<!-- Google tag (gtag.js) --> <script async src="https://www.googletagmanager.com/gtag/js?id=G-QCXBYX5C31"></script> <script> window.dataLayer = window.dataLayer || []; function gtag(){dataLayer.push(arguments);} gtag('js', new Date()); gtag('config', 'G-QCXBYX5C31'); </script>

Navigation

  • Skip to Content
BNM Logo BNM Logo
  • About Us
      Our Roles Board of Directors Governor Management Committee Senior Officers of BNM Organisation Structure Statutory Committees
  • Topics
  • News & Events
      Press Releases Public Notices Speeches Calendar of Events Events at BNM Procurement
  • Rates & Statistics
  • Publications
  • Regulations
      Legislation Standards & Guidelines FSP Directory Enforcement Actions
  • Careers
      Join Us Job Vacancies Kijang Graduate Programme Internships Scholarships
  • Contact Us
      Contact Us BNM Offices Whistleblowing Policy
Search

Language Selector

melayu

Breadcrumb

  1. Home
  2. News & Events
  3. Speeches
  4. Ucapan Gabenor di Peringkat Akhir Pertandingan Pidato Piala Gabenor BNM 2025

Speeches & Interviews selector

Print

Speeches & Interviews

Filter by year   

Filter by speaker   

 

Search title in Speeches

Asset Publisher

null Ucapan Gabenor di Peringkat Akhir Pertandingan Pidato Piala Gabenor BNM 2025

Ucapan Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour
di Peringkat Akhir Pertandingan Pidato Piala Gabenor Bank Negara Malaysia 2025
Sasana Kijang | 26 November 2025

 

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua lapan peserta peringkat akhir dan syabas kerana telah menyampaikan pidato masing-masing dengan yakin, lancar dan penuh semangat. Setiap tutur kata dan isi penyampaian pada hari ini sedikit sebanyak menyentuh pelbagai isu dan perkara semasa yang mengisi ruang fikiran kita.

Satu istilah yang tidak lekang di bibir para finalis hari ini ialah ‘ASEAN’. Tema ini menggariskan tanggungjawab serta peluang yang Malaysia miliki selaku pengerusi ASEAN pada tahun 2025 dalam menerajui integrasi ASEAN serta memacu kestabilan ekonomi serantau.

Meskipun berdepan ketidakpastian global yang didorong pelbagai faktor yang saling berkait, seperti kejutan ekonomi, ketegangan geopolitik, krisis iklim serta arus perubahan dunia yang deras, Malaysia terus mengekalkan daya tahannya dalam menghadapi tekanan ini, hasil dari kedudukannya yang teguh. Dengan kepengerusian ASEAN, Malaysia telah meletakkan wawasan yang jelas untuk memacu rantau ASEAN ke arah blok ekonomi yang dinamik dan kukuh. Pada masa yang sama, Malaysia mempertingkatkan usaha bagi mengeratkan perpaduan dan kerjasama antara negara-negara ASEAN, lantas meletakkan ASEAN sebagai contoh erti keharmonian serantau di persada dunia.

Bak kata pepatah, ‘sepakat membawa berkat’, usaha sama berterusan ASEAN ternyata membuahkan hasil apabila mata tumpuan dunia kian melirik ke timur dan rantau ASEAN semakin memainkan peranan yang lebih penting di arena global. Walaupun diuji krisis sejagat, ekonomi dan kesihatan, pertumbuhan KDNK ASEAN sepanjang dua dekad lalu mencatatkan purata sebanyak 4.8 peratus, jauh melebihi purata global (3 peratus). Sebagai blok ekonomi sendiri, ASEAN kini tampil sebagai ekonomi kelima terbesar dunia, disokong oleh kedudukan yang strategik dalam rantaian global, lantas bersedia untuk terus menjadi pemacu utama yang membentuk masa hadapan serantau dan dunia.

Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, Malaysia kekal berada pada landasan yang teguh. Meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran, ekonomi Malaysia mencatatkan kadar pertumbuhan kukuh sebanyak 5.2% pada suku ketiga tahun 2025 (dan 4.7 peratus setakat bulan September tahun ini). Prospek pertumbuhan negara kekal positif, didorong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan. Aktiviti ekonomi dalam negeri terus disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang menggalakkan, aktiviti pelaburan yang stabil serta permodalan sektor perbankan yang kukuh.

Hadirin sekalian,

Kecemerlangan sesebuah negara tidaklah hanya bergantung pada faktor ekonomi sahaja. Sebuah negara maju juga boleh ditakrifkan sebagai negara yang berpegang teguh kepada identitinya, iaitu bahasa dan budayanya, tanpa dikikis atau hanyut dibawa arus pemodenan. Ia mentakrifkan kemajuan dan kejayaan dengan cara dan adatnya sendiri. Saya ingin menekankan kepentingan berpaut pada bahasa pertiwi iaitu bahasa Melayu yang setia menjadi wahana pemikiran, budaya dan warisan tanah air.

Sebagai pengawal selia, Bank Negara Malaysia sentiasa komited untuk memainkan peranan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan, khususnya bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat perkhidmatan kewangan yang terbaik serta terangkum, tanpa halangan bahasa. Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada usaha literasi kewangan yang menggariskan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan adalah kritikal.

Oleh sebab inilah, kami menitikberatkan kepentingan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan kewangan melalui Garis Panduan Ketelusan dan Penzahiran Produk. BNM menghendaki institusi kewangan untuk mengutamakan penggunaan bahasa Melayu dalam penzahiran maklumat produk kepada pengguna kewangan serta menggunakan laras bahasa yang mudah difahami.

Keperluan garis panduan ini bertujuan memudahkan rakyat Malaysia meneliti kesesuaian produk dan membuat pilihan kewangan yang baik. Langkah ini diyakini memberikan peluang kepada setiap rakyat Malaysia untuk berinteraksi dengan institusi kewangan dengan lebih dekat dan berkesan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Dengan kerjasama erat bersama Dewan Bahasa dan Pustaka serta rakan-rakan strategik lain, kami telah melaksanakan pelbagai inisiatif bahasa yang melibatkan institusi di bawah pengawalseliaan dan juga di BNM sendiri.

Salah satu usaha tersebut adalah Sistem Penarafan Bintang, sebuah program yang dimulakan pada tahun 2016 dengan tujuan untuk menjalankan audit bahasa ke atas institusi kewangan. Sepanjang tempoh pelaksanaannya, audit secara berkala ini mencatatkan kemajuan pencapaian yang menggalakkan, lantas mencerminkan komitmen setiap institusi dalam memastikan penggunaan dan mutu bahasa mencapai tahap yang baik. Saya berharap semua institusi kewangan akan terus menambah baik mutu bahasa dan memperluas penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan seharian.

Selain itu, inisiatif yang seringkali mendapat sambutan yang menggalakkan daripada sektor kewangan adalah Pertandingan Pidato Piala Gabenor. Pertandingan ini julung kalinya dianjurkan pada tahun 2009 bagi menggilap kemahiran penggunaan bahasa Melayu serta meningkatkan keyakinan warga sektor kewangan dalam pengucapan awam. Pertandingan ini telah menarik minat banyak bakat terpendam menerusi penyertaan lebih 800 warga sektor kewangan secara keseluruhan sepanjang 13 kali siri penganjurannya.

Saya turut berbangga melihat beberapa institusi kewangan yang telah mengolah dan menganjurkan versi pertandingan pidato dan inisiatif kebahasaannya sendiri. Usaha ini menunjukkan bahawa institusi kewangan semakin proaktif untuk menambah baik penggunaan bahasa Melayu yang bermutu tinggi bagi institusi masing-masing. Syabas saya ucapkan atas usaha membangkitkan semangat terhadap bahasa kebangsaan.

Saya ingin menyeru rakan-rakan sektor kewangan yang lain untuk turut menggandakan usaha bagi menganjurkan pelbagai aktiviti bahasa pada masa akan datang. Saya percaya penganjuran inisiatif bahasa ini akan dapat menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang lebih bermutu, terutamanya apabila berinteraksi dengan pelanggan atau dalam apa jua komunikasi berkaitan urusan seharian dalam sektor kewangan. Saya juga percaya penganjuran Pertandingan Pidato Piala Gabenor ini dapat diperhebatkan lagi pada masa hadapan dengan penglibatan dan kepimpinan pihak industri secara langsung dalam penganjurannya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Seperti yang pernah diungkapkan Sasterawan Negara Usman Awang, “Bahasa itu jiwa bangsa, jika hilang bahasa, hilanglah bangsa.” Oleh itu, usaha memartabatkan bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab bersama demi memelihara identiti tanah air kita yang tercinta.

Sebelum saya berundur, izinkan saya berkongsi dua rangkap pantun sebagai penutup.

Tingginya helang terbang di Kuah,
Sayapnya padu penuh gemilang;
Usaha nan jitu, seiring tuah,
Usai juri sepakat, johan Pidato pasti dijulang.

Bunga raya lambang perpaduan,
Warna merah mekar sentiasa,
Menang kalah adat pertandingan,
Jika bahasa terjaga, tetaplah juara.

Akhir kalam, ribuan terima kasih kepada semua yang hadir pada petang ini untuk memeriahkan peringkat akhir Pertandingan Pidato Piala Gabenor Bank Negara Malaysia bagi tahun 2025.

Sekian, terima kasih.

Follow us
  • facebook social icon
  • twitter social icon
  • instagram social icon
  • youtube social icon
  • medium social icon
  • telegram icon
  • tiktok icon
Website Tools
  • Search
  • Email Alert
  • Contact Us
  • Download Forms
Legal Notices
  • Terms of Use for BNM Website
  • Terms of Use for BNM Datasets
  • Disclaimer
  • Privacy & Cookie Policy
BNMLINK Contact Centre
  • call-1 icon
    1-300-88-5465 Monday - Friday 9am - 5pm
  • decoration
    e-LINK Form
  • BNM General Line
  • call-1 icon +603 2784 8888
© Bank Negara Malaysia. All rights reserved.
arrow-up icon