Speeches & Interviews
Filter by year
Filter by speaker
<!-- Google tag (gtag.js) --> <script async src="https://www.googletagmanager.com/gtag/js?id=G-QCXBYX5C31"></script> <script> window.dataLayer = window.dataLayer || []; function gtag(){dataLayer.push(arguments);} gtag('js', new Date()); gtag('config', 'G-QCXBYX5C31'); </script>
Filter by year
Filter by speaker
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu, saya ingin memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan izin-Nya kita dapat bersama-sama hadir di Majlis Pembukaan Pameran Bulan Literasi Kewangan 2022 atau FLM 2022 pada pagi ini. Sebagai Pengerusi bersama Jaringan Pendidikan Kewangan, atau Financial Education Network, (FEN), saya bagi pihak Bank Negara Malaysia berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan puan sekalian. Terima kasih juga saya ucapkan kepada rakan kerjasama FEN yang terdiri daripada ahli-ahli FEN - kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan pihak swasta, persatuan-persatuan, pengusaha perniagaan serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif ini.
Seperti yang kita sedia maklum, FEN telah menganjurkan Bulan Literasi Kewangan secara maya sejak dua tahun lalu berikutan pandemik COVID-19. Alhamdulillah, tahun ini FLM 2022 dapat dianjurkan secara bersemuka selepas dua tahun kita bergelut dengan COVID-19.
Di sebalik pandemik COVID-19 yang telah meninggalkan kesan besar kepada rakyat Malaysia - satu perkembangan positif daripada pengalaman ini ialah penggunaan e-pembayaran yang lebih meluas. E-pembayaran juga menyokong pendigitalan proses perniagaan yang seterusnya dapat meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos, dan mewujudkan model perniagaan baru untuk syarikat dalam ekonomi digital. Sebagai contoh, program jangkauan e-pembayaran di Pulau Redang yang dilancarkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menunjukkan bagaimana e-pembayaran boleh mengubah kehidupan penduduk sebuah kawasan supaya menjadi lebih produktif lantas memperkukuh kedudukan ekonomi mereka. Berdasarkan laporan Global Findex 2021 oleh Bank Dunia, dianggarkan sebanyak 79% golongan dewasa di Malaysia telah menggunakan pembayaran secara digital atau e-pembayaran semasa pandemik COVID-19. Perkembangan ini merupakan trend yang amat memberangsangkan dan perlu terus dipupuk dalam kalangan rakyat Malaysia.
Bank Negara Malaysia komited untuk terus memacu penggunaan e-pembayaran di Malaysia. Pelan Sektor Kewangan yang dilancarkan awal tahun ini menyasarkan purata kadar peningkatan tahunan bagi e-pembayaran melebihi 15% untuk lima tahun yang akan datang. Selaras dengan aspirasi ini, Bank Negara Malaysia dan industri pembayaran akan memastikan ketersediaan dan akses kepada instrumen e-pembayaran yang pelbagai seperti kad pembayaran; pembayaran atas talian; dan kod QR pada kos yang kompetitif. Hasil gabungan usaha kerajaan dan industri pembayaran, kita telah berjaya merekodkan pertumbuhan kukuh dalam penggunaan e-pembayaran di bandar dan juga di luar bandar.
Hal ini dapat dilihat melalui penerimaan kod QR setakat separuh pertama tahun ini, yang merekodkan lebih satu juta pendaftaran kod QR. Hal ini menunjukkan tahap kesediaan orang ramai untuk terus menerima e-pembayaran. Bagi memberikan manfaat tambahan kepada pengguna, usaha juga sedang giat dijalankan bagi melaksanakan kemudahan pembayaran rentas sempadan. Ini akan membuka ruang untuk para peniaga memperluas penerimaan e-pembayaran kepada pelancong asing dan perniagaan e-dagang rentas sempadan pada masa hadapan.
Inisiatif yang sama pentingnya adalah dari aspek penerapan penggunaan e-pembayaran yang berhemat dan selamat. Dalam hal ini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli FEN serta industri pembayaran yang giat mengadakan program dan inisiatif bagi meningkatkan tahap celik kewangan pengguna. Menyedari pentingnya tahap celik kewangan dalam mengharung arus pendigitalan - Bank Negara Malaysia dan industri pembayaran telah mengambil pendekatan lebih bersepadu dan berstruktur untuk meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung penggunaan e-pembayaran secara selamat. Kempen e-Duit dengan cogan kata “Selamat, Senang dan Segera” yang dilancarkan pada hari ini adalah hasil usaha komitmen ini. Kempen ini menekankan aspek pendidikan supaya duit milik pengguna terus terjaga dan selamat semasa menggunakan e-pembayaran. Di samping itu, kempen ini juga akan memberikan tumpuan pada manfaat-manfaat yang dapat diperolehi melalui penggunaan e-pembayaran seperti memudahkan urus niaga harian dengan transaksi pembayaran di hujung jari serta proses pembayaran yang pantas. Kempen e-Duit ini akan dilaksanakan secara berterusan sepanjang tempoh lima tahun selaras dengan aspirasi Pelan Sektor Kewangan 2022–2026. Khususnya pada hari ini, pelbagai sesi perkongsian telah diatur sekitar tema “Selamat, Senang dan Segera”.
FLM2022 yang berlangsung sejak awal bulan Oktober juga memberikan penekanan terhadap mesej kepentingan celik kewangan digital. Ini bertujuan untuk membantu rakyat membina ketahanan kewangan dan memanfaatkan perkembangan ekonomi digital dengan yakin. Ini termasuk program jelajah selama 28 hari yang bermula pada 1 Oktober 2022 dan berakhir semalam, yang menyaksikan FEN ‘turun padang’ dan bersemuka dengan pengguna kewangan di seluruh negara. Lebih 20,000 rakyat di seluruh negara disantuni. Tumpuan pada peningkatan kemahiran kewangan digital serta pendedahan kepada risiko penipuan kewangan sememangnya amat tepat memandangkan risiko penipuan kewangan yang semakin berleluasa. Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia mendapati sebanyak 71,833 kes jenayah komersial dilaporkan sejak 2020 hingga Mei tahun ini, yang melibatkan kerugian lebih RM5.2 billion. Daripada jumlah tersebut, 68% merupakan jenayah penipuan dalam talian. Usaha pendidikan kewangan secara berterusan melalui pendekatan yang kreatif dan menarik seperti yang diusahakan oleh FEN ini amat penting. Tidak dinafikan, Bulan Literasi Kewangan 2022 telah dijayakan dengan penuh kesungguhan dan dedikasi oleh semua yang terlibat!
Biarpun keadaan ekonomi sudah beransur pulih, masih terdapat golongan yang kedudukan kewangannya masih terkesan. Ada juga yang terpaksa memilih bekerja sendiri kerana hilang pekerjaan akibat kesan pandemik yang mendalam ke atas beberapa sektor seperti pelancongan dan hospitaliti. Oleh itu, langkah untuk membangun semula tahap ekonomi dan meningkatkan kemandirian golongan yang terkesan dan berpendapatan rendah, terutamanya yang berpotensi dalam bidang keusahawanan, perlu diberi perhatian. Usaha ini perlu disokong oleh pemerkasaan celik dan keupayaan kewangan, termasuklah dalam persekitaran digital. Kini, ramai pengguna dan peniaga telah beralih kepada perantaraan Internet yang disokong oleh penggunaan peranti mudah alih bagi memastikan kelangsungan kegiatan ekonomi mereka.
Pengenalan Program iTEKAD sebagai program kewangan campuran (blended finance), merupakan satu inisiatif untuk menyokong pembangunan usahawan mikro berpendapatan rendah. Program ini menawarkan modal permulaan dan pembiayaan mikro dengan menggunakan sumber gabungan dana institusi kewangan dan dana kewangan sosial seperti sumbangan CSR; derma; zakat; wakaf tunai; dan pelaburan berimpak sosial. Melalui program ini, institusi kewangan dengan kerjasama rakan-rakan pelaksana seperti Majlis Agama Islam Negeri dan penyedia khidmat latihan akan bersama-sama berusaha membantu usahawan mikro yang layak.
Selain sokongan pendanaan, para peserta iTEKAD turut dilatih dari segi pengurusan perniagaan, celik kewangan dan penggunaan teknologi digital dalam aktiviti perniagaan.
Setakat bulan Ogos 2022, peserta kelompok awal iTEKAD telah menunjukkan prestasi perniagaan yang membanggakan. Sebanyak 95 peratus usahawan iTEKAD telah menjalankan jualan secara dalam talian; 48 peratus berjaya menjana nilai jualan bulanan melebihi RM4,000; 45 peratus usahawan berupaya menyimpan sekurang-kurangnya RM2,000 secara konsisten pada setiap bulan dan 90 peratus usahawan berjaya mengekalkan sekurang-kurangnya tiga orang pekerja walaupun berhadapan dengan persekitaran perniagaan yang mencabar.
Hari ini, saya juga mengalu-alukan penyertaan lima[1] institusi kewangan yang baharu dalam program iTEKAD yang pastinya dapat meluaskan lagi jangkauan program skim pembiayaan campuran (blended financing) ini. Penyertaan institusi-institusi ini menjadikan jumlah keseluruhan institusi kewangan peserta iTEKAD meningkat kepada lapan buah bank, dengan pelaksanaan program yang merangkumi kesemua 14 buah negeri di Malaysia.
Oleh itu, besarlah harapan saya supaya inisiatif e-duit dan iTEKAD dapat menyokong rakyat untuk memanfaatkan peluang ekonomi dan membina kesejahteraan kewangan secara menyeluruh.
Selama sebulan, ahli-ahli dan rakan strategik FEN telah bersama-sama menjayakan pelbagai inisiatif pendidikan kewangan. Selain program jelajah ke seluruh negara, Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan telah dianjurkan buat julung-julung kalinya bagi menyediakan platform untuk menggalakkan kajian tentang celik kewangan. Simposium tersebut telah berjaya menghasilkan lebih 60 kajian akademik berhubung dengan celik kewangan dari dalam dan luar negara. FEN juga menyantuni guru-guru dari seluruh negara melalui program pengukuhan pendidikan kewangan supaya pendidikan kewangan dapat diterapkan di sekolah di seluruh negara dengan lebih berkesan. Pada masa yang sama, satu Tinjauan Celik Kewangan juga dijalankan di kalangan pelajar universiti. Semua ini akan menyumbang kepada penggubalan dasar yang berkaitan untuk meningkatkan lagi tahap celik dan keupayaan kewangan di negara ini.
Walaupun Bulan Literasi Kewangan akan melabuhkan tirainya, momentum ini akan diteruskan. Sesungguhnya, pendidikan kewangan memerlukan kita sentiasa menyesuaikan pendekatan dengan mengambil kira pengalaman berbeza setiap individu dan perubahan risiko yang dihadapi pengguna apabila persekitaran semasa berubah. Tahap celik kewangan perlu disokong dengan akses kepada produk dan perkhidmatan kewangan yang sesuai untuk setiap golongan masyarakat. Inisiatif seperti iTEKAD dan e-duit sememangnya menjadi komponen penting dalam menyokong kesejahteraan kewangan rakyat.
Sehubungan dengan itu, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya melancarkan Pameran Bulan Literasi Kewangan 2022 serta logo rasmi program iTEKAD dan e-duit. Wabillahitaufiq Wal-hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.