Speeches & Interviews
Filter by year
Filter by speaker
<!-- Google tag (gtag.js) --> <script async src="https://www.googletagmanager.com/gtag/js?id=G-QCXBYX5C31"></script> <script> window.dataLayer = window.dataLayer || []; function gtag(){dataLayer.push(arguments);} gtag('js', new Date()); gtag('config', 'G-QCXBYX5C31'); </script>
Filter by year
Filter by speaker
Bismillahirrahmanirrahim, assalamu'alaikum w.b.t.
Saudara-saudari sekalian,
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir kerana sudi menerima kunjungan Bank Negara Malaysia dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (‘PayNet’) ke pulau lagenda ini bersempena dengan penganjuran Pasar Kitar Cashless Langkawi. Kepada PayNet dan Tentuhala Collective, syabas diucapkan atas penganjuran inisiatif ini.
Syabas juga saya ucapkan kepada hampir 100 peserta yang kebanyakannya adalah ibu tunggal, yang telah berjaya menamatkan latihan kemahiran menjahit fabrik kitar semula yang dijalankan oleh Suri Lifestyle. Saya difahamkan, program ini merupakan sebahagian inisiatif PayNet Cambah untuk membudaya transaksi tanpa tunai dan pada masa yang sama mengintegrasikan pendidikan kewangan dengan kerjasama Jaringan Pendidikan Kewangan atau Financial Education Network, atau lebih dikenali sebagai FEN. Gandingan ini adalah penting bukan sahaja untuk mengajar kemahiran menjana pendapatan, tetapi juga untuk membina keupayaan mengurus kewangan dan pendapatan demi kesejahteraan untuk jangka panjang.
Saudara-saudari,
Saban hari kita disajikan dengan berita-berita kurang enak akibat lemahnya pengetahuan dan pengurusan kewangan. Tahap celik kewangan digital rakyat Malaysia juga masih rendah. Mahukah kita hilang simpanan hari tua kerana menjadi mangsa ‘scam’?; atau hidup terbeban dengan masalah hutang kerana berbelanja diluar kemampuan atau kerana mengikut trend?; atau melabur sampai lebur kerana kurang atau tiada ilmu pelaburan?; lebih menyedihkan, sanggupkah kerugian ratusan ribu ringgit akibat terjerat dalam cinta buta atau pun hidup tertekan kerana tidak mempunyai penampan kewangan yang mencukupi untuk perbelanjaan sehari-hari. Sudah tentu jawapannya tidak. Maka carilah peluang untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengurusan kewangan – tak susah pun, yang penting perlu ada kemahuan! Bank Negara Malaysia juga telah meminta institusi perbankan untuk melaksanakan langkah-langkah tambahan untuk menyekat penipuan kewangan. Antaranya, peralihan daripada menggunakan kata laluan sekali sahaja, atau lebih dikenali sebagai OTP yang berasaskan SMS kepada kaedah yang lebih selamat apabila membuat pindahan wang secara dalam talian. Pusat Respons Scam Kebangsaan juga telah ditubuhkan dengan talian hotline 997 berfungsi untuk menyelaras tindak balas pantas bagi membanteras penipuan kewangan.
Saudara-saudari,
Pada bulan ini, FEN melancarkan Bulan Literasi Kewangan 2023 dengan tema Bijak Wang di Era Digital. Malah, FLM2023 juga telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada minggu lepas di Bertam. Saya turut hadir di majlis pelancaran tersebut. Ini merupakan satu inisiatif tahunan yang dilakukan oleh FEN. Pulau Langkawi ini merupakan destinasi kami yang ke-12 selepas menjelajah beberapa lokasi di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Tema tahun ini memberi penekanan terhadap mesej kepentingan celik kewangan dalam memanfaatkan perkembangan ekonomi digital. Tema ini dipilih berikutan hasil dapatan kajian kami yang mendapati trend penggunaan produk dan perkhidmatan kewangan digital yang berkembang begitu pesat di Malaysia pada masa ini.
Saudara-saudari sekalian,
Covid-19 telah mengubah landskap pembayaran di Malaysia. Pandemik ini telah mempercepat penerimaan kaedah pembayaran digital, merangsang inovasi, dan menekankan keperluan kepada infrastruktur e-pembayaran yang lebih kukuh. Melangkah ke hadapan, dijangka trend ini atau pun transaksi tanpa tunai akan terus diterima oleh lebih banyak rakyat Malaysia dan pelancong asing memandangkan ianya selamat, senang dan segera. Maka inisiatif Pasar Kitar Cashless pada hari ini kena pada waktunya sebagai permulaan untuk memangkin penerimaan e-pembayaran yang lebih menyeluruh di Langkawi sebagai kaedah pembayaran utama menggantikan tunai. Bayangkan, tuan-tuan dan puan-puan membuat transaksi kewangan tanpa perlu berkunjung ke cawangan bank, tanpa perlu membayar caj meletak kenderaan, tanpa perlu menunggu giliran dan tanpa perlu membuat penyelarasan akaun secara manual. Bukankah semua ini menjimatkan masa dan kos? Ramai yang beranggap transaksi tunai itu percuma, tanpa sedar akan kos-kos terlindung yang saya sebutkan tadi.
Izinkan saya berkongsi tentang projek rintis e-Duit yang dijalankan di Pulau Redang. Projek rintis ini telah berjaya menghijrahkan 70% peniaga di seluruh Pulau Redang kepada e-pembayaran. Kami mendengar sendiri daripada masyarakat setempat mengenai impak positif dari aspek keselamatan, pemudah cara serta peningkatan pendapatan melalui pelancongan. Contohnya, pelancong asing yang sebelum ini hanya makan di hotel, kini boleh makan besar di gerai anak tempatan tanpa perlu risau untuk menyediakan wang tunai. Penjual pisang goreng, warung roti canai, pengusaha bot, dan penduduk setempat tidak lagi hanya menjadi penonton, malah dapat mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti ekonomi yang terhasil daripada aktiviti pelancongan di Redang. Begitu juga di Langkawi, perusahaan mikro, kecil dan sederhana seharusnya mengambil peluang untuk mendigitalkan perniagaan anda, bukan sahaja dari segi e-pembayaran, malahan pendigitalan perniagaan untuk membolehkan produk anda dipasarkan ke seluruh pelosok dunia.
Usaha memoden dan mendigitalkan perniagaan sudah tentu ada kosnya. Bank Negara Malaysia, melalui bank-bank komersil dan institusi kewangan pembangunan, menyediakan akses kepada pembiayaan seperti Skim Pembiayaan Mikro dan inisiatif iTEKAD bagi membantu usahawan mikro berpendapatan rendah mendapatkan kemudahan pembiayaan tanpa cagaran, disulami dengan inisiatif untuk memantapkan pengurusan kewangan dan kemahiran berniaga secara digital.
Saudara-saudari,
Tidak lengkap rasanya ucapan saya pada hari ini sekiranya saya tidak menyentuh kegusaran yang timbul berikutan khabar pengenaan fi transaksi untuk perkhidmatan DuitNow QR. Ingin saya jelaskan bahawa langkah-langkah sewajarnya telah diambil untuk mengurangkan kesan pengenaan fi ke atas perniagaan mikro dan kecil. Ini termasuk pengecualian fi transaksi oleh bank-bank utama ke atas perniagaan mikro dan kecil yang menerima pembayaran secara DuitNow QR. Bank-bank ini juga menguruskan lebih 80% daripada perniagaan yang menerima pembayaran melalui DuitNow QR. Bagi individu pula, pelanggan kekal tidak dikenakan sebarang caj bagi pembayaran yang tidak melebihi RM5,000 melalui DuitNow QR. Itu adalah satu jumlah yang agak besar untuk transaksi individu.
Saudara-saudari sekalian,
Besarlah harapan kami agar penduduk Langkawi dapat memanfaatkan inisiatif-inisiatif sedia ada untuk memajukan perniagaan, melengkapkan diri dengan kemahiran mengurus kewangan untuk terus menarik pelancong termasuklah segmen-segmen baharu seperti pengembara digital (atau digital nomad) dan pelancongan lestari untuk melonjakkan sosio-ekonomi semua golongan di Langkawi. InsyaAllah.
Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Pasar Kitar Cashless Langkawi dan laman web Suri Lifestyle.
Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bank Negara Malaysia
7 Oktober 2023