<!-- Google tag (gtag.js) --> <script async src="https://www.googletagmanager.com/gtag/js?id=G-QCXBYX5C31"></script> <script> window.dataLayer = window.dataLayer || []; function gtag(){dataLayer.push(arguments);} gtag('js', new Date()); gtag('config', 'G-QCXBYX5C31'); </script>

Navigation

  • Skip to Content
BNM Logo BNM Logo
  • About Us
      Our Roles Board of Directors Governor Management Committee Senior Officers of BNM Organisation Structure Statutory Committees
  • Topics
  • News & Events
      Press Releases Public Notices Speeches Calendar of Events Events at BNM Procurement
  • Rates & Statistics
  • Publications
  • Regulations
      Legislation Standards & Guidelines FSP Directory Enforcement Actions
  • Careers
      Join Us Job Vacancies Kijang Graduate Programme Internships Scholarships
  • Contact Us
      Contact Us BNM Offices Whistleblowing Policy
Search

Language Selector

melayu

Breadcrumb

  1. Home
  2. News & Events
  3. Speeches
  4. Ucapan Penolong Gabenor di Majlis Perasmian Program eDuit Desa Jom Cashless Bagan Nakhoda Omar

Speeches & Interviews selector

Print

Speeches & Interviews

Filter by year   

Filter by speaker   

 

Search title in Speeches

Asset Publisher

null Ucapan Penolong Gabenor di Majlis Perasmian Program eDuit Desa Jom Cashless Bagan Nakhoda Omar

Print

Ucapan Penolong Gabenor di Majlis Perasmian Program eDuit Desa Jom Cashless Bagan Nakhoda Omar

Speaker: Abd. Rahman bin Abu Bakar Venue: Bagan Nakhoda Omar, Selangor Delivery Date : 14 Oct. 2023

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

Segala pujian dan kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala, kerana dengan limpah izin dan kurnia Nya, maka dapat kita semua berkumpul pada pagi ini bersempena Majlis Pelancaran eDuit Desa Jom Cashless Bagan Nakhoda Omar dan Program Literasi Kewangan Digital yang dianjurkan bersama Majlis Daerah Sabak Bernam, Bank Negara Malaysia, Hong Leong Bank, PayNet dan Jaringan Pendidikan Kewangan atau ‘Financial Education Network' (FEN).

Terlebih dahulu, izinkan saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Azman bin Dahlan, Yang DiPertua Majlis Daerah Sabak Bernam, En. Andrew Jong, Pengarah Urusan, Hong Leong Bank Bhd dan En. Gary Yeoh, Ketua Pegawai Komersil, PayNet di atas sokongan terhadap inisiatif kami dalam usaha membina masyarakat yang celik kewangan digital di Daerah Sabak Bernam.

Sesungguhnya program seperti ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama dan komitmen daripada semua pihak, sama ada sektor kerajaan, awam, swasta, mahupun komuniti tempatan. Hasil gabungan usaha daripada semua pihak, Malaysia telah mencapai pertumbuhan yang kukuh dalam penggunaan e-pembayaran. Pada tahun 2022, 9.5 bilion transaksi e-pembayaran dicatatkan dan ia meningkat berbanding 7.2 bilion pada tahun 2021. Secara purata, setiap rakyat Malaysia melakukan 291 transaksi e-pembayaran pada tahun 2022 (2021: 222 purata transaksi).

Hadirin sekalian,

Hasil usahasama kerajaan dan industri pembayaran, kita telah berjaya merekodkan pertumbuhan kukuh dalam penggunaan e-pembayaran di bandar dan juga di luar bandar. Sebagai contoh, lebih 100,000 pendaftaran kod QR telah direkodkan dalam tempoh 3 bulan pertama tahun ini menjadikan jumlah penerimaan kod QR setakat suku pertama tahun ini, melebihi 7 juta pendaftaran. Saya berharap pertumbuhan ini akan dapat ditingkatkan lagi dengan komitmen industri untuk terus membantu peniaga-peniaga mikro dan kecil khususnya mengadaptasi e-pembayaran dalam perniagaan mereka.

Saya sedar bahawa mungkin ada peniaga yang berasa gusar atau tertanya-tanya mengenai fi transaksi yang bakal dikenakan oleh penyedia perkhidmatan DuitNow QR. Ingin saya jelaskan bahawa industri telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengurangkan kesan sebarang fi transaksi ke atas perniagaan. Contohnya, bank-bank utama dan beberapa penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank telah mengumumkan bahawa mereka akan terus mengecualikan fi transaksi ke atas perniagaan mikro dan kecil yang menerima pembayaran secara DuitNow QR. Sesungguhnya, matlamat Bank Negara Malaysia, bersama dengan institusi-institusi sektor kewangan, adalah untuk memastikan kemudahan e-pembayaran dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, tidak kira di bandar atau luar bandar. Ia merupakan pilihan pembayaran yang selamat, senang dan segera.

Hadirin sekalian,

Kempen e-Duit dengan slogan Selamat, Senang dan Segera, yang dilancarkan tahun lalu turut diteruskan untuk meningkatkan kesedaran mengenai manfaat e-pembayaran. Di sini saya ingin berkongsi tentang projek rintis e-Duit yang dijalankan di Pulau Redang. Projek rintis ini telah berjaya mengubah 70% peniaga di seluruh Pulau Redang untuk menggunakan sistem e-pembayaran. Inisiatif ini telah meningkatkan ekonomi masyarakat di Redang melalui aktiviti pelancongan, yang sebelum ini amat bergantung kepada transaksi tunai. Melalui projek rintis ini, kami mendengar sendiri daripada masyarakat setempat mengenai impak positif daripada aspek keselamatan, pemudah cara serta peningkatan pendapatan serta peluang ekonomi melalui pelancongan. Penjual pisang goreng, pemilik warung roti canai, pengusaha bot, dan penduduk setempat amnya tidak lagi hanya menjadi penonton, malahan dapat mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti ekonomi pelancongan di Redang.

Usaha-usaha di peringkat akar umbi sebegini dapat menjana perkembangan ekonomi domestik dan mampu membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana atau PKS bagi merealisasikan Dasar Keusahawanan Negara 2030 untuk melonjakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Justeru, usahawan di Sabak Bernam, khususnya di Bagan Nakhoda Omar perlu mengubah model perniagaan selaras dengan arus perubahan ini. Usaha berterusan untuk menggarap potensi saluran digital harus dipertingkatkan lagi melalui penggunaan saluran e-pembayaran. Ini dapat meningkatkan hasil jualan dengan mensasarkan pelancong yang kebanyakkannya lebih selesa menggunakan e-pembayaran.

Hadirin sekalian,

Usaha mengembangkan ekonomi rakyat perlu disokong dengan peningkatan tahap celik kewangan. Pada bulan ini, FEN melancarkan Bulan Literasi Kewangan 2023 dengan tema Bijak Wang di Era Digital. Antara inisiatif yang dijalankan adalah program jelajah negara sepanjang bulan Oktober yang menyaksikan FEN ‘turun padang’. Bagan Nakhoda Omar merupakan destinasi ke–25 kami, selepas menjelajah beberapa lokasi di Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Tema tahun ini memberikan penekanan terhadap mesej kepentingan celik kewangan dalam memanfaatkan perkembangan ekonomi digital. Pada tahun 2021, dianggarkan sekitar empat daripada lima rakyat Malaysia menggunakan e-pembayaran. Malangnya, tahap celik kewangan digital rakyat Malaysia pula berada pada tahap yang rendah. Lebih satu pertiga berkongsi kata laluan dan/atau nombor PIN akaun bank mereka dengan kawan rapat. Rakyat Malaysia juga, terutamanya belia, terdedah kepada risiko terpedaya membenarkan akaun digunakan untuk aktiviti scam.

Selain pendidikan dan kempen kesedaran, institusi perbankan telah diminta untuk melaksanakan langkah-langkah tambahan bagi menangani penipuan kewangan. Pusat Respons Scam Kebangsaan telah melancarkan talian hotline 997 sebagai saluran untuk pengguna membuat aduan supaya pihak berkuasa boleh bertindak balas dengan pantas bagi membanteras penipuan kewangan. Dengan usaha giat ini, kami berharap pengguna di Malaysia lebih yakin menggunakan e-pembayaran.

Hadirin sekalian,

Saya berharap agar inisiatif ini dapat memberi manfaat kepada peniaga dan komuniti di Bagan Nakhoda Omar (BNO). Jadikan e-pembayaran sebagai pilihan utama dalam urusniaga seterusnya membentuk komuniti dengan budaya tanpa tunai di masa hadapan. Akhir kata, saya akhiri ucapan saya dengan dua rangkap pantun.

 

Mudik ke hulu menyusuri malam

Tiada cahaya berteman awan

Belajar berdigital haruslah mendalam

e-pembayaran diguna, sejahtera kewangan

 

Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan eDuit Desa Jom Cashless Bagan Nakhoda Omar.

Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Terima kasih.

 

Bank Negara Malaysia
14 Oktober 2023

Follow us
  • facebook social icon
  • twitter social icon
  • instagram social icon
  • youtube social icon
  • medium social icon
  • telegram icon
  • tiktok icon
Website Tools
  • Search
  • Email Alert
  • Contact Us
  • Download Forms
Legal Notices
  • Terms of Use for BNM Website
  • Terms of Use for BNM Datasets
  • Disclaimer
  • Privacy & Cookie Policy
BNMLINK Contact Centre
  • call-1 icon
    1-300-88-5465 Monday - Friday 9am - 5pm
  • decoration
    e-LINK Form
  • BNM General Line
  • call-1 icon +603 2784 8888
© Bank Negara Malaysia. All rights reserved.
arrow-up icon