<!-- Google tag (gtag.js) --> <script async src="https://www.googletagmanager.com/gtag/js?id=G-QCXBYX5C31"></script> <script> window.dataLayer = window.dataLayer || []; function gtag(){dataLayer.push(arguments);} gtag('js', new Date()); gtag('config', 'G-QCXBYX5C31'); </script>

Navigation

  • Skip to Content
BNM Logo BNM Logo
  • About Us
      Our Roles Board of Directors Governor Management Committee Senior Officers of BNM Organisation Structure Statutory Committees
  • Topics
  • News & Events
      Press Releases Public Notices Speeches Calendar of Events Events at BNM Procurement
  • Rates & Statistics
  • Publications
  • Regulations
      Legislation Standards & Guidelines FSP Directory Enforcement Actions
  • Careers
      Join Us Job Vacancies Kijang Graduate Programme Internships Scholarships
  • Contact Us
      Contact Us BNM Offices Whistleblowing Policy
Search

Language Selector

melayu

Breadcrumb

  1. Home
  2. News & Events
  3. Speeches
  4. Governor's Opening Remarks at the Launch of Karnival Celik Kewangan Sarawak

Speeches & Interviews selector

Print

Speeches & Interviews

Filter by year   

Filter by speaker   

 

Search title in Speeches

Asset Publisher

null Governor's Opening Remarks at the Launch of Karnival Celik Kewangan Sarawak

Ucapan Alu-aluan oleh Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour
di Majlis Pelancaran Karnival Celik Kewangan Sarawak
Vivacity Megamall, Kuching | 16 November 2024

 

Bagi pihak Bank Negara Malaysia (BNM), saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua hadirin yang sudi meluangkan masa untuk bersama-sama memeriahkan karnival ini. Kami berbesar hati dapat bertandang sekali lagi ke Bumi Kenyalang ini bersama-sama dengan industri kewangan0F[1]. Kita berkumpul pada hari ini dengan satu matlamat, iaitu untuk memperkasakan celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya penduduk Sarawak.

Karnival ini menzahirkan komitmen dan kerjasama antara Kerajaan, termasuk Kerajaan Negeri Sarawak, BNM, rakan-rakan Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) dan juga industri kewangan dalam menggembleng tenaga seluruh ekosistem kewangan untuk mempertingkatkan tahap celik kewangan pengguna.

Perkembangan Ekonomi Malaysia Dan Celik Kewangan

Ekonomi negara berkembang pada kadar yang kukuh pada suku ketiga tahun 2024, iaitu sebanyak 5.3% seperti yang diumumkan baru-baru ini. Perkembangan positif ini sebahagian besarnya disokong oleh pelaburan yang berkembang pesat dan perbelanjaan isi rumah yang meningkat, berikutan keadaan pasaran pekerjaan yang baik dan sokongan dasar oleh Kerajaan. Pada separuh kedua tahun ini, nilai ringgit juga mengukuh berbanding mata wang utama, disokong oleh dasar ekonomi yang stabil, penunjuk ekonomi yang menggalakkan serta aliran masuk pelaburan ke dalam negara.

Keadaan makroekonomi yang stabil di Malaysia telah membuka peluang untuk ekonomi terus menjadi kukuh menerusi pertumbuhan eksport, peningkatan pelaburan asing, pengembangan pelancongan dan pembangunan perniagaan tempatan. Kemajuan ekonomi turut menuntut kita supaya lebih cakna dan bijak apabila menguruskan kewangan bagi memanfaatkan peluang-peluang yang ada. Dalam hal ini, celik kewangan memainkan peranan penting untuk membolehkan kita membuat pelaburan bijak, merancang kewangan masa depan dan mengambil peluang daripada sokongan atau insentif Kerajaan. Kajian terkini BNM telah menunjukkan terdapat penambahbaikan dari segi tingkah laku di kalangan masyarakat Malaysia dalam usaha merancang kewangan dan berbelanja mengikut kemampuan.1F[2] Namun, faktor-faktor seperti  tahap pendapatan yang masih rendah dan tidak menentu, serta kos sara hidup yang meningkat menyukarkan segolongan pengguna untuk mengurus kewangan mereka seperti yang dirancang. Pada masa yang sama, kita perlu sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi sebarang situasi dan cabaran kewangan yang tidak dijangka dan untuk persediaan hari tua.

Kemajuan teknologi dan pendigitalan telah menghasilkan perkembangan  perkhidmatan kewangan digital yang menyumbang kepada kecekapan perkhidmatan kewangan secara keseluruhan. Lebih sepuluh tahun yang lalu, urus niaga kewangan masih bergantung pada sistem tradisional yang mengambil masa dan memerlukan lebih banyak penglibatan manusia, seperti kunjungan ke cawangan bank dan penggunaan borang fizikal. Kini, pelanggan boleh menguruskan akaun, membuat pelaburan dan mendapatkan nasihat kewangan secara dalam talian. Keadaan ini menjadikan sektor kewangan lebih cekap, selamat dan mudah diakses. Dapatan daripada Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan 2024 oleh BNM baru-baru ini menganggarkan bahawa sekitar 92% rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan kewangan digital. Sesungguhnya, perkembangan ini membuka peluang baharu ekonomi kepada rakyat, seperti kerjaya gig dan perniagaan dalam talian.

Namun begitu, pengguna perkhidmatan kewangan seluruh dunia, termasuklah di Malaysia, berdepan dengan cabaran baharu apabila menguruskan kewangan dalam era digital ini. Risiko penipuan dalam talian akibat penggunaan teknologi canggih seperti Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) dan palsu tulen (deepfake), serta serangan siber merupakan risiko yang perlu ditangani oleh penyedia perkhidmatan kewangan dan pengguna pada masa kini. Kesukaran golongan yang mudah terjejas (vulnerable segments) membuat penyesuaian dan meningkatkan kemahiran menggunakan teknologi turut perlu diberikan perhatian. Oleh itu, walaupun teknologi memudahkan urusan kewangan, kita perlu sentiasa berhati-hati dan memastikan diri dilengkapi dengan pengetahuan yang cukup untuk melindungi keselamatan transaksi kewangan kita.

Selain itu, wujud fenomena baharu seperti painless payment, iaitu apabila pengguna berasa terlalu mudah dan selesa untuk membeli secara dalam talian. Fenomena ini boleh mengakibatkan pengguna terlebih berbelanja dan terbeban dengan hutang tanpa menyedari sepenuhnya kesan yang ditanggung. Kajian BNM menunjukkan bahawa 31% rakyat Malaysia cenderung membeli-belah secara impulsif dalam talian berbanding di kedai fizikal; manakala 37% pula mengakui yang mereka membeli barangan yang tidak diperlukan secara dalam talian.

Oleh itu, fokus literasi kewangan digital perlu bergerak selari dengan cara kita membuat transaksi kewangan pada masa kini. Gunalah sumber-sumber pendidikan kewangan dan kewangan digital daripada agensi yang diiktiraf seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan ahli-ahli FEN serta institusi kewangan berlesen. Selain itu, kita juga boleh memanfaatkan aplikasi untuk menguruskan kewangan secara dalam talian yang disediakan oleh institusi mereka.

Sebagai bank pusat, BNM akan terus berusaha untuk memastikan sistem transaksi kewangan di Malaysia sentiasa selamat dan hak pengguna kewangan dilindungi. BNM telah mengadakan pelbagai kerjasama dengan pihak industri bagi mengurangkan risiko dan membina masyarakat yang lebih inklusif. Antaranya ialah memperkenalkan standard keselamatan siber yang ketat untuk institusi kewangan, menghendaki institusi kewangan memberikan layanan adil kepada pengguna kewangan, menyediakan platform aduan pengguna kewangan, bekerjasama membangunkan Portal Fraud Kebangsaan (National Fraud Portal) dan pelbagai inisiatif untuk melindungi pengguna perkhidmatan kewangan selaras dengan objektif bagi meningkatkan rangkuman kewangan.

Walau bagaimanapun, pengguna kewangan sebagai barisan pertahanan pertama atau first line of defence juga perlu bertanggungjawab dan mahir melindungi diri daripada penipuan dalam talian. Kajian terkini2F[3] kami mendapati bahawa 15% rakyat Malaysia masih cenderung untuk berkongsi kata laluan atau butiran akaun bank mereka dengan kawan rapat.3F[4] Selain itu, lebih 60% rakyat Malaysia juga tidak memberikan perhatian pada ciri-ciri keselamatan laman web sebelum membuat transaksi kewangan digital. Hal ini menyebabkan mereka terdedah kepada risiko penipuan kerana memuat turun fail APK yang mengandungi perisian hasad atau virus yang seterusnya membolehkan butiran peribadi mereka terdedah kepada penipu kewangan. Lebih membimbangkan, hanya 29% daripada mangsa penipuan melaporkan insiden penipuan kepada pihak berkuasa seperti Pusat Respons Scam Kebangsaan (National Scam Response Centre, NSRC) ataupun Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pembaharuan Ekonomi Dan Celik Kewangan

Ekonomi yang stabil turut membuka peluang kepada Kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur bagi terus memacu ekonomi Malaysia ke arah yang lebih berdaya saing dan inklusif. Dasar-dasar yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini, termasuk penyelarasan gaji minimum dan skim gaji baharu untuk penjawat awam, bertujuan membantu mengurangkan jurang pendapatan dan menangani isu seperti peningkatan kos sara hidup.

Seiring dengan peningkatan pendapatan, keupayaan menguruskan kewangan dengan bijak juga perlu dimantapkan. Keupayaan merancang belanjawan dengan baik, pengurusan hutang, simpanan dan pelaburan bijak, pengurusan risiko, perancangan persaraan dan asas celik kewangan merupakan kemahiran yang diperlukan untuk kesejahteraan kewangan jangka panjang. Saya juga yakin bahawa industri kewangan boleh memainkan peranan penting bagi memastikan dasar berkaitan pendapatan yang baharu ini memberikan manfaat jangka panjang kepada kesejahteraan rakyat tanpa menyebabkan bebanan hutang yang berlebihan.

Bagi FEN pula, kami juga mengambil peluang ini untuk membangunkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan yang baharu. Strategi yang akan dilancarkan pada tahun 2025 ini telah menerima maklum balas lebih 200 pihak berkepentingan daripada Kerajaan, swasta dan juga pertubuhan bukan kerajaan (non-government organisations, NGO) di seluruh negara. Faktor-faktor seperti perubahan struktur ekonomi dan demografi rakyat, peningkatan pendigitalan, trend penuaan serta kesihatan mental akan diberikan tumpuan apabila merangka strategi baharu ini.

Pemerkasaan Celik Kewangan Dalam Kalangan Tenaga Pengajar

Sejak tahun 2014 lagi, elemen pendidikan kewangan telah disepadukan dalam kurikulum sekolah pada semua peringkat. Inisiatif ini merupakan hasil komitmen yang tinggi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Langkah ini mustahak untuk melahirkan generasi masa hadapan yang celik kewangan. Kini, KPM dengan kerjasama FEN dan Financial Industry Collective Outreach (FINCO) akan melaksanakan program pembangunan keupayaan tenaga pengajar menerusi program Pengurusan Kewangan Peribadi untuk Guru-Guru.

Program pembangunan keupayaan ini bukan sahaja merangkumi kursus dan bengkel tentang celik kewangan, tetapi turut memberikan tumpuan pada pembangunan diri para guru. Langkah ini bagi menjadikan mereka contoh yang baik kepada murid, warga sekolah dan komuniti setempat dalam hal ehwal pengurusan kewangan. Guru yang celik kewangan juga akan lebih yakin apabila menyampaikan pendidikan kewangan di dalam bilik darjah, sekali gus mempercepat pembangunan generasi belia yang celik kewangan.

Program ini akan dimulakan secara rintis di negeri Sarawak pada bulan hadapan, dengan melatih modul Pengurusan Kewangan Peribadi kepada 30 jurulatih utama Kementerian Pendidikan Malaysia dari seluruh Sarawak. Semua jurulatih utama ini kemudiannya akan menyampaikan modul tersebut kepada lebih 2,000 guru di seluruh Sarawak. Program ini seterusnya akan diperluas ke seluruh negara. Kami menjangkakan lebih 150 jurulatih utama diperlukan untuk meluaskan program ini kepada lebih 5,000 warga pendidik di seluruh negara pada tahun hadapan.

Pada kesempatan ini juga, saya ingin menzahirkan penghargaan kepada FINCO dan tujuh penaja lain yang membiayai usaha murni ini, iaitu AmBank Group, Bank Muamalat, Bank Simpanan Nasional, CIMB Foundation, Hong Leong Bank, Public Bank dan Shopee. Saya menyeru agar ekosistem latihan diwujudkan, supaya kerjasama ini dapat dilaksanakan secara berterusan bagi menyantuni seluruh warga guru, yang dianggarkan berjumlah hampir setengah juta orang.

Sebagai mengakhiri ucapan, saya sekali lagi mengalu-alukan kehadiran anda semua ke Karnival Celik Kewangan Sarawak 2024. Saya berharap agar semua yang hadir dapat meraih manfaat besar daripada karnival ini. Kunjungilah pameran-pameran, majlis ilmiah dan khidmat nasihat yang dibawa khas untuk memperkasakan kewangan anda semua.

Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama erat antara Kerajaan termasuk Kerajaan Negeri Sarawak, sektor kewangan dan institusi pendidikan yang kita saksikan pada hari ini. Saya menyeru agar kerjasama ini terus dipupuk dalam menjayakan inisiatif celik kewangan ini.

 

Bank Negara Malaysia

16 November 2024


[1] Bank Negara Malaysia menganjurkan Karnival Kewangan di Kuching buat julung kalinya pada tahun 2017. Rujukan: https://www.bnm.gov.my/-/ucapan-gabenor-muhammad-bin-ibrahim-fcb-di-karnival-kewangan-sarawak

[2] FCI 2024 menunjukkan bahawa tingkah laku rakyat Malaysia dalam membuat bajet dan berbelanja mengikut kemampuan telah bertambah baik. Walau bagaimanapun, kekangan pendapatan dan kos sara hidup tidak membenarkan mereka menyimpan dan menangani perbelanjaan yang tidak dijangka.

[3] Ini adalah berdasarkan Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan 2024 (FCI 2024) yang dijalankan pada suku ketiga tahun 2024 baru-baru ini. Laporan penuh akan disiarkan di dalam Laporan Tahunan BNM 2024.

[4] Meskipun peratusannya telah menurun daripada 37% pada tahun 2021, angka ini dianggap tinggi dan merupakan perkara yang perlu diberikan perhatian.

 

Follow us
  • facebook social icon
  • twitter social icon
  • instagram social icon
  • youtube social icon
  • medium social icon
  • telegram icon
  • tiktok icon
Website Tools
  • Search
  • Email Alert
  • Contact Us
  • Download Forms
Legal Notices
  • Terms of Use for BNM Website
  • Terms of Use for BNM Datasets
  • Disclaimer
  • Privacy & Cookie Policy
BNMLINK Contact Centre
  • call-1 icon
    1-300-88-5465 Monday - Friday 9am - 5pm
  • decoration
    e-LINK Form
  • BNM General Line
  • call-1 icon +603 2784 8888
© Bank Negara Malaysia. All rights reserved.
arrow-up icon