Speeches & Interviews
Filter by year
Filter by speaker
<!-- Google tag (gtag.js) --> <script async src="https://www.googletagmanager.com/gtag/js?id=G-QCXBYX5C31"></script> <script> window.dataLayer = window.dataLayer || []; function gtag(){dataLayer.push(arguments);} gtag('js', new Date()); gtag('config', 'G-QCXBYX5C31'); </script>
Filter by year
Filter by speaker
Ucapan oleh Timbalan Gabenor Adnan Zaylani
di Majlis Penutup Karnival Celik Kewangan Sarawak
Vivacity Megamall, Kuching | 17 November 2024
Pertama sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan Karnival Celik Kewangan Sarawak 2024. Karnival ini bertujuan untuk membawa pendidikan dan perkhidmatan kewangan lebih dekat kepada rakyat Sarawak, terutamanya yang berada di sekitar Bandaraya Kuching.
Sepanjang tiga hari menyantuni rakyat Sarawak ini, kami terharu dengan sambutan yang luar biasa dengan kehadiran lebih daripada 20,000 pengunjung dan 40 pempamer, terdiri daripada jabatan kerajaan dan institusi serta penyedia perkhidmatan berkaitan kewangan. Saya berharap anda semua dapat memanfaatkan inisiatif celik kewangan yang dijalankan ini dan menguar-uarkan kepada keluarga dan rakan-rakan betapa pentingnya mengurus wang dengan berhemat, mengelakkan hutang berlebihan dan mendapat tips pelaburan secara bijak dan selamat.
Karnival Celik Kewangan Sarawak merupakan kemuncak kepada Bulan Literasi Kewangan (ataupun Financial Literacy Month, FLM) 2024 yang telah berlangsung sepanjang bulan Oktober dan November ini. Pelbagai program dan aktiviti telah dilaksanakan bersempena FLM 2024 di seluruh negara bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan kewangan di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya golongan sasaran seperti pelajar, usahawan mikro dan wanita, serta masyarakat luar bandar.
Dengan kerjasama baik institusi-institusi kewangan, agensi-agensi kerajaan, NGO, dan komuniti tempatan, Skuad Celik Kewangan yang terdiri daripada wakil semua institusi dan agensi telah menjalankan pelbagai program di lebih 90 lokasi seluruh negara, termasuklah di Sarawak dan Sabah. Ia merangkumi ceramah dan bengkel pendidikan kewangan, kempen kesedaran penipuan atas talian atau online scam, dan sesi bimbingan usahawan dan individu. Anggaran awal mendapati lebih daripada 40 ribu orang telah mendapat manfaat daripada program-program yang telah dijalankan bersempena FLM 2024. Ia menunjukkan komitmen dan minat yang tinggi bagi meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pendidikan Kewangan: Pendekatan “Whole of Nation”
Bermula pada tahun 2016, Malaysia telah mengambil bahagian dalam Kajiselidik Literasi Kewangan oleh Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD). Pada ketika itu, tahap literasi kewangan rakyat Malaysia berada lebih rendah berbanding dengan negara-negara lain. Namun, pendekatan secara ‘whole of nation’ yang telah dilaksanakan oleh ahli-ahli dan rakan-rakan usaha sama Financial Education Network (ataupun FEN) sejak 2016 kini telah menunjukkan hasilnya. Berdasarkan kajian OECD untuk tahun 2023, tahap pengetahuan kewangan rakyat Malaysia telah meningkat dengan ketara, mengatasi purata antarabangsa dan menghampiri tahap negara-negara maju yang lain.
Ini merupakan satu perkembangan yang menggalakkan. Namun, kita cakna terhadap faktor-faktor lain mempengaruhi perilaku kewangan yang turut memberi cabaran, seperti kos kehidupan yang semakin meningkat dan tahap pendapatan yang rendah serta tidak menentu. Dasar-dasar Kerajaan yang membawa pembaharuan struktur ekonomi sedang dilaksanakan di Malaysia, yang kita turut berharap dapat mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan mengurangkan tekanan kos hidup. Dengan fokus kepada industri berteknologi tinggi dan peningkatan kemahiran tenaga kerja, ia dapat membantu mengatasi ketidaksamaan pendapatan dan mengawal harga barangan asas. Usaha ini juga perlu bagi memastikan kita lebih berdaya saing dan stabil dalam menghadapi cabaran globalisasi dan teknologi.
Halatuju ini perlu dimanfaatkan sebaiknya. Cabaran utama kita adalah untuk menterjemahkan peningkatan pengetahuan kewangan rakyat kepada perubahan tingkah laku kewangan, agar kita dapat meningkatkan ekonomi individu dan isi rumah, seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara. Sehubungan itu, FEN mengajak lebih banyak pihak, termasuk agensi kerajaan, institut pendidikan mahu pun syarikat korporat, untuk berganding bahu bagi menyokong usaha FEN, melalui pendekatan “whole of nation” dalam mengembangkan capaian pendidikan kewangan kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk mendepani cabaran-cabaran kewangan kini termasuklah penipuan atas talian, ketidaktentuan ekonomi global dan peningkatan kos sara hidup.
Cabaran Literasi Kewangan Dalam Kalangan Rakyat Malaysia
Saya ingin menarik perhatian anda kepada tiga cabaran kewangan rakyat Malaysia, menurut dapatan Kajiselidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan 2024 yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia baru-baru ini.
Pertama, pengurusan kewangan yang kurang berhemah menjadi isu yang amat membimbangkan dalam kalangan rakyat Malaysia, di mana satu daripada empat rakyat Malaysia merasakan yang hutang mereka membebankan. Belia adalah golongan yang merasa paling terbeban dalam isu ini. Mungkin tiba masanya untuk institusi pendidikan tinggi dan TVET mewajibkan pendidikan kewangan terhadap pelajar mereka yang bakal memasuki alam pekerjaan demi kesejahteraan kewangan jangka panjang.
Kedua, walaupun akses kepada perkhidmatan kewangan seperti pemilikan akaun deposit adalah tinggi di Malaysia, ianya tidak diterjemahkan kepada tabiat menyimpan dan penggunaan secara bermakna. Menurut kaji selidik yang sama, 61% rakyat Malaysia menghadapi kesukaran untuk menyediakan wang sebanyak RM1,000 sekiranya menghadapi kecemasan. Ramai rakyat Malaysia didapati sedar akan kepentingan menabung, tetapi simpanan itu sering dikeluarkan sehingga terpaksa berhutang pada saat-saat genting.
Dan ketiga, tahap literasi kewangan digital masih rendah dalam kalangan rakyat Malaysia walaupun penggunaan perkhidmatan kewangan digital kini telah mencapai lebih 90% pada tahun ini. 15% rakyat Malaysia, ramai antaranya golongan remaja, berkongsi kata laluan perbankan, sekaligus mendedahkan mereka kepada peningkatan kadar penipuan atas talian (atau online scam) dan risiko menjadi keldai akaun.
Oleh yang demikian, penekanan besar telah diberikan untuk meningkatkan kesedaran dan menyediakan maklumat serta khidmat bantuan berkaitan ketiga-tiga isu di sepanjang karnival ini. Saya berharap para pengunjung Karnival Celik Kewangan Sarawak dapat memanfaatkan ilmu ini untuk membina masa depan kewangan yang lebih kukuh dan stabil untuk diri sendiri, keluarga dan komuniti. Tidak kira siapa sahaja anda – sama ada seorang pelajar, pekerja, suri rumah ataupun pesara – pengurusan kewangan yang berhemah ialah kunci kepada kehidupan dan ekonomi yang lebih baik.
Sebagai penutup, terima kasih sekali lagi kepada semua yang telah hadir, ahli-ahli FEN serta rakan-rakan industri yang telah menjayakan Karnival Celik Kewangan Sarawak. Semoga acara ini menjadi titik permulaan yang lebih besar dalam usaha kita ke arah membina masyarakat yang celik kewangan dan ekonomi negara yang lebih lestari. Kami berharap untuk terus bekerjasama dengan anda semua dalam menjayakan agenda celik kewangan ini. Dengan ini, saya secara rasminya menutup Bulan Literasi Kewangan 2024.
Bank Negara Malaysia
17 November 2024