<!-- Google tag (gtag.js) --> <script async src="https://www.googletagmanager.com/gtag/js?id=G-QCXBYX5C31"></script> <script> window.dataLayer = window.dataLayer || []; function gtag(){dataLayer.push(arguments);} gtag('js', new Date()); gtag('config', 'G-QCXBYX5C31'); </script>

Navigation

  • Skip to Content
BNM Logo BNM Logo
  • About Us
      Our Roles Board of Directors Governor Management Committee Senior Officers of BNM Organisation Structure Statutory Committees
  • Topics
  • News & Events
      Press Releases Public Notices Speeches Calendar of Events Events at BNM Procurement
  • Rates & Statistics
  • Publications
  • Regulations
      Legislation Standards & Guidelines FSP Directory Enforcement Actions
  • Careers
      Join Us Job Vacancies Kijang Graduate Programme Internships Scholarships
  • Contact Us
      Contact Us BNM Offices Whistleblowing Policy
Search

Language Selector

melayu

Breadcrumb

  1. Home
  2. News & Events
  3. Speeches
  4. Assistant Governor's Speech at the Launch of Karnival Celik Kewangan in Kota Bharu

Speeches & Interviews selector

Print

Speeches & Interviews

Filter by year   

Filter by speaker   

 

Search title in Speeches

Asset Publisher

null Assistant Governor's Speech at the Launch of Karnival Celik Kewangan in Kota Bharu

Print

Assistant Governor's Speech at the Launch of Karnival Celik Kewangan in Kota Bharu

Speaker: Suhaimi Ali Venue: Kota Bharu, Kelantan Delivery Date : 17 Jun. 2023

Bijak Wang Pilihan Saya

Assalamu'alaikum w.b.t.

Alhamdulillah, kami amat berbesar hati pada hari ini kerana dapat menyantuni tuan-tuan dan puan-puan di Kota Bharu bersempena dengan Karnival Celik Kewangan Kelantan pada 16 dan 17 Jun 2023. Bank Negara Malaysia bersama-sama industri kewangan dan rakan-rakan Jaringan Pendidikan Kewangan atau Financial Education Network (FEN), turun padang pada kali ini untuk mempergiatkan lagi inisiatif celik kewangan demi meningkatkan kesedaran dan keupayaan pengurusan kewangan di kalangan masyarakat.

Terlebih dahulu, syabas saya ucapkan kepada adik-adik Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Laut, Palekbang, Tumpat atas persembahan dikir barat yang bukan sahaja menghiburkan, malah sarat dengan ilmu celik kewangan. Bukan senang untuk menyampaikan mesej pendidikan melalui seni persembahan. Sebelum kami ke sini, pasukan Bank Negara Malaysia dan rakan-rakan FEN telah memulakan jelajah literasi kewangan dengan bas FEN kami ke beberapa lokasi di pantai timur. Kami telah bertemu dengan golongan belia di Universiti Malaysia Pahang, University College of Yayasan Pahang, Universiti Malaysia Terengganu dan juga Universiti Malaysia Kelantan. Selain itu, kami juga menyantuni usahawan-usahawan wanita di Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu di Chendering dan Pusat Pembangunan Wanita Kelantan di Jelawat. Kami berinteraksi dan berkongsi secara langsung pelbagai ilmu kewangan seperti pengurusan kewangan berhemat, modus operandi terkini jenayah kewangan, literasi kewangan digital, kepentingan pelan kewangan persaraan dan kepentingan insurans/takaful untuk perlindungan risiko. Misi ini kami teruskan dengan anda semua yang hadir pada hari ini.

Saban hari, kita disajikan dengan berita rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan dalam talian atau mangsa ‘scam’. Walaupun sudah terdapat pelbagai inisiatif yang mengingatkan rakyat agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada, namun masih ramai yang menjadi mangsa.

Bank Negara Malaysia juga telah mengarahkan institusi perbankan untuk melaksanakan langkah-langkah tambahan[1] bagi menangani penipuan kewangan. Antaranya, saudara dan saudari kini mungkin sudah beralih daripada menggunakan kata laluan sekali sahaja (one-time password, OTP) yang berasaskan SMS kepada kaedah yang lebih selamat apabila membuat pindahan wang secara dalam talian. Pusat Respons Scam Kebangsaan atau National Scam Response Centre (NSRC), juga telah ditubuhkan tahun lalu, hasil kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta institusi kewangan dan industri telekomunikasi. Pusat ini berfungsi sebagai pusat operasi “hotline 997” untuk menyelaraskan tindak balas pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian.

Namun begitu, langkah-langkah tambahan ini tidak akan berkesan sekiranya kita tidak berhati-hati melindungi butiran peribadi, butiran akaun dan transaksi kewangan daripada dieksploitasi oleh scammers. Tahukah anda, kajian menunjukkan bahawa 1 daripada 3 rakyat Malaysia berkongsi kata laluan perbankan mereka dan lebih 70% rakyat Malaysia tidak mengendahkan faktor keselamatan ketika berurusan di platform kewangan digital. Ini sudah tentu akan mendedahkan anda kepada risiko penipuan kewangan. Sudah ada pun yang kehilangan wang simpanan hari tua, wang perbelanjaan harian dan tabungan pendidikan anak-anak mereka apabila scammer mendapat butiran peribadi dan butiran rahsia.

Saya dimaklumkan, di negeri Kelantan, berdasarkan statistik jenayah komersil, golongan wanita merekodkan kes tertinggi sebagai mangsa scam terutamanya Skim Scam Cinta. Scammer mengambil kesempatan untuk mendapatkan wang dan barang bernilai daripada wanita yang biasanya aktif di media sosial. Sesungguhnya, tidak ada jalan mudah untuk melindungi diri dari jenayah sebegini melainkan dengan melengkapkan diri dengan pengetahuan kewangan dan sentiasa peka dengan tanda-tanda skim penipuan. Secara umumnya, penting untuk bersikap skeptikal terhadap apa-apa peluang yang ditawarkan, terutamanya jika tawaran itu tidak munasabah. Janganlah sesekali berkongsi maklumat peribadi dengan orang lain, walaupun atas nama cinta, terutamanya maklumat perbankan anda dan elaklah daripada klik apa-apa pautan yang anda tidak pasti. Laporlah mana-mana penipuan yang disyaki kepada institusi kewangan dan pihak berkuasa yang berkaitan. Ilmu dan kesedaran tentang isu ini merupakan benteng utama bagi melindungi diri kita dengan lebih berkesan. Jadi, tok wan dan tok ma, mok ayoh, abe kakok, adik saing-saing, sentiasalah berhati-hati! Ikutilah halaman “Facebook Amaran Scam” kami untuk mendapatkan maklumat berhubung penipuan kewangan yang terkini.

Literasi kewangan yang turut merangkumi literasi kewangan digital adalah satu kemahiran hidup yang sangat penting pada masa ini. Sama seperti kemahiran hidup yang lain seperti membaca dan menulis, literasi kewangan membolehkan kita membuat keputusan kewangan yang bijak, sesuai dengan keperluan kita dan keluarga kita. Pemahaman mengenai asas-asas kewangan, kaedah pengurusan wang dan pengurusan risiko kewangan yang baik, disertai dengan keupayaan merancang dan melaksanakan strategi kewangan jangka panjang sudah tentu akan mengurangkan risiko masalah kewangan dalam kehidupan. Jadi, ambillah peluang pada karnival ini untuk menambah ilmu dan meningkatkan keupayaan kewangan kita semua.

Dalam kehidupan seharian, kita sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko serta kemungkinan ditimpa musibah seperti sakit, kemalangan, kerosakan kenderaan, dan kematian. Apabila berdepan dengan situasi ini, tiada lain yang dapat mengurangkan bebanan kewangan terutamanya kos perubatan, kos membaiki kenderaan dan segala macam perbelanjaan, melainkan kita telah “menyediakan payung sebelum hujan”. Oleh itu, Bank Negara Malaysia dan industri insurans dan takaful telah memperkenalkan skim Perlindungan Tenang sejak tahun 2017 untuk menyediakan produk yang memberi nilai perlindungan yang baik, mampu milik, mudah difahami, senang dimiliki dan mudah untuk membuat tuntutan. Setakat ini, terdapat 22 syarikat insurans dan takaful yang menawarkan 34 produk Perlindungan Tenang yang merangkumi manfaat seperti tuntutan apabila berlakunya kematian, kemalangan diri dan kerosakan harta benda akibat kebakaran atau banjir.

Saya difahamkan, Kelantan merupakan antara negeri yang mencatatkan jumlah caruman bagi Perlindungan Tenang yang tertinggi di Malaysia. Ramai juga yang telah membuat tuntutan terhadap kerugian yang dihadapi akibat banjir beberapa tahun yang lepas. Produk yang memberikan perlindungan sebegini akan dapat memastikan keluarga kita dilindungi dan mempunyai bantuan kewangan ketika kita berdepan situasi yang sukar atau tidak dijangka.

Bank Dunia menganggarkan sebanyak 79% rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan kewangan digital pada 2021, dengan 45% menggunakannya buat pertama kali. Perkembangan ini sememangnya membuka peluang ekonomi baru kepada rakyat Malaysia terutama bagi golongan peniaga dalam meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos, dan meneroka model perniagaan baru yang lebih berdaya saing. Perkembangan ini merupakan trend yang amat memberangsangkan dan perlu terus dipupuk. Hidup di zaman sekarang, semuanya nak cepat dan pantas. Dengan adanya perkhidmatan kewangan digital, pengguna tidak perlu lagi bersusah payah menghabiskan masa di jalan atau mengambil pengangkutan awam untuk melakukan transaksi kewangan, kerana semuanya boleh berlaku di hujung jari anda pada bila-bila masa sahaja.

Sehubungan itu, Bank Negara Malaysia telah bekerjasama dengan industri pembayaran untuk melancarkan kempen e-Duit dengan cogan kata Selamat, Senang dan Segera. Antaranya projek rintis e-Duit di Pulau Redang yang kini digelar Pulau Tanpa Tunai. Melalui program “Bayo Dok Gune Pitih” (bayar tanpa menggunakan wang tunai), lebih 70% peniaga dan perniagaan kecil di seluruh pulau telah menggunakan e-pembayaran. Nok beli pisang goreng di Redang pun dok gune pitih. Inisiatif ini telah mendapat sambutan yang baik kerana peniaga Redang dapat merekodkan transaksi perniagaan dengan mudah dan mengurangkan keperluan untuk mereka membawa wang tunai yang banyak ke tanah besar untuk disimpan.

Malaysia telah mencapai tahap rangkuman kewangan yang tinggi, dengan sekitar 97 peratus rakyat mempunyai akaun deposit pada tahun 2021. Dalam proses transisi ke arah pendigitalan, usaha rangkuman kewangan terus dipergiat bagi menyediakan akses perkhidmatan kewangan fizikal yang berkualiti kepada mereka yang masih memerlukan. Selain cawangan dan mesin ATM, terdapat lebih 3,839 ejen bank dan 22 bank bergerak beroperasi di seluruh Malaysia. Di Kelantan sahaja, terdapat 358 ejen bank di 66 mukim dan tiga (3) unit bank bergerak yang disediakan oleh Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional dan Agrobank untuk manfaat pengguna di sepuluh (10) buah mukim di Kelantan. Saudara dan saudari bolehlah melawat satu daripada unit bank bergerak yang dibawa ke AEON Mall hari ini.

Aktiviti keusahawanan telah lama diakui antara pemangkin utama dalam meningkatkan tahap sosio-ekonomi rakyat, terutamanya dalam kalangan rakyat Kelantan yang terkenal dengan semangat keusahawanan mereka yang tinggi. Bank Negara Malaysia telah memperkenalkan Kemudahan Perusahaan Mikro untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan tanpa cagaran bagi usahawan mikro, termasuk individu yang bekerja sendiri dan pekerja gig. Bank Negara Malaysia juga telah memperkenalkan Program iTEKAD untuk menyokong pembangunan usahawan mikro terutama bagi golongan rentan. Program yang ditawarkan oleh 10 bank ini menawarkan modal permulaan dan pembiayaan mikro dengan menggunakan sumber gabungan dana dari institusi kewangan dan dana kewangan sosial. Peserta Program iTEKAD turut diberikan latihan pengurusan perniagaan, celik kewangan dan penggunaan teknologi digital dalam aktiviti perniagaan. Selain itu, selaras dengan hasrat negara untuk mencapai sasaran karbon sifar bersih seawal tahun 2050, Bank Negara Malaysia turut memperkenalkan Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (Low Carbon Transition Facility, LCTF). Saya percaya, kerajaan negeri juga komited dalam melaksanakan pembangunan teknologi hijau selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Mampan (PIPM) untuk kelestarian alam dan eko-sistem. Maklumat lanjut berhubung kemudahan ini dan dana lain yang ditawarkan kepada sektor PKS boleh didapati di laman sesawang BNM di bawah Dana BNM untuk PKS.

Akhir kata, saya berharap rakyat negeri Kelantan dapat meraih manfaat daripada karnival ini. Kunjungilah pameran yang disediakan dan marilah turut serta dalam aktiviti pengurusan kewangan yang kami bawakan untuk anda semua. Saya akhiri ucapan saya dengan dua rangkap pantun.

Make ike cicoh budu,
Jange lupo tambah sata,
Pengguna bijak perlu berilmu,
Kewangan kukuh hidup sejahtera.
Merah menyala buah delima,
Letak di bawah pepohon ara,
Teknologi terkini dimanfaat bersama,
Yakini e-Duit selamat dan segera.

Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Karnival Celik Kewangan Kelantan.

Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Terima kasih.


 

[1] (i) peralihan daripada penggunaan kata laluan sekali sahaja (One Time Password, OTP) yang berasaskan SMS kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat; (ii) mengetatkan lagi peraturan pengesanan dan pencetus bagi menyekat transaksi berkaitan dengan penipuan kewangan; (iii) menetapkan tempoh bertenang untuk pendaftaran perkhidmatan perbankan dalam talian atau peranti selamat buat kali pertama; (iv) pelanggan akan dihadkan kepada satu peranti mudah alih atau peranti selamat untuk pengesahan transaksi perbankan dalam talian; dan (v) bank-bank dikehendaki mewujudkan talian penting yang khusus untuk penipuan kewangan.

Follow us
  • facebook social icon
  • twitter social icon
  • instagram social icon
  • youtube social icon
  • medium social icon
  • telegram icon
  • tiktok icon
Website Tools
  • Search
  • Email Alert
  • Contact Us
  • Download Forms
Legal Notices
  • Terms of Use for BNM Website
  • Terms of Use for BNM Datasets
  • Disclaimer
  • Privacy & Cookie Policy
BNMLINK Contact Centre
  • call-1 icon
    1-300-88-5465 Monday - Friday 9am - 5pm
  • decoration
    e-LINK Form
  • BNM General Line
  • call-1 icon +603 2784 8888
© Bank Negara Malaysia. All rights reserved.
arrow-up icon