<!-- Google tag (gtag.js) --> <script async src="https://www.googletagmanager.com/gtag/js?id=G-QCXBYX5C31"></script> <script> window.dataLayer = window.dataLayer || []; function gtag(){dataLayer.push(arguments);} gtag('js', new Date()); gtag('config', 'G-QCXBYX5C31'); </script>

Navigation

  • Skip to Content
BNM Logo BNM Logo
  • About Us
      Our Roles Board of Directors Governor Management Committee Senior Officers of BNM Organisation Structure Statutory Committees
  • Topics
  • News & Events
      Press Releases Public Notices Speeches Calendar of Events Events at BNM Procurement
  • Rates & Statistics
  • Publications
  • Regulations
      Legislation Standards & Guidelines FSP Directory Enforcement Actions
  • Careers
      Join Us Job Vacancies Kijang Graduate Programme Internships Scholarships
  • Contact Us
      Contact Us BNM Offices Whistleblowing Policy
Search

Language Selector

melayu

Breadcrumb

  1. Home
  2. News & Events
  3. Speeches
  4. Governor's Opening Remarks at the National Strategy for Financial Literacy 2026-2030 (NS 2.0) and Financial Literacy Month 2025

Speeches & Interviews selector

Print

Speeches & Interviews

Filter by year   

Filter by speaker   

 

Search title in Speeches

Asset Publisher

null Governor's Opening Remarks at the National Strategy for Financial Literacy 2026-2030 (NS 2.0) and Financial Literacy Month 2025

Ucapan Alu-Aluan Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour
di Majlis Peluncuran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030 (NS2.0) dan Bulan Literasi Kewangan (FLM) 2025
Sasana Kijang | 3 Oktober 2025

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu, bagi pihak Jaringan Pendidikan Kewangan ataupun Financial Education Network (FEN) serta seluruh industri kewangan, saya dengan penuh takzim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri serta para tetamu kehormat ke Majlis Peluncuran Bulan Literasi Kewangan 2025 dan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030. Majlis pada hari ini adalah istimewa kerana ia menggabungkan dua agenda besar, iaitu; perasmian kempen literasi kewangan selama sebulan; dan strategi kebangsaan baharu yang akan membimbing usaha memperkukuh kesejahteraan kewangan rakyat negara ini.

Literasi kewangan sebagai keperluan negara

Literasi kewangan pada hari ini telah menjadi satu kemahiran asas yang penting dalam menyumbang kepada kesejahteraan setiap rakyat dan sosio-ekonomi negara. Kemahiran ini menjadi panduan untuk kita merancang perbelanjaan isi rumah, membuat keputusan simpanan dan pelaburan yang bijak, menabung untuk masa depan anak-anak, serta melindungi diri daripada risiko kewangan. Sebagai contoh, bagi seorang belia, literasi kewangan adalah kunci untuk membina asas permulaan kedudukan kewangan diri yang kukuh; manakala bagi sebuah keluarga, kemahiran ini membantu menjamin kestabilan dan kesejahteraan ahli keluarga pada masa hadapan. Bagi seorang pesara pula, literasi kewangan dapat memastikan rancangan simpanan yang mencukupi untuk menjalani hari-hari mendatang dengan tenang dan selesa. Masyarakat yang celik kewangan akan lebih yakin semasa membuat keputusan kewangan dan memanfaatkan peluang, serta lebih bersedia untuk menghadapi cabaran, dan lebih berdaya tahan dalam mengharungi ketidakpastian keadaan ekonomi dan kewangan.

Cabaran semasa yang mendesak

Alhamdulillah, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, tetapi kita tidak kebal daripada risiko cabaran global. Tekanan inflasi, sekiranya tidak dibendung, akan menjejaskan kuasa beli rakyat. Perubahan rantaian bekalan menimbulkan ketidakpastian pada perniagaan, manakala pendigitalan membawa peluang baharu namun hadir dengan risiko penipuan kewangan dan skim pelaburan yang berbahaya.

Dalam menangani realiti sebegini, literasi kewangan menjadi benteng pertama rakyat. Dengan adanya kefahaman kewangan yang mantap, rakyat mampu membuat keputusan berasaskan maklumat, menyesuaikan perbelanjaan mengikut kemampuan sebenar, dan melindungi diri daripada perangkap kewangan yang boleh menyusahkan pada masa hadapan.

Pencapaian terdahulu

Berdasarkan penanda aras antarabangsa yang dijalankan oleh Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD) pada tahun 2016, tahap pengetahuan kewangan rakyat Malaysia didapati berada pada kedudukan yang membimbangkan — antara yang paling rendah dalam kalangan negara yang dinilai. Menyedari cabaran ini, FEN telah melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019–2023 sebagai langkah untuk memperkukuh kesejahteraan kewangan rakyat. Alhamdulillah, hasil pelaksanaan strategi ini, Indeks Literasi Kewangan Malaysia (MYFLIC) mencatat peningkatan melebihi 13% dalam tempoh lima tahun. Di peringkat global pula, tahap literasi kewangan negara berjaya melepasi purata antarabangsa dan jurang dengan negara maju juga semakin mengecil.Ini juga memberi indikasi bahawa program-program literasi kewangan yang dilaksanakan telah berjaya menjangkau jutaan rakyat, merentasi pelbagai lapisan masyarakat. Paling penting, satu rangkaian kerjasama strategik telah terbentuk, melibatkan 45 organisasi dari sektor awam dan swasta — satu pencapaian yang memperkukuh ekosistem pendidikan kewangan negara.

Meskipun pencapaian ini jelas membanggakan, kita mengambil iktibar bahawa pengetahuan sahaja tidak mencukupi. Faktor yang menentukan keberhasilan program ini adalah sejauh mana rakyat mengamalkan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian mereka.

Strategi Kedua: 2026–2030

Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030 dirangka dengan visi yang lebih luas dan semangat yang lebih mantap. Strategi ini berteraskan tiga keutamaan yang saling melengkapi: pertamanya, keterangkuman; kedua, pendigitalan; dan ketiga, pemantauan. Keterangkuman memastikan setiap segmen masyarakat, tanpa mengira umur, pendapatan atau lokasi, mendapat manfaat. Pendigitalan pula membuka ruang kepada pendidikan kewangan yang lebih mudah diakses, interaktif dan berkesan dari segi kos. Sementara itu, pemantauan melalui indikator atau penunjuk prestasi yang jelas, akan menjamin usaha semua pihak bergerak seiring dan hasilnya dapat diukur secara telus. Dengan keseimbangan tiga teras ini, kita yakin strategi baharu ini mampu mencetuskan anjakan besar pada tahap literasi kewangan negara.

Strategi Kedua ini juga mampu menonjolkan kekuatan Malaysia dalam kewangan Islam. Prinsip Syariah turut diberi tumpuan, yang menekankan keadilan, ketelusan dan tanggungjawab. Ini akan memperkaya pendekatan literasi kewangan, sekaligus memberikan pilihan beretika yang sejajar dengan nilai sejagat.

Agenda bersama

Literasi kewangan merupakan usaha seluruh negara atau whole-of-nation approach. Amanah ini tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja. Kejayaan hanya akan dicapai jika kerajaan, pengawal selia, sektor swasta, NGO, pendidik, media dan masyarakat sama-sama berganding bahu.

Oleh yang demikian, bagi memperkukuh penyelarasan, FEN sedang dalam proses menubuhkan Pejabat Koordinasi Kebangsaan yang akan beroperasi pada bulan Januari 2026 tahun hadapan dengan Bank Negara Malaysia sebagai tuan rumah. Pejabat ini akan menempatkan wakil daripada Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit. Dengan penstrukturan ini, usaha kolektif dapat digerakkan secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.

Bak kata pepatah Melayu, “seikat bak sirih, serumpun bak serai”. Kekuatan hanya akan lahir apabila kita saling bermuafakat. Dengan semangat kebersamaan ini, saya yakin Malaysia mampu memperkukuh daya tahan kewangan rakyat dan seterusnya muncul sebagai peneraju serantau, malah menjadi rujukan global, dalam agenda literasi kewangan yang progresif dan juga inklusif.

Penutupan dengan seruan

Sebelum saya mengakhiri ucapan, izinkan saya sekali lagi merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas kepimpinan dan sokongan padu terhadap agenda penting ini.

Hari ini kita melancarkan sebuah strategi, tetapi kejayaannya tidak hanya ditentukan oleh satu dokumen semata-mata. Kejayaannya bergantung pada tindakan kita bersama dalam menyemai kefahaman, mengubah sikap, dan membudayakan amalan kewangan yang sihat dalam kehidupan seharian rakyat. Setiap individu yang lebih celik kewangan menjadi satu lagi batu loncatan menuju Malaysia yang lebih kukuh. Setiap keluarga yang berdisiplin dalam mengurus kewangan merupakan batu asas kepada sebuah masyarakat yang lebih sejahtera. Dan setiap usaha kecil yang kita laksanakan bersama akan bergabung menjadi gelombang besar yang mampu mengangkat nama negara ke tahap yang lebih tinggi.

Seterusnya, dengan penuh hormat, saya menjemput Yang Amat Berhormat Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya melancarkan Bulan Literasi Kewangan 2025 dan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030.

Sekian, terima kasih.

Follow us
  • facebook social icon
  • twitter social icon
  • instagram social icon
  • youtube social icon
  • medium social icon
  • telegram icon
  • tiktok icon
Website Tools
  • Search
  • Email Alert
  • Contact Us
  • Download Forms
Legal Notices
  • Terms of Use for BNM Website
  • Terms of Use for BNM Datasets
  • Disclaimer
  • Privacy & Cookie Policy
BNMLINK Contact Centre
  • call-1 icon
    1-300-88-5465 Monday - Friday 9am - 5pm
  • decoration
    e-LINK Form
  • BNM General Line
  • call-1 icon +603 2784 8888
© Bank Negara Malaysia. All rights reserved.
arrow-up icon