Speeches & Interviews
Filter by year
Filter by speaker
<!-- Google tag (gtag.js) --> <script async src="https://www.googletagmanager.com/gtag/js?id=G-QCXBYX5C31"></script> <script> window.dataLayer = window.dataLayer || []; function gtag(){dataLayer.push(arguments);} gtag('js', new Date()); gtag('config', 'G-QCXBYX5C31'); </script>
Filter by year
Filter by speaker
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Tuan Safiee Ahmad, ADUN N43 Daro.
Yang Berbahagia Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif, Agrobank.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,
Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah kerana dengan keizinan-Nya dapat kita berkumpul bersama-sama di Daro pada pagi yang mulia ini bersempena dengan majlis perasmian dan pelancaran Komuniti Cashless Daro, Sarawak.
Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Agrobank sebagai penganjur inisiatif ini, kerana dapat bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan PayNet. Saya juga ingin menyampaikan penghargaan secara khusus kepada komuniti Daro yang telah memberi sambutan yang cukup meriah dan mesra pada pagi ini, serta syabas atas usaha semua dalam mengorak langkah menuju budaya tanpa tunai atau “cashless” dalam kehidupan seharian anda.
Sesungguhnya program seperti ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama dan komitmen daripada semua pihak, sama ada sektor kerajaan, awam, swasta, mahupun komuniti tempatan. Hasil gabungan usaha daripada semua pihak, Malaysia telah mencapai pertumbuhan yang kukuh dalam penggunaan e-pembayaran. Pada tahun 2022, 9.5 bilion transaksi e-pembayaran dicatatkan dan ia meningkat berbanding 7.2 bilion pada tahun 2021. Secara purata, setiap rakyat Malaysia melakukan 291 transaksi e-pembayaran pada tahun 2022 (2021: 222 purata transaksi). Bagi negeri Sarawak pula, aplikasi e-dompet Sarawak Pay atau yang kini dikenali sebagai S Pay Global yang mula diperkenalkan oleh kerajaan negeri Sarawak pada tahun 2018 telah mencatatkan penggunaan yang memberangsangkan di kalangan pengguna dan peniaga. Aplikasi S Pay Global kini mempunyai lebih 800 ribu pengguna dan 90 ribu peniaga berdaftar.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Boleh dikatakan bahawa pembayaran secara elektronik atau e-pembayaran bukan sahaja menyenangkan, malah memperkasakan kualiti hidup kita. Bagi kebanyakan kita, manfaat yang paling ketara adalah penjimatan masa dan tenaga dalam menguruskan transaksi kewangan, termasuklah membuat pembayaran bil, pembayaran balik pinjaman, dan pemindahan wang. Tuan-tuan dan puan-puan tidak perlu lagi membuat perjalanan yang jauh dan lama untuk mengeluarkan wang tunai di mesin ATM ataupun bank. Semua transaksi boleh diuruskan dalam beberapa minit sahaja menerusi peranti peribadi anda, sama ada komputer, komputer riba (laptop), telefon pintar (smartphone), mahupun tablet anda.
E-pembayaran boleh menjadi satu batu loncatan untuk menjadikan perniagaan lebih berdaya saing. Transaksi dapat direkodkan secara langsung dan ini akan memudahkan pengurusan akaun dan permohonan pinjaman pada masa akan datang. Peniaga tidak perlu bimbang mendapatkan wang kecil untuk pemulangan baki. Kos kepada peniaga untuk menggunakan e-pembayaran adalah rendah, khususnya apabila dibandingkan dengan kos memperoleh, menyimpan dan menguruskan wang tunai.
Bagi para peniaga, saya sedar bahawa mungkin ada yang berasa gusar atau tertanya-tanya mengenai fi transaksi yang bakal dikenakan oleh penyedia perkhidmatan DuitNow QR. Ingin saya jelaskan bahawa industri telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengurangkan kesan sebarang fi transaksi ke atas perniagaan. Contohnya, bank-bank utama dan beberapa penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank telah mengumumkan bahawa mereka akan terus mengecualikan fi transaksi ke atas perniagaan mikro dan kecil yang menerima pembayaran secara DuitNow QR.
Sesungguhnya, matlamat Bank Negara Malaysia, bersama dengan institusi-institusi sektor kewangan, adalah untuk memastikan kemudahan e-pembayaran dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, tidak kira di bandar atau luar bandar. Ia merupakan pilihan pembayaran yang selamat, senang dan segera.
Hadirin sekalian,
Dalam memastikan kawasan luar bandar mendapat akses kepada rangkuman kewangan digital, Bank Negara Malaysia dan industri kewangan turut mempergiatkan usaha untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan dan rangkuman kewangan melalui tawaran produk kewangan yang menyeluruh. Pelbagai inisiatif tersedia dalam menyokong agenda ini seperti Dana BNM untuk PKS, Perlindungan Tenang, iTEKAD dan inisiatif literasi kewangan menerusi ahli Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN).
iTEKAD merupakan sebuah program yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia untuk membantu usahawan mikro berpendapatan rendah untuk memperkasakan pengurusan kewangan dan kepintaran perniagaan ke arah menjana pendapatan yang mapan serta berterusan, selari dengan aspirasi kerajaan untuk mempertingkatkan tahap ekonomi golongan tersebut. Setakat ini, seramai 64 individu dalam kalangan asnaf dan usahawan mikro B40 di negeri Sarawak telah menerima geran, latihan dan pembiayaan di bawah program tersebut.
Bagi meningkatkan penggunaan e-pembayaran, aktiviti khidmat nasihat dan sokongan pendaftaran perbankan digital turut diberikan kepada para peniaga dan masyarakat tempatan untuk memudahkan proses-proses terlibat, khususnya untuk para pengguna yang baru. Sebagai contoh, Bank Negara Malaysia dan pemain industri telah menjalankan inisiatif pendaftaran peniaga dan pengguna e-pembayaran di beberapa lokasi di Sarawak seperti Sibu Jaya, Selangau dan Serikin. Hari ini pula, usaha ini diteruskan di daerah Daro. Selain itu, acara-acara besar di negeri Sarawak seperti Rainforest World Music Festival, Kuching Food Festival dan Siniawan Country Music Festival turut menjadi platform untuk para peniaga dan pengguna mendaftar serta menggunakan kaedah e-pembayaran.
Mungkin ada antara hadirin sekalian yang risau tentang hal keselamatan apabila membuat transaksi secara digital. Dalam hal ini, saya ingin menekankan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang apabila menggunakan e-pembayaran dan perbankan dalam talian kerana Bank Negara Malaysia sentiasa memastikan bank-bank di Malaysia mempunyai tahap kawalan keselamatan siber yang tinggi.
Namun begitu, tuan-tuan dan puan-puan perlu terus berasa was-was dan menjaga keselamatan maklumat peribadi apabila menggunakan e-pembayaran. Kebelakangan ini, kita sering mendengar kes-kes penipuan kewangan atau scam. Mengikut data yang diperolehi daripada National Scam Response Centre (NSRC), sejak bulan Oktober 2022 sehingga September 2023, terdapat 53,783 panggilan mangsa penipuan dengan anggaran kerugian berjumlah RM188 juta melibatkan 48 ribu akaun keldai telah dilaporkan kepada NSRC. 1,177 panggilan (2%) melibatkan mangsa dari Sarawak dengan anggaran kerugian berjumlah RM12.5 juta (7% daripada jumlah kerugian keseluruhan). Majoriti kategori kes penipuan dalam talian yang dilaporkan di Sarawak adalah penipuan e-dagang (e-commerce), pinjaman tidak wujud, dan penipuan telekomunikasi (telecommunication scam). 70% laporan yang diterima telah dibuat oleh mangsa berusia kurang daripada 40 tahun.
Para hadirin sekalian,
Bank Negara Malaysia memandang serius kes-kes scam dan telah mengarahkan bank-bank untuk melaksanakan 5 langkah tambahan bagi mengukuhkan lagi keselamatan bank-bank terhadap penipuan kewangan seperti:
Sebagai pengguna, kita perlu memainkan peranan supaya mengelakkan diri daripada menjadi mangsa scam. Mengikut kajian yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2021, didapati bahawa lebih satu pertiga pengguna telah berkongsi kata laluan dan/atau nombor PIN akaun bank mereka dengan kawan rapat. Selain itu, golongan belia juga didapati lebih terdedah kepada risiko terpedaya membenarkan akaun digunakan untuk aktiviti scam.
Justeru itu, kita perlu sentiasa berhati-hati dalam melindungi maklumat perbankan peribadi, khususnya kata nama dan kata laluan perbankan dalam talian:
Harus diingatkan bahawa bank, agensi kerajaan dan penguatkuasaan tidak akan sama sekali menelefon anda untuk meminta maklumat perbankan peribadi seperti kata nama, kata laluan, nombor PIN atau OTP.
Saya ingin menyarankan supaya kita semua sentiasa amalkan Soal, Sekat dan Sebar bagi melindungi diri dan keluarga daripada ancaman penipuan kewangan:
Orang ramai juga boleh mengikuti laman Facebook Amaran Scam untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan jenayah penipuan kewangan. Sekiranya anda telah menjadi mangsa penipuan kewangan, jangan panik. Segera hubungi talian hotline bank anda atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Izinkan saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih atas undangan acara pagi ini, dan tahniah kepada pihak Agrobank dalam menjayakan program Cashless, bukan sahaja di Daro, tetapi juga di komuniti-komuniti luar bandar yang lain. Semoga usaha sebegini dapat terus dilaksanakan dengan jayanya.
Saya juga ingin ucapkan terima kasih sekali lagi kepada para penduduk dan peserta di Daro yang telah menyokong dan menjayakan program ini. Harapan saya, agar program Komuniti Cashless ini dapat memberikan manfaat yang berkekalan kepada penduduk Daro, sama ada dari segi memajukan perniagaan, memudahkan urusan kewangan peribadi, ataupun meningkatkan kualiti hidup komuniti secara keseluruhannya.
Mauk ke pulo sampan beringgut
Embak terubok kamek asinkan
Sik cukup tunai, iboh kitak takut
Mun nak mudah, pakei jak e-pembayaran
Sekian, terima kasih.
Bank Negara Malaysia
12 Oktober 2023