<!-- Google tag (gtag.js) --> <script async src="https://www.googletagmanager.com/gtag/js?id=G-QCXBYX5C31"></script> <script> window.dataLayer = window.dataLayer || []; function gtag(){dataLayer.push(arguments);} gtag('js', new Date()); gtag('config', 'G-QCXBYX5C31'); </script>

Navigation

  • Skip to Content
BNM Logo BNM Logo
  • About Us
      Our Roles Board of Directors Governor Management Committee Senior Officers of BNM Organisation Structure Statutory Committees
  • Topics
  • News & Events
      Press Releases Public Notices Speeches Calendar of Events Events at BNM Procurement
  • Rates & Statistics
  • Publications
  • Regulations
      Legislation Standards & Guidelines FSP Directory Enforcement Actions
  • Careers
      Join Us Job Vacancies Kijang Graduate Programme Internships Scholarships
  • Contact Us
      Contact Us BNM Offices Whistleblowing Policy
Search

Language Selector

melayu

Breadcrumb

  1. Home
  2. News & Events
  3. Speeches
  4. Governor's Speech at the Launch of Karnival Celik Kewangan Johor

Speeches & Interviews selector

Print

Speeches & Interviews

Filter by year   

Filter by speaker   

 

Search title in Speeches

Asset Publisher

null Governor's Speech at the Launch of Karnival Celik Kewangan Johor

Print

Governor's Speech at the Launch of Karnival Celik Kewangan Johor

Speaker: Datuk Abdul Rasheed Ghaffour Venue: AEON Mall Kulaijaya, Johor Delivery Date : 28 Oct. 2023

Bismillahirramanirrahim

Tetamu kehormat dan para hadirin sekalian

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi.

Bagi pihak Bank Negara Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih di atas kesudian tuan-tuan dan puan-puan meluangkan masa untuk hadir ke Karnival Celik Kewangan 2023, Johor pada hari ini. Karnival ini merupakan antara iltizam Bank Negara Malaysia dan rakan Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) - untuk meningkatkan tahap celik kewangan rakyat Malaysia - agar dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih baik. Kemahiran mengurus kewangan adalah penting untuk kita berdikari; meningkatkan kualiti hidup; tampil yakin dan bersedia untuk berdepan dengan sebarang ketidaktentuan. Saya bersyukur kerana, hasrat kami untuk berkunjung ke negeri Johor akhirnya tercapai sejak program ini dianjurkan pada 2017, walaupun terhenti seketika akibat pandemik Covid-19.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Seiring dengan perkembangan zaman digital dan cabaran kehidupan masa kini yang semakin kompleks, pengguna kewangan berdepan dengan pelbagai cabaran. Terdapat empat cabaran yang ingin saya berkongsi:

  • Pertamanya, cabaran untuk memahami pelbagai produk kewangan yang tersedia ada hari ini seperti perbankan digital, insurans/takaful, pelaburan dan aset digital.
  • Keduanya, pengguna kewangan sering menghadapi kesukaran dalam mengendali dan mengurangkan hutang mereka.
  • Cabaran ketiga ialah untuk membuat pelaburan yang bijak. Dalam usaha untuk mencapai matlamat kewangan, pengguna kewangan perlu memilih pelaburan yang sesuai. Aspek perancangan persaraan juga perlu diberi penekanan memandangkan Malaysia akan menjadi negara berdemografi usia emas menjelang 2050, dengan 15% daripada rakyatnya dijangka berumur 65 tahun, dan ke atas.
  • Cabaran keempat dan yang sangat penting pada masa ini ialah untuk melindungi diri daripada penipuan dan gangguan siber. Dalam era digital yang semakin canggih, identiti dan maklumat kewangan pengguna mungkin terdedah kepada risiko pencurian dan penipuan sekiranya pengguna tidak mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya.

Oleh yang demikian, pengetahuan tentang pelbagai produk kewangan dan kesesuaiannya - memahami cara mengurus hutang, memahami risiko dan pulangan sesuatu pelaburan serta langah-langkah untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa scam atau penipuan kewangan - merupakan kemahiran yang harus ada pada semua.

Sesungguhnya, masyarakat celik kewangan bukan sahaja berpeluang untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing, malah berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Sebagai contoh, masyarakat yang menabung secara berterusan membolehkan mereka menyediakan modal untuk melabur dalam sektor-sektor ekonomi yang memberi manfaat. Melalui pelaburan, mereka dapat membantu membiayai projek-projek produktif yang akan menyokong pertumbuhan ekonomi. Masyarakat yang celik kewangan juga boleh memberi sokongan kepada industri dalam negara. Ini dapat membantu merangsang pertumbuhan dalam negara dan juga mencipta peluang pekerjaan baru. Selain itu masyarakat celik kewangan mampu mengurus sumber dengan lebih baik dengan mengurangkan pembaziran tenaga, air, dan sumber alam lain, dan seterusnya membantu mengurangkan kos pengeluaran dan kesan negatif terhadap alam sekitar. Tidak kurang pentingnya ialah pemahaman prinsip asas kewangan seperti pengurusan bajet, penjimatan, dan pengurusan hutang yang dapat mengelakkan kita terjerumus dalam masalah kewangan yang merugikan yang hanya akan menjejaskan potensi seseorang individu untuk mengambil bahagian secara produktif dalam kegiatan ekonomi.

Dalam menangani cabaran-cabaran ini, Bank Negara Malaysia telah menggembleng tenaga sejak lebih 20 tahun lalu melalui strategi pelbagai serampang termasuklah melaksanakan program pendidikan kewangan; inisiatif program sekolah angkat oleh industri kewangan; mengintegrasikan elemen pendidikan kewangan ke dalam kurikulum persekolahan dan institut pengajian tinggi; menubuhkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit; sehinggalah kepada penubuhan Jaringan Pendidikan Kewangan atau Financial Education Network – FEN. FEN dibentuk sebagai platform antara lapan agensi yang komited untuk meningkatkan tahap celik kewangan di Malaysia. Penjajaran dan sinergi yang dibina bersama ini dapat memberi impak jauh lebih besar, berbanding bertindak sendirian dengan memanfaatkan kekuatan setiap agensi FEN untuk menyumbang kepada usaha meningkatkan tahap celik dan keupayaan mengurus kewangan dengan bijak di negara ini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Apapun dasar dan strategi yang dirangka, ianya perlu dilaksanakan dengan berkesan, dan kemajuannya diukur dengan telus. Dalam hal ini, BNM secara berterusan menjalankan Kajiselidik Rangkuman dan Keupayaan Kewangan setiap tiga tahun sejak tahun 2015. Alhamdulillah, kajiselidik ini telah menunjukkan peningkatan yang konsisten dalam tahap pengetahuan kewangan rakyat Malaysia sejak tahun 2015.

Walaubagaimanapun, apa yang membimbangkan ialah peningkatan pengetahuan dalam kalangan rakyat Malaysia masih tidak seiring dengan sikap dan amalan pengurusan kewangan mereka. Adalah diperhatikan bahawa rakyat Malaysia masih bersikap ‘jangka pendek’ dalam pengurusan kewangan; dan bersikap kurang endah dalam menguruskan risiko kewangan masing-masing termasuklah dalam menghadapi situasi yang tidak dijangka. Hampir separuh rakyat Malaysia sukar menyediakan RM1,000 bagi tujuan kecemasan. Satu  daripada tiga rakyat kita tidak berminat untuk ambil tahu mengenai insurans dan takaful. Statistik AKPK pula menunjukkan ramai yang terpaksa berhutang apabila memerlukan wang di waktu menghadapi kecemasan. Manakala, satu daripada tiga rakyat Malaysia merasa terbeban dengan hutang, walaupun kebanyakan daripada mereka tergolong dalam kalangan yang mempunyai pendapatan yang berpatutan. Apabila kita dalami perkara ini  ramai yang telah bergelut dengan masalah kewangan akibat pengurusan kewangan yang lemah sejak usia muda. Kaji selidik yang dijalankan juga menunjukkan 37% daripada rakyat Malaysia berkongsi kata laluan dan nombor pin mereka kepada keluarga dan rakan.

Oleh itu, saya ingin mengajak semua yang hadir dapat memanfaatkan Karnival ini untuk melengkapkan diri dengan kemahiran mengurus kewangan. Sehubungan dengan dapatan kajian di atas, FEN, dengan diterajui empat ahlinya iaitu Kementerian Pendidikan Tinggi, BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan AKPK - dan disokong oleh platform HRDCorp iaitu eLATIH, akan melaksanakan program pendidikan kewangan yang komprehensif mensasarkan golongan belia. Program yang dikenali sebagai FEN PROAKTIF bakal melengkapkan belia dengan kemahiran pengurusan kewangan sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan dan meningkatkan lagi literasi kewangan digital. Alhamdulillah, sembilan universiti telah tampil untuk menerajui inisiatif rintis ini. Insya Allah, program ini diharap dapat dikembangkan kepada lebih banyak institusi pengajian tinggi serta institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk menghasilkan generasi belia yang bijak mengurus kewangan pada masa hadapan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Sepanjang Oktober ini, FEN telah menjelajah ke seluruh negara dan mengadakan pelbagai program yang bertujuan untuk menyebarkan kesedaran dan pendidikan kepada semua lapisan umur, daripada golongan belia, profesional sehinggalah kepada warga emas. Daripada jerayawara bas FEN, Minggu Amanah Saham Malaysia, Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan dan pelbagai lagi aktiviti telah menyaksikan ahli-ahli FEN ‘turun padang’ dan menyantuni lebih 200 ribu pengguna secara bersemuka termasuk pelajar-pelajar Universiti, TVET dan usahawan mikro di luar bandar.

FEN akan meneruskan momentum ini dan BNM juga sedang merangka mekanisma untuk industri kewangan bergerak dengan lebih strategik dan sistematik di bawah Financial Collective Outreach (FINCO) bagi mencapai impak yang lebih tinggi di peringkat sekolah dan komuniti luar bandar dari segi:

  • melatih guru-guru untuk menyampaikan pendidikan kewangan di sekolah secara lebih berkesan; dan
  • melaksanakan ukuran keberkesanan pencapaian program sekolah angkat yang dijalankan oleh industri

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,       

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli dan rakan usaha sama FEN, serta rakan strategik baru iaitu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, PERKESO, HRDCorp dan Amanah Iktiar Malaysia yang telah merealisasikan hasrat FEN untuk melebarkan sayap dalam membawa mesej literasi kewangan ini. Besarlah harapan saya agar usaha-usaha ini akan membawa kepada kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia.

Dengan lafaz Bismillahirramanirrahim, saya dengan ini melancarkan Karnival Celik Kewangan 2023 di negeri Johor Darul Ta’zim. Terima kasih dan Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Bank Negara Malaysia

28 Oktober 2023

Follow us
  • facebook social icon
  • twitter social icon
  • instagram social icon
  • youtube social icon
  • medium social icon
  • telegram icon
  • tiktok icon
Website Tools
  • Search
  • Email Alert
  • Contact Us
  • Download Forms
Legal Notices
  • Terms of Use for BNM Website
  • Terms of Use for BNM Datasets
  • Disclaimer
  • Privacy & Cookie Policy
BNMLINK Contact Centre
  • call-1 icon
    1-300-88-5465 Monday - Friday 9am - 5pm
  • decoration
    e-LINK Form
  • BNM General Line
  • call-1 icon +603 2784 8888
© Bank Negara Malaysia. All rights reserved.
arrow-up icon