Speeches & Interviews
Filter by year
Filter by speaker
<!-- Google tag (gtag.js) --> <script async src="https://www.googletagmanager.com/gtag/js?id=G-QCXBYX5C31"></script> <script> window.dataLayer = window.dataLayer || []; function gtag(){dataLayer.push(arguments);} gtag('js', new Date()); gtag('config', 'G-QCXBYX5C31'); </script>
Filter by year
Filter by speaker
Speech by Deputy Governor Adnan Zaylani
at the Closing of Karnival Celik Kewangan Pulau Pinang
Bayan Lepas | 16 November 2025
Alhamdulillah, kita sampai ke penghujung Bulan Literasi Kewangan (FLM) 2025. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan semua rakan strategik yang menjayakan Karnival Celik Kewangan ini.
Sepanjang tiga hari ini, kita lihat suasana yang sangat meriah. Keluarga datang bersama anak-anak, pelajar universiti memenuhi reruai, malah warga emas pun hadir bertanya tentang pelaburan dan penipuan kewangan. Inilah semangat sebenar rakyat Malaysia yang mahu maju bersama ilmu.
Setiap tahun, kita sebut tentang sasaran, peratus dan strategi. Tapi, di sebalik semua itu, ada kisah rakyat:
Seorang anak muda yang baru mula menyimpan RM50 sebulan.
Seorang peniaga kecil yang kini urus perniagaan melalui e-wallet, dan
Seorang ibu tunggal yang baru tahu pentingnya takaful kesihatan untuk anak-anaknya.
Cerita-cerita beginilah yang memberi makna kepada usaha kita. Literasi kewangan bukan untuk mengajar orang kaya jadi lebih kaya, tetapi untuk membantu setiap keluarga hidup dengan lebih tenang, tanpa risau di hujung bulan, dan tanpa takut bila kecemasan datang.
Hadirin sekalian,
Sepanjang FLM2025, Skuad Celik Kewangan menjelajah ke lebih 100 lokasi dan menyantuni lebih daripada 23,000 rakyat, terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuklah golongan belia, usahawan mikro, komuniti luar bandar dan pedalaman.
Daripada apa yang kami dengar, tiga mesej utama muncul:
Pertama, rakyat semakin sedar tentang pentingnya simpanan dan pengurusan hutang.
Kedua, ramai masih keliru tentang pelaburan dan penipuan digital.
Ketiga, mereka mahu bimbingan yang mudah difahami, bukan nasihat yang terlalu teknikal.
Melangkah ke hadapan, cabaran kita ialah untuk menyampaikan ilmu kewangan dalam bahasa rakyat agar sesiapa pun, tak kira tahap pendidikan atau pendapatan, boleh faham, percaya dan amalkan. Saya menyeru institusi dan agensi yang hadir pada hari ini agar terus berinovasi untuk menyampaikan mesej pendidikan kewangan secara mudah dan berkesan.
Dalam menyampaikan ilmu kewangan kepada rakyat, kita juga boleh kembali kepada nilai asas yang membentuk keputusan kewangan yang baik. Prinsip-prinsip kewangan Islam seperti amanah (kepercayaan), ‘adl (keadilan), dan maslahah (kepentingan umum) menawarkan asas yang kukuh untuk membina masyarakat yang bertanggungjawab dan beretika.
Nilai-nilai ini sebenarnya bukan sahaja relevan kepada umat Islam, malah bersifat sejagat dan boleh dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama atau budaya. Bila kita berbelanja dengan amanah, membuat keputusan dengan adil dan sentiasa memikirkan kepentingan bersama, barulah literasi kewangan menjadi alat untuk membina kesejahteraan yang inklusif dan mampan.
Peredaran zaman juga mengubah cara kita berbelanja. Kini, kita jarang memegang wang tunai. Semuanya di hujung jari – satu imbasan, satu sentuhan. Tetapi bila bayaran menjadi terlalu mudah, kita juga mudah berbelanja tanpa sedar. Kajian kami menunjukkan hampir 40% pengguna di Pulau Pinang berbelanja secara spontan bila membeli dalam talian.
Kalau kita berbelanja duit yang kita ada, mungkin ini tidak membebankan. Tetapi, ramai juga yang ingin menggunakan kad kredit dan hutang yang boleh menjadi beban. Inilah sebabnya kami memperkenalkan program pendidikan kewangan untuk pemohon pembiayaan peribadi, bersama Bank Rakyat, BSN dan Agrobank, supaya pinjaman digunakan untuk keperluan sebenar, bukan keinginan sesaat. Dalam masa yang sama, kita galakkan rakyat menggunakan teknologi dengan selamat. Marilah kita sama-sama semak sebelum klik, fikir sebelum bayar.
Selain tahu berbelanja, kita juga perlu tahu melindungi diri. Ramai antara kita yang masih belum ada pelan insurans atau takaful asas, sedangkan musibah boleh datang pada bila-bila masa. Bagi memudahkan masyarakat membuat pilihan, FEN kini menyediakan panduan insurans dan takaful kesihatan di laman sesawangnya agar anda dapat memilik produk yang bersesuaian dengan keperluan dan kemampuan anda untuk perlindungan kesihatan jangka panjang.
Selain perlindungan kesihatan, keperluan melengkapkan diri daripada menjadi mangsa penipuan kewangan juga amat penting. Di Pulau Pinang sendiri, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, rakyat sudah kehilangan lebih RM90 juta akibat penipuan kewangan.
Modus operandi penipuan ini sentiasa berubah – semakin licik, semakin sukar dikesan. Hari ini mungkin panggilan palsu, esok pula laman web tiruan atau aplikasi yang kelihatan sah. Justeru, rakyat perlu sentiasa peka dan berwaspada.
Dalam hal ini, Bank Negara Malaysia bersama agensi penguat kuasa terus memperkukuh sistem keselamatan digital dan mempercepat tindakan menerusi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC). Kita mahu terus memastikan agar penipuan kewangan dapat dibanteras dan rakyat yakin untuk terus membuat transaksi kewangan dengan selamat.
Saudara dan saudari sekalian,
Bulan Literasi Kewangan mungkin berakhir hari ini, tetapi misinya tidak akan berhenti. Tahun depan, kita akan teruskan usaha di bawah Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030 dengan satu matlamat besar untuk menjadikan celik kewangan sebagai budaya hidup.
Di bawah Strategi baharu ini, lima Fokus Strategik telah digariskan untuk membentuk rakyat Malaysia yang lebih bersedia dan berprinsip dalam mengurus kewangan dengan:
Menggalakkan perancangan kewangan berhemat dan persediaan untuk persaraan
Memupuk pengurusan hutang yang bijak dan bertanggungjawab
Menjamin masa depan kewangan melalui langkah perlindungan risiko
Menggalakkan penggunaan perkhidmatan kewangan digital secara selamat, yakin dan bermakna
Mendorong pelaburan bagi menjana kekayaan
Kita mahu lihat setiap rakyat:
Yang membeli, berfikir sebelum berbelanja;
Yang meminjam, tahu tanggungjawabnya; dan
Yang menerima rezeki, bijak menguruskannya.
Kerana bila kewangan rakyat kukuh, ekonomi negara pun lebih kukuh. Dan bila rakyat tenang, barulah pembangunan yang kita rancang terasa maknanya.
Akhir kata, terima kasih kepada semua yang terlibat daripada rakan-rakan industri, agensi, sukarelawan dan pasukan FEN yang tidak kenal penat. Kepada rakyat Pulau Pinang, terima kasih kerana menjadi tuan rumah yang hebat dan bersemangat.
Semoga usaha kita hari ini bukan sekadar program tahunan, tetapi satu gerakan nasional yang membina masyarakat yang yakin, berdisiplin dan sejahtera dalam mengurus rezeki.
Dengan penuh rasa syukur, saya menutup secara rasmi Bulan Literasi Kewangan 2025. Kita jumpa lagi tahun hadapan, insya-Allah, dengan semangat yang lebih kuat dan rakyat yang semakin celik kewangan.
Sekian, terima kasih.