<!-- Google tag (gtag.js) --> <script async src="https://www.googletagmanager.com/gtag/js?id=G-QCXBYX5C31"></script> <script> window.dataLayer = window.dataLayer || []; function gtag(){dataLayer.push(arguments);} gtag('js', new Date()); gtag('config', 'G-QCXBYX5C31'); </script>

Navigation

  • Skip to Content
BNM Logo BNM Logo
  • About Us
      Our Roles Board of Directors Governor Management Committee Senior Officers of BNM Organisation Structure Statutory Committees
  • Topics
  • News & Events
      Press Releases Public Notices Speeches Calendar of Events Events at BNM Procurement
  • Rates & Statistics
  • Publications
  • Regulations
      Legislation Standards & Guidelines FSP Directory Enforcement Actions
  • Careers
      Join Us Job Vacancies Kijang Graduate Programme Internships Scholarships
  • Contact Us
      Contact Us BNM Offices Whistleblowing Policy
Search

Language Selector

melayu

Breadcrumb

  1. Home
  2. News & Events
  3. Speeches
  4. Ucapan Gabenor di Majlis Jalinan Kerjasama iTEKAD

Speeches & Interviews selector

Print

Speeches & Interviews

Filter by year   

Filter by speaker   

 

Search title in Speeches

Asset Publisher

null Ucapan Gabenor di Majlis Jalinan Kerjasama iTEKAD

Print

Ucapan Gabenor di Majlis Jalinan Kerjasama iTEKAD

Speaker: Datuk Abdul Rasheed Ghaffour Venue: Sasana Kijang, BNM Delivery Date : 22 Aug. 2023

Bismillahirramanirrahim

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi.

Bagi pihak Bank Negara Malaysia, saya mengalu-alukan kehadiran Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, tetamu kehormat dan para hadirin sekalian ke Majlis Jalinan Kerjasama iTEKAD. Kami berbesar hati atas kesudian Yang Amat Berhormat meluangkan masa untuk menyempurnakan majlis pada hari ini.

Ekonomi Malaysia berada di persimpangan. Dasar ekonomi dan kewangan hari ini bakal menentukan hala tuju dan trajektori pembangunan negara pada masa hadapan. Rencana dasar Ekonomi Madani memerlukan tekad dan laksana untuk membebaskan kita daripada terjerat sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana; dan menuju ke arah  negara berpendapatan tinggi. Namun begitu, wawasan Ekonomi Madani menuntut lebih daripada itu. Jurang di antara golongan yang kaya dan miskin semakin meluas, dan ianya perlu ditangani dan diimbangi dengan pembangunan sebuah masyarakat yang inklusif, adil, saksama, dan mengekalkan integriti sosial.

Sesungguhnya, sektor kewangan berperanan penting sebagai memangkin pertumbuhan sesebuah ekonomi. Sektor kewangan menjadi pengantara antara mereka yang berpendapatan lebih dengan mereka yang memerlukan dana, menyediakan modal dan kredit kepada ekonomi, memudahkan pelbagai jenis transaksi kewangan dan memungkinkan pengurusan risiko melalui pelbagai instrumen dan juga produk. Hasrat Bank Negara Malaysia ialah untuk membangunkan sektor kewangan yang progresif, teguh, telus dan bertanggungjawab serta mampu menyumbang kepada kemajuan yang lebih adil, setara, bermakna dan inklusif buat rakyat negara ini.  

Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 merupakan rencana Bank Negara Malaysia ke arah matlamat ini. Pelan ini lahir dengan tiga objektif utama iaitu “kewangan untuk semua”, “kewangan untuk transformasi” dan “kewangan untuk kelestarian”. Pelan ini bermisi untuk menjadikan sektor kewangan lebih dinamik demi memenuhi keperluan ekonomi dan menjadikannya lebih terangkum, memberi nilai kepada pihak berkepentingan dan adil kepada pengguna.

Terdapat lebih 900 ribu perusahaan mikro yang mewakili hampir 80 peratus dari jumlah perniagaan mikro di Malaysia[1]. Rata-ratanya bergantung pada aliran tunai yang terhad hasil simpanan persendirian dan keluarga, tidak mempunyai pengalaman atau latihan mengurus perniagaan secara formal, tidak mempunyai sumber untuk digitalisasi atau untuk beralih kepada perniagaan lestari serta menghadapi kesukaran untuk meluaskan pasaran. Lahirnya program iTEKAD tatkala negara bergelut dengan pandemik COVID-19 merupakan usaha Bank Negara Malaysia untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh usahawan mikro berpendapatan rendah. Usaha ini juga seiring dengan permintaan pembiayaan mikro yang telah meningkat dua kali ganda berbanding tempoh sebelum pandemik.

Program iTEKAD dibangunkan dengan mengetengahkan kewangan sosial sebagai komponen penting dalam ekosistem kewangan di Malaysia untuk memangkin pembangunan sosioekonomi yang lebih seimbang. Kewangan sosial memberi penekanan untuk mencipta impak sosial yang positif selain daripada pulangan kewangan. Ia mengintegrasikan nilai kewangan, sosial dan alam sekitar serta mengukur kesan dan keberkesanan impak sesebuah inisiatif. Kewangan sosial juga melibatkan mekanisme pembiayaan inovatif dan kerjasama bersepadu dengan pelbagai pihak berkepentingan. Ciri-ciri program iTEKAD dirangka khusus dengan rakan pelaksana untuk menyokong pertumbuhan perusahaan mikro menjangkaui keperluan pendanaan. Latihan kemahiran pengurusan perniagaan dan kewangan turut diterap dalam program ini dengan menggunakan konsep sokongan berterusan mengikut tahap kematangan perniagaan untuk memastikan perniagaan yang diusahakan terus hidup dan berkembang. Memandangkan segmen yang disasarkan biasanya mempunyai aliran pendapatan yang tidak teratur atau profil risiko yang unik, pendekatan pendanaan campuran (ataupun blended finance) digunakan dengan menggembleng dana komersial dan dana dermawan seperti zakat, sedekah, wakaf dan sebagainya. Ini mengurangkan beban hutang peserta iTEKAD memandangkan sebahagian daripada pendanaan adalah dari sumbangan kewangan sosial dan bukan dalam bentuk pembiayaan ataupun hutang.

Bermula dengan sebuah program yang dikelolakan oleh satu institusi kewangan, dua rakan pelaksana dan 57 peserta program, kini inisiatif iTEKAD telah berkembang dan melibatkan 11 institusi kewangan, lebih 50 rakan pelaksana dan telah memberi manfaat kepada lebih daripada 3,000 peserta. Program iTEKAD pada awalnya dipelopori bersama enam buah negeri di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong. Kini, dengan sokongan dan perhatian yang dekat oleh Yang di-Pertuan Agong, program ini telah berjaya diperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara. Setakat ini iTEKAD telah menggerakkan lebih 40 juta ringgit dana kewangan sosial dan telah memberikan manfaat yang ketara kepada pesertanya. Ini termasuklah peningkatan dalam pertumbuhan perniagaan, kemampuan menggaji pekerja, perniagaan yang lebih berdaya tahan, dan dapat memanfaatkan teknologi dalam perniagaan. Sehingga hari ini, lebih 40 peratus peserta iTEKAD telah berjaya menjana pendapatan melebihi RM4,000 sebulan, manakala 70 peratus pula mampu menggaji sekurang-kurangnya seorang pekerja, dan lebih 70 peratus mampu menabung sehingga RM4,000 sebulan dan lebih 90 peratus menjalankan jualan dan pemasaran dalam talian serta menggunakan e-pembayaran untuk transaksi perniagaan mereka. Bank Negara Malaysia kini dalam proses menilai beberapa permohonan program baharu yang akan memanfaatkan lebih ramai lagi peserta. Majlis jalinan kerjasama seperti hari ini bertujuan memperkenalkan iTEKAD kepada lebih ramai pihak berkepentingan dalam usaha untuk meningkatkan skala program dan memberi manfaat kepada lebih banyak perusahaan mikro.

Melangkah ke hadapan, dapat saya rumuskan tiga elemen penting bagi sebuah sistem kewangan sosial yang berjaya – ianya haruslah inklusif (inclusive), berimpak (impactful) dan bersepadu (integrated).

Pertama, untuk menyokong pembangunan sosioekonomi yang mampan, sesebuah sistem kewangan itu perlu merangkumi segenap lapisan masyarakat, termasuklah golongan rentan. Dalam hal ini, kewangan sosial berperanan menyatukan modal daripada sumber komersial dengan modal yang bersifat dermawan (philanthropic capital) atau daripada dana tanggungjawab sosial korporat (corporate social responsibility, CSR). Pendekatan ini membolehkan instrumen kewangan sosial ditawarkan kepada golongan yang mempunyai risiko kredit yang tinggi dan sukar untuk mendapat akses kewangan tradisional.

Kedua, pendekatan berdasarkan impak dalam apa jua aktiviti pengantaraan kewangan adalah penting. Ini selaras dengan matlamat pengantaraan berasaskan nilai (value-based intermediation) yang bermatlamat untuk menyumbang kepada pembangunan yang mampan. Institusi kewangan juga disaran untuk mengambil kira hasil yang melangkaui objektif keuntungan semata-mata. Ini termasuk menyokong perusahaan yang berdaya saing, menyediakan peluang pekerjaan, menyumbang kepada komuniti setempat serta menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat dalam jangka masa panjang.

Ketiga, pembangunan mampan tidak mungkin tercapai tanpa penglibatan aktif pihak berkepentingan yang lain. Pada hemat kami, sistem kewangan tidak boleh beroperasi sendirian tetapi perlu berganding bahu dengan seluruh rangkaian dalam ekosistem untuk pembangunan kewangan sosial. Jalinan kerjasama sebegini membuka peluang untuk saling memanfaatkan sumber yang ada seperti dana tunai, kemahiran dan kepakaran teknologi secara lebih meluas ke arah pembangunan sosioekonomi di Malaysia. Dengan itu, kewangan sosial adalah platform untuk menyatukan pelbagai pihak berkepentingan yang mempunyai matlamat sosial yang sama. Penglibatan rakan-rakan pelaksana merupakan tunjang kejayaan program iTEKAD setakat ini. Pada hari ini juga, para hadirin berpeluang berinteraksi dengan peserta dan penerima iTEKAD di reruai masing-masing sambil menyokong produk perusahaan mikro iTEKAD. Dengarlah kisah dan perjuangan mereka agar menjadi inspirasi untuk pihak berkepentingan yang lain turut sama sebagai rakan pelaksana program iTEKAD.

Sebagai kesimpulan, kewangan sosial mampu memberi satu dimensi baharu pembangunan sosioekonomi rakyat dengan menerapkan prinsip-prinsip sistem kewangan yang inklusif, mempertimbangkan impak jangka panjang serta menyatupadukan semua pihak berkepentingan. Bank Negara Malaysia kekal komited untuk mengetengahkan kewangan sosial dalam ekosistem kewangan Malaysia, termasuk menerajui perkembangan program iTEKAD seterusnya. Jutaan terima kasih juga saya ucapkan kepada rakan-rakan pelaksana iTEKAD yang sedia ada; dan yang baharu. Saya berharap majlis hari ini akan mencetuskan jalinan kerjasama yang lebih meluas untuk pembangunan kewangan sosial masa hadapan.

Terima kasih dan Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.


 

[1] Sumber: Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia - Profil PMKS pada Tahun 2016-2022 (smecorp.gov.my)

Follow us
  • facebook social icon
  • twitter social icon
  • instagram social icon
  • youtube social icon
  • medium social icon
  • telegram icon
  • tiktok icon
Website Tools
  • Search
  • Email Alert
  • Contact Us
  • Download Forms
Legal Notices
  • Terms of Use for BNM Website
  • Terms of Use for BNM Datasets
  • Disclaimer
  • Privacy & Cookie Policy
BNMLINK Contact Centre
  • call-1 icon
    1-300-88-5465 Monday - Friday 9am - 5pm
  • decoration
    e-LINK Form
  • BNM General Line
  • call-1 icon +603 2784 8888
© Bank Negara Malaysia. All rights reserved.
arrow-up icon