Speeches & Interviews
Filter by year
Filter by speaker
<!-- Google tag (gtag.js) --> <script async src="https://www.googletagmanager.com/gtag/js?id=G-QCXBYX5C31"></script> <script> window.dataLayer = window.dataLayer || []; function gtag(){dataLayer.push(arguments);} gtag('js', new Date()); gtag('config', 'G-QCXBYX5C31'); </script>
Filter by year
Filter by speaker
Ucapan oleh Timbalan Gabenor Marzunisham Omar
di Majlis Pelancaran Program e-Duit Desa
Guar Ghempedak, Yan, Kedah | 16 November 2024
Penggunaan e-pembayaran di Malaysia telah meningkat dengan pesat kebelakangan ini. Pada tahun 2023, rakyat Malaysia melakukan 11.5 bilion transaksi e-pembayaran berbanding 9.3 bilion transaksi pada 2022, iaitu peningkatan sebanyak 24%. Penggunaan kod DuitNow QR juga telah meningkat dua kali ganda pada tahun 2023 dengan 360 juta transaksi bernilai RM14.6 bilion. Perkembangan pesat ini disokong oleh dua juta peniaga yang kebanyakannya terdiri daripada peniaga mikro. Justeru, Bank Negara Malaysia (BNM) yakin kita berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran 400 transaksi e-pembayaran per kapita menjelang tahun 2026.
Perkembangan ini mencerminkan gaya hidup orang ramai yang semakin cenderung menggunakan e-pembayaran kerana ia Selamat, Senang dan Segera (3S), sejajar dengan cogan kata program kita pada hari ini.
E-pembayaran Selamat untuk digunakan. Pihak bank telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikannya bahawa e-pembayran adalah selamat, termasuklah daripada ancaman serangan siber dan scam. Pada masa yang sama, e-pembayaran juga mengurangkan risiko yang akan dihadapi apabila menggunakan wang tunai. Contohnya, kita tidak perlu membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak untuk membuat pembayaran. Peniaga juga tidak perlu membawa wang hasil jualan perniagaan yang berjumlah besar untuk disimpan di bank, justeru menjimatkan kos operasi perniagaan.
E-pembayaran juga sangat Senang digunakan. Dengan hanya mengimbas kod QR, pembayaran dapat diselesaikan dalam sekelip mata. Bagi peniaga, proses pendaftaran akaun DuitNow QR juga lebih mudah, terutama jika peniaga sudah mempunyai akaun dengan bank atau e-dompet tersebut. Malah ia tidak memerlukan penyelenggaraan.
Seterusnya, penggunaan e-pembayaran seperti DuitNow QR, membolehkan pembayaran diterima dengan Segera dan terus ke dalam akaun peniaga. Bagi peniaga, transaksi perniagaan yang direkodkan secara langsung akan memudahkan pengurusan aliran tunai. Data yang direkodkan ini mampu membina profil kredit peniaga untuk mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan.
Hadirin yang dihormati,
Menyedari pelbagai manfaat e-pembayaran kepada pengguna dan peniaga, BNM bersama industri kewangan dan Kerajaan komited memastikan setiap individu, tanpa mengira latar belakang atau lokasi, mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang Selamat, Senang, dan Segera ini.
Jalinan kerjasama ini telah membuahkan hasil apabila infrastruktur e-pembayaran telah dinaik taraf, merangkumi penambahan terminal e-pembayaran di kedai runcit dan pasar tani, serta peningkatan kualiti perkhidmatan Internet untuk memastikan transaksi yang lancar tanpa gangguan.
Kerjasama ini turut diperluas melalui program pendidikan kewangan seperti program e-Duit Desa di Yan ini. Program e-Duit Desa ini pertama kali dilancarkan pada tahun 2020 untuk membantu masyarakat di luar bandar menggunakan e-pembayaran dengan lebih selamat. Pada tahun ini sahaja, kami telah melancarkan sembilan program e-Duit, termasuk hari ini.
Melalui program ini, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran dan membina keyakinan orang ramai seterusnya menggalakkan lagi penggunaan e-pembayaran.
Kejayaan yang dicapai sehingga kini merupakan hasil kerjasama erat antara BNM, industri kewangan dan pihak berkuasa tempatan dalam memacu perkembangan pembayaran digital. Di kesempatan ini saya ingin menyatakan penghargaan di atas usaha Kerajaan Negeri Kedah apabila hampir kesemua jabatan dan agensi telah menawarkan platform e-pembayaran.
Hadirin yang dihormati,
Langkah-langkah keselamatan untuk memerangi jenayah kewangan
E-pembayaran telah mengubah cara kita menjalankan urusan kewangan seharian dan menjadikan hidup lebih mudah dan cekap. Pada masa yang sama, penggunaan digital ini juga menimbulkan risiko seperti penipuan kewangan jika tidak disertai dengan amalan keselamatan yang baik.
Umpama kita menjaga wang tunai di dalam dompet, kita juga perlu berhati-hati supaya tidak terjebak menjadi mangsa penipuan kewangan dalam talian ataupun mangsa scam. Oleh itu, saya ingin mengingatkan orang ramai berkenaan langkah-langkah untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan kewangan.
Pertama, saya ingin menyarankan supaya kita semua sentiasa amalkan Soal, Sekat dan Sebar bagi melindungi diri dan keluarga daripada ancaman penipuan kewangan.
Kedua, sentiasa peka dengan taktik licik yang digunakan oleh penipu kewangan atau scammer. Ikuti laman Facebook Amaran Scam untuk maklumat terkini berkaitan jenayah penipuan kewangan.
Ketiga, jangan terjerat dengan penipuan keldai akaun ataupun mule account dengan menyewakan atau meminjamkan akaun anda kepada orang lain. Penipuan ini bukan sahaja membantu scammer malah membawa kesan yang buruk kepada pemegang akaun sekiranya terbukti bersalah.
Sekiranya anda telah menjadi mangsa penipuan kewangan, sila buat aduan kepada pihak institusi perbankan atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (National Scam Response Centre, NSRC) melalui talian 997 secepat mungkin. Aduan yang cepat dapat membantu menghalang wang yang dicuri dipindahkan keluar daripada sistem kewangan, sekali gus meningkatkan peluang untuk wang dikembalikan kepada mangsa penipuan.
Pihak BNM serta industri kewangan sentiasa komited untuk memastikan sistem kewangan kekal selamat melalui penambahbaikan ciri-ciri keselamatan dan program kesedaran yang berterusan. Langkah ini penting bagi meyakinkan orang ramai untuk terus menggunakan e-pembayaran.
Hadirin yang dihormati,
Tahniah dan syabas diucapkan kepada para peniaga dan penduduk Yan serta semua pihak dan para peserta yang memberikan sokongan dan menjayakan kempen e-Duit Desa ini. Kempen ini sesungguhnya tidak akan berjaya tanpa usaha dari Kerajaan Negeri Kedah melalui Majlis Daerah Yan, Bank Simpanan Nasional, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia, Bank Islam, Maybank, Public Bank, Touch ‘n Go dan PayNet, terima kasih.
Semoga inisiatif e-Duit Desa di Yan ini menjadi pemangkin kepada penggunaan e-pembayaran dalam kehidupan seharian di daerah ini, seterusnya kepada masyarakat di seluruh negeri Kedah.
Terima kasih.
Bank Negara Malaysia
16 November 2024