Speeches & Interviews
Filter by year
Filter by speaker
<!-- Google tag (gtag.js) --> <script async src="https://www.googletagmanager.com/gtag/js?id=G-QCXBYX5C31"></script> <script> window.dataLayer = window.dataLayer || []; function gtag(){dataLayer.push(arguments);} gtag('js', new Date()); gtag('config', 'G-QCXBYX5C31'); </script>
Filter by year
Filter by speaker
Welcoming Speech by Governor Rasheed
at the Launch of Karnival Celik Kewangan (KCK) Pulau Pinang
Bayan Lepas | 15 November 2025
Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang,
Ketua-ketua agensi kerajaan,
Ahli-ahli serta rakan usaha sama Jaringan Pendidikan Kewangan,
Wakil-wakil industri kewangan dan agensi kerajaan,
Serta para pengunjung yang saya hormati sekalian.
Pengenalan - ilmu yang dekat dengan rakyat
Terlebih dahulu, bagi pihak Bank Negara Malaysia dan Jaringan Pendidikan Kewangan atau FEN, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang hadir ke Karnival Celik Kewangan Pulau Pinang 2025.
Saya tahu, apabila di hujung minggu di pusat beli-belah sebegini, ramai yang datang untuk berehat, makan atau jalan-jalan. Tapi hari ini, sambil bersantai, kita juga boleh mendapat sesuatu yang berharga iaitu – ilmu mengurus kewangan agar kita dapat mengurus kehidupan kita dengan lebih tenang dan tersusun.
Karnival ini merupakan acara kemuncak Bulan Literasi Kewangan 2025, satu inisiatif nasional untuk memperkasa rakyat dengan ilmu dan kemahiran kewangan. Sepanjang bulan ini, Skuad Celik Kewangan, yang terdiri daripada ahli-ahli dan rakan usaha sama FEN, telah menjelajah ke lebih 100 lokasi di seluruh negara - bertemu pelajar, peniaga kecil, suri rumah, warga emas dan lain-lain lagi dengan membawa mesej bahawa mengurus wang dengan bijak merupakan asas kesejahteraan hidup.
Membina Daya Tahan Dalam Zaman Tidak Menentu
Tuan-tuan dan puan-puan,
Ekonomi Malaysia hari ini kekal stabil dan berdaya tahan. Namun, seperti negara-negara lain di dunia ini, kita juga berdepan dengan cabaran kos sara hidup, dunia pekerjaan yang berubah dan teknologi yang bergerak pantas daripada kemampuan kita untuk menyesuaikan diri. Dalam keadaan ini, literasi kewangan menjadi kemahiran asas yang membantu rakyat untuk berfikir lebih panjang sebelum berbelanja; membuat keputusan kewangan yang bijak; dan membina daya tahan isi rumah. Ilmu kewangan membantu kita menilai keperluan sebenar, mengelak hutang berlebihan, dan sentiasa bersedia sekiranya menghadapi kecemasan.
Atas sebab itu, FEN telah memperbaharui Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030. Matlamat kita bukan sekadar mahu rakyat tahu mengira duit, tetapi tahu menggunakan duit dan menguruskan kewangan untuk meningkatkan taraf hidup.
Digital: Mudah, Tapi Berhati-hati
Hadirin sekalian,
Dunia kewangan digital kini semakin berkembang. Hampir sembilan daripada sepuluh rakyat Malaysia sudah mula menggunakan perkhidmatan kewangan digital daripada membayar bil hingga membeli perlindungan insurans. Tetapi, dalam kemudahan ini, ada risikonya. Serangan scam kini semakin canggih. Ada yang menggunakan kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) untuk meniru suara dan wajah orang yang kita kenal.
Pesan kami: “Jangan kongsi maklumat peribadi. Periksa sebelum klik. Fikir sebelum bayar.” Bank Negara Malaysia bersama industri kewangan dan agensi penguat kuasa akan terus memperkukuh langkah keselamatan siber, tetapi yang paling penting ialah kesedaran dan kewaspadaan setiap pengguna.
Berbelanja Dengan Sedar, Bukan Emosi
Satu lagi cabaran hari ini ialah budaya “painless payment”. Bila segalanya boleh dibayar dengan satu sentuhan atau imbasan skrin sahaja, kita mudah berbelanja tanpa sedar. Kajian mendapati 31% pengguna berbelanja secara impulsif ketika membeli dalam talian. Ini mungkin nampak kecil, tapi jika berulang setiap bulan, ia boleh menjejaskan simpanan dan menyebabkan tekanan kewangan. Sebagai langkah awal, Bank Negara Malaysia bersama Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank akan melaksanakan Program Pendidikan Kewangan Tepat Pada Masanya (Just-In-Time Financial Education (JITFE)) khas untuk pemohon pembiayaan peribadi, supaya pinjaman dapat dimanfaatkan secara bijak.
Melindungi Keluarga, Merancang Masa Depan
Pengurusan kewangan yang baik perlu mengambil kira faktor perlindungan dan persediaan menghadapi kecemasan. Hidup ini tidak selalu seperti yang dirancang. Bila sakit, hilang pekerjaan, atau perkara buruk yang tidak dijangka, barulah kita sedar pentingnya simpanan dan perlindungan seperti insurans dan takaful. FEN kini menyediakan Panduan Insurans Dan Takaful Kesihatan di laman sesawangnya bagi membantu rakyat memilih perlindungan yang sesuai. Langkah kecil seperti ini boleh menjadi penyelamat dalam waktu susah.
Seiring dengan usaha ini, Bank Negara Malaysia bersama rakan strategik sedang melaksanakan pembaharuan penting melalui program RESET untuk menangani kenaikan kos rawatan perubatan dan memastikan sistem penjagaan kesihatan di Malaysia lebih mampan.
Perkhidmatan kewangan digital juga semakin digabungkan di dalam satu aplikasi digital yang dapat memudahkan pengguna berurusan dan menyelesaikan transaksi yang melibatkan pelbagai pihak. Sebagai contoh, kini rakyat boleh membuat laporan polis bagi kemalangan kecil yang tidak melibatkan pihak ketiga, kecederaan atau kematian, sambil mengemukakan tuntutan insurans dan takaful kenderaan secara atas talian dengan menggunakan sistem e-police reporting. Kemudahan ini ditawarkan secara rintis untuk kemalangan di sepanjang Lebuhraya PLUS. Insya-Allah kita akan kembangkan aplikasi ini ke seluruh negara apabila ia sudah sedia.
Penutup
Saudara-saudari sekalian,
Hari ini, di bawah satu bumbung, kita himpunkan agensi kerajaan, institusi kewangan, dan rakyat. Ambillah peluang ini untuk bertanya, belajar, dan dapatkan nasihat daripada mereka yang pakar. Ilmu pengurusan kewangan bukan hanya untuk golongan profesional. Ia untuk semua, supaya kita boleh hidup dengan lebih tenang, membuat keputusan lebih yakin, dan melangkah ke masa depan dengan lebih bersedia.
Sebagai penutup, Bank Negara Malaysia ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada YAB Ketua Menteri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan semua rakan Jaringan Pendidikan Kewangan atas kerjasama erat menjayakan agenda literasi kewangan ini. Bersama-samalah kita membina masyarakat Malaysia yang berilmu, berhemah, berdaya tahan dan berintegriti kewangan.
Sekian, terima kasih.