Speeches & Interviews
Filter by year
Filter by speaker
<!-- Google tag (gtag.js) --> <script async src="https://www.googletagmanager.com/gtag/js?id=G-QCXBYX5C31"></script> <script> window.dataLayer = window.dataLayer || []; function gtag(){dataLayer.push(arguments);} gtag('js', new Date()); gtag('config', 'G-QCXBYX5C31'); </script>
Filter by year
Filter by speaker
Ucaptama Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid
di Majlis Pelancaran Karnival Celik Kewangan
Eastern Plaza, Tawau | 5 Julai 2025
Terima kasih kerana meluangkan masa untuk bersama-sama memeriahkan Karnival Celik Kewangan anjuran Bank Negara Malaysia pada hari ini. Hujung minggu biasanya diisi dengan riadah dan aktiviti keluarga. Maka saya hargai kehadiran tuan-tuan dan puan-puan yang sudi bersama kami pada petang ini untuk menimba dan berkongsi ilmu yang semakin penting dalam kehidupan kita hari ini iaitu celik kewangan.
Hadirin yang dihormati,
Dalam dunia moden yang pelbagai cabaran; ketidaktentuan ekonomi global, menangani kos sara hidup dan perubahan teknologi yang pesat, kemampuan untuk mengurus kewangan dengan baik merupakan satu kemahiran asas yang tidak boleh diabaikan. Celik kewangan kini bukan sekadar pengetahuan tambahan, tetapi menjadi keperluan asas yang boleh menentukan kestabilan dan kesejahteraan hidup seseorang individu, keluarga, malah komuniti secara keseluruhannya.
Sama ada kita bekerja sendiri, menjalankan perniagaan kecil atau berkhidmat dalam sektor awam atau swasta, mengurus rumah tangga sepenuh masa, setiap keputusan kewangan, walaupun kecil mempunyai kesan langsung kepada masa depan kita. Dari memilih pinjaman yang sesuai, menabung untuk pendidikan anak-anak, melindungi diri melalui takaful, sehinggalah merancang persaraan, semua ini memerlukan pemahaman kewangan yang kukuh.
Celik kewangan bukan hanya mengenai tahu menabung atau mengelakkan hutang. Ia melibatkan keupayaan memahami hak dan tanggungjawab dalam sistem kewangan, mengenal pasti pilihan yang ada, serta membuat keputusan secara berhemah dan bertanggungjawab dalam mengurus pendapatan, perbelanjaan, simpanan, pelaburan dan perlindungan. Kemahiran ini membolehkan seseorang itu bertindak dengan lebih yakin dalam menghadapi cabaran hidup.
Bagi memastikan mesej ini sampai ke segenap lapisan masyarakat, Skuad Celik Kewangan telah menjelajah ke sembilan lokasi termasuk di Lahad Datu, Kunak, Pulau Bum Bum dan Tawau. Dalam siri jelajah ini, kami bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi juga mendengar secara langsung luahan, persoalan dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat dalam mengurus kewangan harian. Kami menemui penjaja kecil yang mahu membuka akaun simpanan, pelajar yang risau tentang hutang pendidikan, ibu-ibu tunggal yang mencari cara untuk melindungi anak-anak mereka, semuanya membawa kepada satu kesimpulan yang jelas: masyarakat memerlukan sokongan yang sepatutnya, bimbingan dan peluang untuk memperkasa diri dalam aspek kewangan.
Karnival ini bukan sekadar perhimpunan atau pameran. Ia adalah platform strategik yang membawa pelbagai pihak – agensi kerajaan, institusi kewangan, ahli akademik, pertubuhan masyarakat dan komuniti setempat untuk berganding bahu memperkasa masyarakat dengan ilmu kewangan yang relevan dan praktikal. Dengan sokongan komuniti yang kukuh serta momentum daripada KCK Tawau, Financial Education Network kekal komited untuk memperluaskan jangkauan dan impaknya di seluruh Malaysia. Ia juga membuka ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang sahih, mengenali saluran bantuan yang tersedia dan bertanya secara terus kepada pakar tanpa rasa segan atau takut.
Hadirin sekalian,
Ekonomi Tawau banyak bergantung kepada sektor seperti perladangan, perikanan, perdagangan, perkayuan dan pelancongan. Namun, kekentalan sesebuah ekonomi bukan sekadar terletak kepada jumlah pendapatan yang dijana, tetapi juga kepada sejauh mana pendapatan itu diurus dengan bijak. Tanpa ilmu pengurusan kewangan yang baik, pendapatan yang besar sekalipun boleh habis tanpa simpanan atau perlindungan.
Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Segi Permintaan (FCI 2024) menunjukkan bahawa tahap literasi kewangan di Sabah berada di bawah purata nasional. 71% responden di Sabah menyatakan mereka sukar untuk menyediakan RM1,000 dalam situasi kecemasan. Ini memberi gambaran yang membimbangkan mengenai daya tahan kewangan ramai isi rumah. Justeru, ini adalah peluang dan tanggungjawab bersama untuk memperkukuh ilmu dan tabiat kewangan masyarakat dengan memberi fokus kepada aspek pengurusan risiko, penggunaan digital secara bijak dan perancangan jangka panjang.
Kemajuan teknologi digital membuka peluang baharu kepada masyarakat untuk menikmati perkhidmatan kewangan yang lebih mudah, cepat dan inklusif. Di Tawau, kita lihat semakin ramai peniaga kecil menerima bayaran melalui e-dompet. Usahawan mikro kini boleh mengakses pembiayaan secara dalam talian dan pengguna boleh mengurus simpanan serta pelaburan di hujung jari. Ini satu perkembangan progresif yang baik. Namun, kita perlu memahami risiko disebaliknya.
Fenomena "painless payment" – di mana pembayaran dilakukan secara mudah dan langsung tanpa rasa, menyebabkan perbelanjaan impulsif semakin meningkat. Kajian menunjukkan 31% rakyat Malaysia lebih cenderung berbelanja tanpa kawalan apabila menggunakan platform digital.
Isu keselamatan siber juga semakin membimbangkan. Ramai pengguna baharu tidak mengamalkan langkah asas seperti menetapkan PIN yang selamat atau menggunakan sambungan internet yang selamat. Ramai juga yang tidak dapat mengenalpasti taktik penipuan di talian. Oleh itu, usaha memperkukuh literasi kewangan digital amat penting agar masyarakat dapat menggunakan perkhidmatan ini dengan yakin dan selamat.
Sebagai langkah untuk memperkukuh perlindungan pengguna, BNM bersama agensi berkaitan telah menubuhkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) pada tahun 2022. Melalui talian 997, pengguna boleh membuat laporan dengan segera sekiranya menjadi mangsa penipuan kewangan. Namun begitu, benteng pertahanan terbaik tetaplah ilmu dan kesedaran. Karnival ini memberi peluang kepada masyarakat untuk belajar tentang cara-cara melindungi diri daripada risiko digital.
Dalam konteks pengurusan risiko kewangan pula, kita tidak boleh menafikan bahawa hidup ini penuh dengan ketidaktentuan. Kemalangan, penyakit, kehilangan pendapatan atau bencana alam boleh memberi impak besar kepada kestabilan kewangan keluarga.
Oleh itu, perlindungan seperti insurans dan takaful perlu dipandang sebagai satu keperluan, bukan sekadar pilihan. Malangnya, masih ramai yang bekerja sendiri atau dalam sektor tidak formal tidak mempunyai perlindungan sosial atau pelan persaraan yang mencukupi.
Saya menggalakkan tuan-tuan dan puan-puan untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pengendali takaful dan insurans yang turut serta dalam karnival ini. Agensi seperti KWSP dan PERKESO juga sedia membantu untuk memberi penerangan tentang skim dan pilihan yang sesuai mengikut keperluan masing-masing. Tindakan kecil hari ini boleh membawa perubahan besar kepada masa depan.
BNM melalui Jaringan Pendidikan Kewangan iaitu FEN turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh literasi kewangan rakyat Malaysia. Antara inisiatif utama ialah program FEN PROAKTIF, yang menyasarkan pelajar tahun akhir di institusi pengajian tinggi. Program ini membantu pelajar membina kemahiran mengurus kewangan sebelum melangkah ke alam pekerjaan agar mereka tidak terjebak dalam hutang yang tidak produktif atau membuat keputusan kewangan yang merugikan.
Di samping itu, menjelang Oktober setiap tahun, bersempena sambutan Bulan Literasi Kewangan, pelbagai program pendidikan kewangan akar umbi akan diteruskan dan diperluas ke seluruh negara, termasuk di Sabah. Ini mencerminkan komitmen kami untuk memastikan usaha memperkasa kewangan rakyat terus dilaksanakan secara inklusif dan berterusan. Jadi tahun ini, pasukan kami ke Sabah sebanyak dua kali.
Hadirin sekalian,
Ilmu kewangan tidak hanya untuk pakar ekonomi, kewangan atau pelabur. Ia untuk semua. Untuk ibu-ibu yang mengurus belanja dapur, untuk bapa-bapa yang mahu menabung demi pendidikan anak-anak, untuk anak muda yang baru mula bekerja, dan untuk pesara yang ingin menikmati hari tua dengan tenang. Semua berhak untuk celik kewangan, dan semua kita mampu menjadi celik kewangan.
Karnival hari ini adalah satu pelaburan jangka panjang dalam kehidupan masyarakat. Ia adalah ruang untuk belajar, untuk bertanya, dan untuk mengambil langkah pertama ke arah masa depan kewangan yang lebih stabil dan sejahtera. Rebutlah peluang ini. Dapatkan nasihat, kongsikan pengalaman, dan manfaatkan khidmat yang disediakan.
Bersempena dengan karnival ini, pelbagai aktiviti menarik disusun khas buat warga Tawau. Antaranya, pertandingan karaoke pada malam ini yang dijangka sengit kerana saya dengar ramai orang Sabah bersuara emas. Di karnival ini juga, kita dapat beramah mesra dengan penyanyi Amir Masdi dan pempengaruh media sosial terkenal, Sir Asai. Bagi yang gemar beriadah, Malaysian Takaful Association turut menganjurkan Fun Run sejauh 5 km pada pagi esok.
Untuk julung kalinya, karnival ini juga akan menampilkan siaran langsung pendidikan kewangan di platform TikTok yang merangkumi semua topik terkini. Siaran langsung ini akan berlangsung selama 24 jam tanpa henti untuk mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records.
Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah, rakan strategik kami dalam menjayakan Karnival Celik Kewangan ini, serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Semoga segala usaha ini menjadi pemangkin kepada perubahan positif yang berkekalan. Mudah-mudahan, ia akan membentuk sebuah masyarakat yang lebih celik, lebih bijak, dan lebih berdaya tahan dalam mengurus kewangan mereka.
Sekian, terima kasih.