<!-- Google tag (gtag.js) --> <script async src="https://www.googletagmanager.com/gtag/js?id=G-QCXBYX5C31"></script> <script> window.dataLayer = window.dataLayer || []; function gtag(){dataLayer.push(arguments);} gtag('js', new Date()); gtag('config', 'G-QCXBYX5C31'); </script>

Navigation

  • Skip to Content
BNM Logo BNM Logo
  • About Us
      Our Roles Board of Directors Governor Management Committee Senior Officers of BNM Organisation Structure Statutory Committees
  • Topics
  • News & Events
      Press Releases Public Notices Speeches Calendar of Events Events at BNM Procurement
  • Rates & Statistics
  • Publications
  • Regulations
      Legislation Standards & Guidelines FSP Directory Enforcement Actions
  • Careers
      Join Us Job Vacancies Kijang Graduate Programme Internships Scholarships
  • Contact Us
      Contact Us BNM Offices Whistleblowing Policy
Search

Language Selector

melayu

Breadcrumb

  1. Home
  2. News & Events
  3. Speeches
  4. Governor's Welcoming Address at the Launch of the National Fraud Portal

Speeches & Interviews selector

Print

Speeches & Interviews

Filter by year   

Filter by speaker   

 

Search title in Speeches

Asset Publisher

null Governor's Welcoming Address at the Launch of the National Fraud Portal

Ucapan Alu-aluan oleh Gabenor
di Pelancaran National Fraud Portal
Sasana Kijang | 20 Ogos 2024

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan selamat datang ke Bank Negara Malaysia.

Bagi pihak Bank Negara Malaysia, izinkan saya mengucapkan terima kasih pertamanya, kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan II atas kesudian YB untuk menghadiri majlis pelancaran Portal Fraud Kebangsaan atau National Fraud Portal (NFP). Terima kasih juga kepada semua hadirin yang meluangkan masa untuk hadir pada majlis petang ini.

Pelancaran NFP merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha negara untuk membanteras gejala penipuan kewangan, serta satu daripada pelbagai langkah yang telahpun diambil bagi mengekalkan keyakinan Rakyat terhadap sistem kewangan digital di Malaysia. Namun, majlis kita pada hari ini bukan sekadar ingin menguar-uarkan inisiatif terkini, malah kita ingin menzahirkan penghargaan kepada pelbagai agensi Kerajaan, agensi penguatkuasaan dan peserta industri kewangan atas sokongan dan komitmen yang teguh dalam usaha kita untuk memelihara ekosistem kewangan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Penipuan kewangan bukanlah suatu isu yang hanya melanda negara kita, akan tetapi merupakan sebuah ancaman global. Menurut Global Anti-Scam Alliance, kerugian kewangan akibat penipuan di seluruh dunia telahpun melebihi USD1 trilion pada tahun 2023. Di Malaysia, data menunjukkan jumlah kerugian yang ditanggung oleh mangsa penipuan kewangan secara keseluruhan boleh dikatakan agak kecil berbanding jumlah transaksi kewangan domestik. Namun kita tidak boleh leka tetapi perlu lebih peka dalam mengenal pasti dan mengatasi ancaman ini, bagi memastikan keyakinan ke atas sistem kewangan negara sentiasa terpelihara.

Kerjasama bersepadu pelbagai pihak di seluruh negara dalam usaha membanteras penipuan adalah jelas. Pelbagai agensi Kerajaan, pengawal selia serta peserta industri telah berganding bahu dalam mencegah penipuan melalui pendekatan serampang tiga mata. Pertama, dengan mengukuhkan lagi pertahanan kita melalui langkah-langkah pencegahan penipuan yang dipertingkatkan. Kedua, menambah baik keupayaan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjenayah serta mendapatkan semula dana yang dicuri dan mengembalikannya kepada mangsa. Akhir sekali, memastikan kepentingan pengguna terpelihara dengan baik serta meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung dengan amalan keselamatan siber yang baik.

Dari sudut penguatkuasaan secara khususnya, negara telah beroleh manfaat ketara hasil daripada penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan atau National Scam Response Centre (NSRC) pada bulan Oktober 2022. Setakat bulan Jun 2024, NSRC telah membuka lebih daripada 12,000 kertas siasatan dan membekukan sejumlah RM72 juta daripada akaun yang dikenal pasti melalui perintah penguatkuasaan yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia.

Walau bagaimanapun, penjenayah siber akan terus-menerus mengeksploitasi teknologi untuk mengembangkan taktik mereka. Lantas, NSRC juga perlu mengorak langkah menggunakan pendekatan dipacu teknologi bagi mengatasi kesemua ancaman ini. Dalam hal ini, pihak Bank Negara Malaysia, PayNet (pengendali perkhidmatan pembayaran domestik) dan peserta industri kewangan telah berganding bahu untuk membangunkan National Fraud Portal (NFP) untuk memanfaatkan kuasa teknologi dan analisis data dalam usaha membanteras penipuan kewangan.

Menerusi NFP, operasi NSRC kini dilengkapi dengan keupayaan automasi menyeluruh atau end-to-end bagi menguruskan laporan penipuan, mengesahkan dan menjejak dana yang dicuri, serta membolehkan perkongsian amaran awal dalam kalangan institusi kewangan agar tindak balas pantas dapat diambil. NFP yang memanfaatkan infrastruktur guna sama PayNet ini menyediakan data pembayaran yang berwibawa (credible) untuk operasi NSRC bagi memudahkan pengesanan dan analisis dana.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Perjalanan kita untuk memerangi penipuan masih panjang dan berliku-liku. Dalam kita mengorak langkah ke hadapan, saya ingin menegaskan tentang tiga tema utama ke arah usaha kita untuk memerangi penipuan kewangan:

  • Pertama, kita harus mengoptimumkan penggunaan teknologi atau optimising technology bagi mempertingkatkan keupayaan kita. Memandangkan taktik penipuan kewangan akan terus berkembang, keupayaan dan kaedah kita untuk membanterasnya juga perlu terus dipertingkatkan. Salah satu ciri utama NFP ialah reka bentuk modular yang membolehkan penambahbaikan berterusan dibuat pada masa hadapan ke atas infrastruktur asas yang sedia ada. Usaha juga sedang giat dilaksanakan untuk memanfaatkan kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) untuk mengenal pasti transaksi mencurigakan melalui analisis ramalan (predictive analysis).
  • Kedua, kita perlu terus menerapkan tindakan bersepadu atau nurturing collaboration dalam usaha kita. Membanteras penipuan kewangan memerlukan pendekatan seluruh negara serta kerjasama yang erat antara sektor awam dengan sektor Dalam hal ini, saya ingin berkongsi dengan Yang Berhormat Datuk Seri dan para hadirin sekalian tentang maklum balas positif yang diterima untuk NFP, dengan 16 institusi kewangan telahpun menyertai portal ini dan banyak lagi institusi akan menyusul dalam masa terdekat. Tanggungjawab memerangi jenayah penipuan kewangan ini bukan hanya terletak pada pihak Kerajaan, agensi-agensi Kerajaan dan industri kewangan semata- mata. Sehubungan dengan hal ini, BNM dan industri kewangan mengalu- alukan penglibatan baharu dan meluaskan penglibatan sedia ada daripada semua pihak berkepentingan yang berkaitan dalam ekosistem digital yang lebih umum untuk mengukuhkan lagi tindak balas bersepadu kita. Seperti mana “bulatnya air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Usaha bersama antara kita merupakan kunci ke arah membina ekosistem kewangan yang selamat dan terjamin.
  • Ketiga, kita perlu terus gigih dalam usaha memperkasakan pengguna atau empowering consumers supaya lebih berwaspada dalam usaha semua pihak untuk membanteras penipuan kewangan. Orang ramai merupakan benteng pertahanan pertama bagi mencegah penipuan kewangan. Sama penting di sini ialah usaha industri kewangan untuk menangani akaun keldai dan mendidik orang ramai agar tidak terjebak menjadi mangsa akaun keldai. Bagi menyokong usaha ini, baru-baru ini protokol pengendalian akaun keldai peringkat industri telah dikeluarkan untuk mempertingkatkan keupayaan industri untuk mengesan akaun keldai. Di samping itu, penambahbaikan NFP sedang dirancang bagi membolehkan pengguna melaporkan transaksi mencurigakan secara terus daripada akaun perbankan dalam talian atau akaun perbankan mudah alih mereka.

Ketiga-tiga tema ini, iaitu optimising technology, nurturing collaboration dan empowering consumers, gabungan huruf awalnya dieja menjadi ONE. Inilah lambang pendekatan bersepadu seluruh negara kita untuk membanteras penipuan kewangan.

Hadirin sekalian,

Sebagai penutup, ingin saya tegaskan bahawa Bank Negara Malaysia dan industri kewangan kekal komited untuk memelihara kestabilan sektor kewangan negara serta melindungi kepentingan semua pengguna. Demi kemaslahatan negara, BNM akan terus membuat penyesuaian dan memajukan strategi untuk mengatasi ancaman berhubung dengan penipuan kewangan. Meskipun langkah-langkah yang sudah diambil telah ketara menunjukkan kesan, kami akui bahawa masih banyak usaha yang perlu terus dilakukan. Oleh itu, saya juga menyeru kepada semua yang hadir pada hari ini untuk terus berganding bahu memikul tanggungjawab bersama untuk menghadapi cabaran ini, demi memelihara dan mengekalkan keyakinan terhadap sistem pembayaran negara untuk kepentingan semua.

Terima kasih.

Bank Negara Malaysia

20 Ogos 2024

Follow us
  • facebook social icon
  • twitter social icon
  • instagram social icon
  • youtube social icon
  • medium social icon
  • telegram icon
  • tiktok icon
Website Tools
  • Search
  • Email Alert
  • Contact Us
  • Download Forms
Legal Notices
  • Terms of Use for BNM Website
  • Terms of Use for BNM Datasets
  • Disclaimer
  • Privacy & Cookie Policy
BNMLINK Contact Centre
  • call-1 icon
    1-300-88-5465 Monday - Friday 9am - 5pm
  • decoration
    e-LINK Form
  • BNM General Line
  • call-1 icon +603 2784 8888
© Bank Negara Malaysia. All rights reserved.
arrow-up icon