungjawab dan (ii) nasihat kewangan yang memberikan nasihat peribadi mengenai pengurusan kewangan termasuklah berkenaan masalah berkaitan hutang. Kedua - dua perkhidmatan ini adalah diberikan secara percuma.

Untuk tujuan persaraan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga mempunyai kakitangan terlatih untuk memberi nasihat berkaitan pelan persaraan supaya anda dapat menikmati persaraan yang lebih selesa.

Selain agensi – agensi yang saya sebutkan di atas, pelbagai aplikasi digital kewangan telah disediakan sama ada oleh institusi kewangan atau pun institusi yang berkaitan untuk membantu orang ramai menguruskan kewangan dengan lebih baik. Antaranya ialah aplikasi perbandingan produk kewangan ataupun “financial comparison aggregator” seperti ringgitplus.com dan imoney.my yang membolehkan pengguna untuk membuat perbandingan produk kewangan dalam satu portal tanpa perlu berkunjung secara fizikal ke cawangan institusi kewangan.

Kedua, sebagai pengguna kewangan kita haruslah cakna tentang hak dan tanggungjawab sebagai pengguna kewangan termasuklah mengetahui saluran aduan dan penyelesaian ataupun “complaint and redress procedure”.

BNM juga berusaha untuk memupuk tingkah laku perniagaan yang adil, bertanggungjawab dan profesional di kalangan institusi kewangan dan melindungi hak dan kepentingan pengguna perkhidmatan dan produk kewangan. Pada tahun 2019, BNM telah memperhebatkan usaha untuk memajukan standard tingkah laku profesional yang tinggi di kalangan penyedia perkhidmatan kewangan dengan memperkenalkan prinsip- prinsip utama mengenai perlakuan adil terhadap pengguna kewangan. Piawaian tersebut bertujuan untuk memastikan bahawa pengguna kewangan diberi layanan yang adil oleh institusi kewangan. Antara lain, piawaian menetapkan supaya institusi kewangan mesti bertindak dengan niat yang baik serta professional dengan memastikan kewajaran dalam syarat kontrak, memberikan maklumat produk yang jelas, memberikan nasihat atau cadangan yang sesuai dengan keperluan dan keadaan kewangan seseorang individu. Aduan dan tuntutan pengguna kewangan juga harus ditangani dengan segera, adil dan berkesan.

Ketiga, lindungi nyawa dan aset kewangan kita. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, hanya 22 peratus daripada rakyat Malaysia mempunyai perlindungan insurans atau takaful kesihatan peribadi. Walaupun kita mungkin merasakan perlindungan insurans dan takaful bukan satu perkara yang perlu diberi keutamaan, kita juga tidak dapat nafikan bahawa perlindungan insurans dan takaful ini boleh membantu memberikan perlindungan di saat luar jangka seperti kemalangan, kebakaran, kecelakaan dan kehilangan nyawa. Menyedari kepentingan skim perlindungan insurans dan takaful kepada orang ramai, kerajaan telah memberikan pelbagai insentif untuk menggalakkan penyertaan orang ramai di dalam skim tersebut. Di dalam pembentangan Belanjawan 2021 yang lalu, kerajaan telah memperluaskan skim perlindungan sosial kepada golongan B40 melalui Program Baucar Perlindungan Tenang (RM50) dan pengecualian duti setem untuk pembelian produk Perlindungan Tenang selama 5 tahun sehingga tahun 2025. Melalui Perlindungan Tenang, kita kini boleh membeli atau menyertai pelan perlindungan yang mampu milik dan mudah difahami, dengan proses tuntutan yang senang dan ringkas.

Selain itu, elakkan diri daripada terjebak dalam mana-mana skim cepat kaya. Dalam keadaan sukar ini, ramai yang masih terkesan dan terbeban dengan komitmen dan hutang dan ini mendorong individu untuk mengambil langkah mudah dengan harapan akan mendapat wang berlipat ganda, tetapi akhirnya akan terjerat dengan perangkap sindiket jenayah dan penipuan. Oleh itu, orang ramai diingatkan untuk sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran skim pelaburan cepat kaya yang terdapat di laman sosial media, aplikasi whatsapp dan jaringan media sosial yang lain.

Bagi pihak BNM dan semua yang terlibat, saya berharap agar rakyat Sarawak dapat memanfaatkan sepenuhnya Kempen yang dianjurkan ini dengan menyertai sesi webinar yang disediakan dan juga mengikuti  pelbagai infotainment, trivia/kuiz melalui akaun media sosial rasmi ViSFA.

Saya juga menaruh harapan yang tinggi supaya Kempen ini berjaya mendidik dan meningkatkan pengetahuan pengurusan kewangan kepada rakyat Sarawak yang seterusnya akan menjadi titik permulaan dalam membina masyarakat celik kewangan dan mengubah hidup ke arah yang lebih sejahtera.

Sebagai penghias bicara akhir, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun:

 

Orang Sarawak idup bermuafakat,
Sik kira bangsa dan juak agama,
Semoga ViSFA kali tok memberik manfaat,
Jom timba ilmu untuk kepentingan bersama

 

Sekian, terima kasih.

 

 

Follow us
  • facebook social icon
  • twitter social icon
  • instagram social icon
  • youtube social icon
  • medium social icon
  • telegram icon
  • tiktok icon
Website Tools
  • Search
  • Email Alert
  • Contact Us
  • Download Forms
Legal Notices
  • Terms of Use for BNM Website
  • Terms of Use for BNM Datasets
  • Disclaimer
  • Privacy & Cookie Policy
BNMLINK Contact Centre
  • call-1 icon
    1-300-88-5465 Monday - Friday 9am - 5pm
  • decoration
    e-LINK Form
  • BNM General Line
  • call-1 icon +603 2784 8888
© Bank Negara Malaysia. All rights reserved.
arrow-up icon