Speeches & Interviews
Filter by year
Filter by speaker
<!-- Google tag (gtag.js) --> <script async src="https://www.googletagmanager.com/gtag/js?id=G-QCXBYX5C31"></script> <script> window.dataLayer = window.dataLayer || []; function gtag(){dataLayer.push(arguments);} gtag('js', new Date()); gtag('config', 'G-QCXBYX5C31'); </script>
Filter by year
Filter by speaker
Ucapan Timbalan Gabenor Marzunisham Omar
di Majlis Perasmian Pameran LATerasi Kewangan,
Kuching, Sarawak
Borneo Cultures Museum | 9 November 2023
Alhamdulillah, pada hari ini kita dapat bersama menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran “LATerasi Kewangan” di Borneo Cultures Museum. Bagi pihak Bank Negara Malaysia, saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari kerana sudi merasmikan pameran “LATerasi Kewangan” anjuran Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia, dengan kerjasama Jabatan Muzium Sarawak. Kehadiran Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi dan hadirin semua amat kami hargai.
Pameran “LATerasi Kewangan” ini merupakan salah satu inisiatif meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia yang merupakan agenda BNM sejak sekian lama. Seawal tahun 1997, BNM telah melancarkan kempen menabung dalam kalangan pelajar sekolah bagi menyemai tabiat mengurus wang secara berhemat sejak usia muda. Kita amat beruntung kerana kempen menabung ini telah mendapat suntikan kreatif Datuk Lat yang menterjemahkan topik-topik kewangan dalam bentuk karikatur di dalam Buku Wang Saku yang mudah difahami oleh murid-murid sekolah, selari dengan situasi sosioekonomi dan budaya masyarakat Malaysia. Sebanyak 14 siri Buku Wang Saku dihasilkan melalui kolaborasi ini dengan sekitar 15.5 juta salinan diedarkan kepada sekolah-sekolah di seluruh negara.
Bagi mengabadikan kolaborasi ini, Pameran “LATerasi Kewangan” telah dilancarkan di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia pada tahun 2015. Pameran ini kemudiannya dikembangkan sebagai ‘pameran bergerak’ ke seluruh negara melalui kembara “LATerasi Kewangan” bermula di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Sabah dan kini di Borneo Cultures Museum, Sarawak. Pameran “LATerasi Kewangan” di Kuching ini akan berlangsung selama enam bulan sehingga bulan Mei 2024.
Hadirin yang dihormati,
Selaras dengan mandat BNM untuk membina rangkuman kewangan, salah satu objektif utama Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 BNM ialah “kewangan untuk semua”. Ini bagi memastikan negara mempunyai satu sektor kewangan bukan sahaja lebih dinamik tetapi dapat memenuhi keperluan ekonomi bagi semua lapisan masyarakat Malaysia.
Bagi BNM, rangkuman kewangan yang bermakna atau “kewangan untuk semua” akan tercapai dengan adanya dua komponen penting:
Kajiselidik Rangkuman dan Keupayaan Kewangan yang dijalankan oleh BNM menunjukkan peningkatan yang konsisten dalam tahap pengetahuan kewangan di kalangan rakyat Malaysia sejak tahun 2015. Walau bagaimanapun, kajian kami mendapati hampir separuh rakyat Malaysia sukar menyediakan RM1,000 bagi tujuan kecemasan atau situasi yang tidak dijangka. Tambahan lagi, statistik Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) pula menunjukkan ramai antara rakyat Malaysia yang berhutang semasa menghadapi kecemasan.
Lebih membimbangkan, satu daripada tiga rakyat Malaysia merasa terbeban dengan hutang. Kajian kami mendapati mereka yang bergelut dengan masalah hutang adalah disebabkan pengurusan kewangan yang lemah sejak usia muda. Ini jelas menunjukkan betapa pentingnya pendidikan kewangan dalam mencapai kesejahteraan kehidupan. Sehubungan dengan ini, Jaringan Pendidikan Kewangan atau Financial Education Network (FEN), yang diterajui oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan AKPK telah melaksanakan program pendidikan kewangan yang komprehensif menyasarkan golongan pelajar. Justeru itu, FEN akan melancarkan program FEN PROAKTIF bertujuan melengkapkan belia dengan kemahiran pengurusan kewangan sebagai persediaan memasuki alam pekerjaan. Sembilan universiti telah tampil untuk menerajui inisiatif rintis ini termasuk Universiti Malaysia Sarawak.
Malah Pameran “LATerasi Kewangan” yang dilancarkan pada hari ini turut diterapkan dengan elemen-elemen pendidikan kewangan. Olahan pameran ini diperkaya dengan karikatur-karikatur Datuk Lat yang menyentuh pelbagai aspek pengurusan kewangan, seperti simpanan, pengurusan hutang, kepentingan e-pembayaran, perancangan persaraan, dan cara-cara melindungi diri daripada menjadi mangsa scam. Antara karakter yang diketengahkan dalam Buku Wang Saku termasuklah watak-watak dalam siri kartun Kampung Boy iaitu Mat dan Mrs. Hiew, yang terkenal dengan karakter garang. Karikatur-karikatur ini digarap dengan initi pati gambaran kehidupan dan isu-isu sebenar masyarakat Malaysia.
Hadirin yang dihormati,
Pihak kerajaan negeri Sarawak, bersama dengan BNM dan industri kewangan, telah banyak menambah baik kualiti dan rangkuman perkhidmatan kewangan asas kepada rakyat. Antaranya, akses kepada internet mengizinkan perkhidmatan bank bergerak di 24 kawasan luar bandar merentasi bahagian Samarahan, Bintulu, Mukah, Betong, Sibu, Sarikei dan Kuching. Selain itu, terdapat hampir 300 ejen bank serta penempatan ‘self-service terminals’ seperti ATM dan CDM di pejabat- pejabat daerah kecil, serta perkhidmatan pembayaran tanpa tunai (cashless) bagi memudahkan transaksi kewangan.
Saya juga amat mengalu-alukan inisiatif di negeri Sarawak bagi meningkatkan penggunaan e-pembayaran dalam kalangan peniaga dan pengguna. Contohnya, program Komuniti Cashless di Daro, Mukah, yang saya sertai baru-baru ini, telah menerima sambutan yang menggalakkan dengan hampir 70% peniaga telah menggunakan e-pembayaran. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan penghargaan teramat sangat kepada kerajaan negeri Sarawak yang telah memberi sokongan padu kepada BNM dan industri perbankan dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif rangkuman kewangan di negeri ini. Usaha ini akan kami teruskan. Tanpa penyertaan kerajaan negeri kami percaya ia tidak akan berjaya.
Hadirin yang dihormati,
Tidak dinafikan, dalam arus digitalisasi ini, kita juga terdedah dengan ancaman jenayah siber. Lebih membimbangkan, kajian yang dijalankan oleh BNM mendapati amalan penggunaan perkhidmatan kewangan digital, secara berhemat dalam kalangan rakyat Malaysia masih lemah. Antaranya, 37% (satu per tiga) daripada rakyat Malaysia berkongsi kata laluan dan nombor PIN mereka dengan keluarga dan rakan kalib. Amalan sebegini mendedahkan pengguna kepada scam kewangan.
Berdasarkan data daripada National Scam Response Centre (NSRC), sejak bulan Oktober 2022 sehingga September 2023, terdapat 53,783 panggilan mangsa penipuan dengan anggaran kerugian berjumlah RM188 juta di seluruh negara. Negeri Sarawak merekodkan 1,177 panggilan dengan anggaran kerugian berjumlah RM12.5 juta dalam tempoh ini. Majoriti mangsa scam kewangan di Sarawak adalah merupakan mereka yang berusia kurang daripada 40 tahun, dan kes scam tertumpu kepada penipuan e-dagang, pinjaman tidak wujud dan penipuan telekomunikasi.
Di sini saya ingin menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan tiga langkah berikut bagi melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan kewangan dalam talian, ataupun online financial scams:
Sekiranya anda menjadi mangsa scam, segera hubungi NSRC di talian 997 atau talian utama (hotline) bank anda.
Hadirin yang dihormati,
Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada kerajaan negeri Sarawak dan Jabatan Muzium Sarawak yang menyokong Pameran “LATerasi Kewangan” 2023 ini. Sesungguhnya, perjalanan membina kesejahteraan kewangan memerlukan “a whole nation approach”. Karya Datuk Lat yang diabadikan turut merakamkan perjalanan ini. Perkembangan teknologi dan perubahan struktur sosioekonomi masyarakat mungkin merubah kisah perjalanan ini, tetapi ianya masih merujuk paksi yang serupa – pengurusan kewangan berhemat membina kesejahteraan kewangan rakyat!
Akhir kata, iboh lupak ajak kawan-kawan, jiran tetangga, ahli keluarga datang ke Pameran “LATerasi Kewangan” di Borneo Cultures Museum tok. Sama-sama kita tingkatkan ilmu pengetahuan tentang pengurusan kewangan. Juh datang sitok!
Sekian, Wabillahittaufiq Wal-hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.
Bank Negara Malaysia
9 November 2023