Speeches & Interviews
Filter by year
Filter by speaker
<!-- Google tag (gtag.js) --> <script async src="https://www.googletagmanager.com/gtag/js?id=G-QCXBYX5C31"></script> <script> window.dataLayer = window.dataLayer || []; function gtag(){dataLayer.push(arguments);} gtag('js', new Date()); gtag('config', 'G-QCXBYX5C31'); </script>
Filter by year
Filter by speaker
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah, Bulan Literasi Kewangan 2023 telah sampai ke penghujungnya. Bagi pihak Bank Negara Malaysia dan selaku pengerusi bersama Financial Education Network atau FEN, saya amat berbesar hati atas kesudian tuan-tuan dan puan-puan meluangkan masa untuk hadir ke Majlis Penutup Karnival Celik Kewangan Johor yang merupakan acara kemuncak bagi Bulan Literasi Kewangan 2023. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada warga Johor atas sambutan yang meriah terhadap Karnival ini.
Bulan Literasi Kewangan adalah satu platform yang penting untuk menyampaikan mesej pentingnya literasi kewangan sebagai kemahiran hidup yang perlu ada pada setiap individu. Saya difahamkan lebih kurang 100 program telah dijalankan oleh ahli-ahli dan rakan usaha sama FEN sepanjang bulan Oktober ini. Program jelajah ke seluruh negara telah menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 26 ribu rakyat disantuni dan peningkatan pengetahuan yang sangat baik. Saya juga difahamkan setakat pukul 12 tengah hari, seramai 17 ribu pengunjung telah memeriahkan Karnival ini dan mendapat khidmat nasihat di ruang pameran yang terlibat serta lebih daripada RM11 juta transaksi kewangan telah direkodkan.
Para hadirin sekalian,
Penglibatan rakyat secara meluas dalam aktiviti ekonomi negara dengan menggunakan sistem kewangan sebagai pengantara memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi. Penglibatan dalam sistem kewangan formal melalui akses dan penggunaan produk perkhidmatan kewangan oleh individu dan perniagaan seperti akaun deposit, pinjaman untuk pembelian aset atau perniagaan, perlindungan insurans, pelaburan, khidmat pembayaran dan simpanan hari tua membolehkan rakyat mengurus kewangan dengan bijak dan merancang masa depan yang lebih stabil dan teratur. Ini sudah tentu akan mengurangkan risiko kemiskinan dan memperkuat daya tahan individu dan perniagaan ketika berdepan situasi tidak dijangka seperti kehilangan mata pencarian dan peluang perniagaan atau ditimpa musibah. Rangkuman kewangan juga dapat mengurangkan jurang sosioekonomi apabila semua lapisan masyarakat mempunyai peluang yang sama untuk turut serta dalam pembangunan ekonomi, tanpa ada yang terpinggir.
Sepanjang dekad yang lalu, Malaysia telah mencapai kemajuan penting dalam meningkatkan rangkuman kewangan. Sehingga kini, 96% golongan dewasa di Malaysia mempunyai akaun deposit yang aktif dan 99% mukim di negara ini mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan. Kemajuan ini adalah hasil berdekad lamanya inisiatif oleh pihak-pihak berkepentingan untuk meletakkan blok-blok asas untuk mencapai matlamat ini:-
Saudara dan saudari sekalian,
Walaupun rangkuman kewangan daripada segi pemilikan akaun simpanan di Malaysia adalah antara yang tertinggi di rantau ini, namun masih terdapat cabaran yang perlu diatasi, termasuk akses kepada perkhidmatan dan produk kewangan tertentu bagi golongan terpinggir atau kurang mendapat khidmat kewangan. Selepas pandemik, dengan kos sara hidup yang meningkat, isu sekuriti makanan, jurang pendapatan dan ketidaktentuan ekonomi global, telah memberi kesan terutamanya kepada golongan ini. Untuk keluar daripada situasi ini, ia memerlukan anjakan dalam segala segi, terutamanya dalam menyediakan peluang untuk menjana pendapatan, kebolehsaingan, penyusunan semula strategi dan polisi dalam pengagihan subsidi, dan memacu ekonomi dengan inovasi dan teknologi yang terkini.
Pandemik juga telah membuka peluang baru terutamanya kepada perniagaan yang beralih ke dalam talian atau memberi tumpuan kepada agenda ekonomi hijau. Bank Dunia menganggarkan sebanyak 79% rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan kewangan digital pada 2021, dengan 45% menggunakannya buat pertama kali. Perkembangan ini sememangnya membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat Malaysia terutama bagi golongan peniaga dalam meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos, dan meneroka model perniagaan baharu yang lebih berdaya saing.
Usaha meningkatkan keupayaan kewangan rakyat Malaysia sudah mula menampakkan hasilnya di mana Indeks Celik dan Keupayaan Kewangan rakyat Malaysia telah menunjukkan peningkatan yang baik terutamanya dari segi pengetahuan. Walaubagaimanapun, sebahagian daripada kita masih belum mampu bangkit sepenuhnya kesan akibat pandemik COVID-19. Cabaran kewangan dan kurangnya simpanan menyebabkan ramai antara kita tidak bersedia untuk menghadapi situasi di luar jangkaan. Tahap celik kewangan digital pula amat membimbangkan. Tahukah para hadirin sekalian, 1 daripada 3 rakyat Malaysia berkongsi kata laluan perbankan mereka dan lebih 70% rakyat Malaysia tidak mengendahkan faktor keselamatan ketika berurusan di platform kewangan digital. Ini sudah tentu akan mendedahkan rakyat kepada risiko penipuan kewangan. Sejak tahun lepas, inisiatif untuk meningkatkan celik kewangan digital telah dilancarkan oleh FEN dan industri kewangan. Ini termasuk program jelajah FEN ke luar bandar dan institusi pengajian tinggi yang memberi tumpuan kepada pengukuhan keselamatan siber pengguna kewangan. Malah, program literasi kewangan FEN PROAKTIF yang dilancarkan semalam untuk belia di IPT turut mengintegrasikan satu modul celik kewangan digital.
Dengan persekitaran kewangan dan ekonomi yang sangat dinamik, perjalanan memperkasakan pendidikan kewangan tidak ada titik noktahnya. FEN sentiasa bersedia untuk memperluas dan melipatganda usaha melalui pelbagai pendekatan:
Sebelum saya mengundur diri, saya berharap agar semua yang hadir pada hari ini akan mengambil peluang untuk terus meningkatkan tahap celik kewangan masing-masing dan mengamalkan pengurusan kewangan berhemat untuk kesejahteraan diri dan keluarga, bukan sahaja untuk hari ini tetapi juga untuk masa hadapan. Saya juga berharap agar lebih banyak kementerian dan agensi yang berkaitan, serta sektor swasta bersama-sama berganding bahu dalam memperluaskan rangkuman kewangan serta meningkatkan tahap literasi kewangan demi masa hadapan yang lestari, adil, inklusif dan lebih bermakna buat rakyat negara ini.
Terima kasih dan Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Bank Negara Malaysia
29 Oktober 2023